Mohd Zainuddin ketika keluar
daripada mahkamah selepas hakim menolak petisyen yang difail seorang pengundi
untuk membatalkan keputusan pilihan PRU13.
IPOH - BN mengekalkan kemenangan di Dun Lubuk Merbau selepas
Mahkamah Pilihan Raya menolak petisyen yang difailkan seorang pengundi untuk
membatalkan keputusan pilihan PRU13.
Hakim, Datuk Abdul Rahman Sebli membuat keputusan itu
selepas mendapati petisyen yang difail Abdul Karim Abdul Rashid cacat kerana
tidak mematuhi Perintah 9 dan 34 Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya
1954.
Dalam penghakimannya, beliau berkata petisyen berkenaan
tidak difail oleh pempetisyen atau peguam yang dilantik pempetisyen dan ini
bercanggah dengan kedua-dua perintah perintah tersebut yang hanya membenarkan
pempetisyen atau peguamnya memfailkan petisyen pilihan raya.
Beliau berkata demikian selepas membenarkan bantahan awal
Pegawai Pilihan Raya (RO), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang diwakili Nor
Azmi Nawawi, Anas Mahadzir dan Norinna Bahadun serta Adun kawasan itu, Datuk
Siti Salmah Mat Jusak.
Berikutan itu, beliau memerintahkan Abdul Karim membayar
RM60,000 kepada Siti Salmah, RM10,000 kepada SPR dan RM10,000 kepada RO.
Petisyen tersebut difailkan pada 12 Jun lalu dan antara
sebabnya adalah pempetisyen mendakwa terdapat penyogokan dalam keputusan PRU13
bagi Dun tersebut.
Pada PRU13 yang lalu, Siti Salmah menewaskan calon Pas Mohd
Zainudin Mohd Yusof dengan majoriti 53 undi. Siti Salmah diwakili empat peguam
yang diketuai Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan Abu Bakar As-Sidek.
Sementara itu, Mohd Zainuddin ketika ditemui di perkarangan
mahkamah hari ini akur dan menghormati keputusan yang dibuat hakim berhubung
perkara tersebut.
Menurutnya, mengenai sama ada pihaknya akan mengemukakan
rayuan terhadap keputusan tersebut, beliau menyerahkannya kepada kepimpinan
tertinggi Pas untuk membuat keputusan.
"Walaupun separuh daripada perjuangan saya berakhir
namun masih ada harapan dalam satu lagi bantahan yang turut dikemukakan
pengundi pada 13 Ogos ini.
"PR akan terus bertanggungjawab dalam melakukan
pembetulan mahupun perubahan untuk mematangkan sistem demokrasi di negara
ini," katanya.SH/-
ABU: "Pak Din" salah seorang calon dan pemimpin yang komited terhadap perjuangan tapi apakan daya....