Jangan guna media sosial untuk meruntuhkan Jamaah.
Oleh USTAZ IDRIS AHMAD (23oct2013)
Zaman langit terbuka, siapa pun tidak boleh menghalang
maklumat sampai kepada kita, kecuali Allah SWT. PAS sebagai sebuah gerakan
Islam tidak dapat lari daripada perkara tersebut. Kedudukan PAS diperhatikan
semua pihak.
PAS tidak boleh lari daripada orang ramai. Segala gerak-geri
diperhati. Media sosial adalah salah satu medium yang boleh digunakan untuk
menaikkan imej PAS di alam maya supaya orang ramai mengetahui perjuangannya.
Oleh itu media sosial harus berperanan membawa kebajikan dan memperjuangkan
yang lebih baik, bukan sebaliknya. Ia mesti menjadi alat menyebarkan fikrah
perjuangan, bukan alat menyebarkan fitnah sesama ahli dan pimpinan.
Media baru seperti Facebook, Twitter, wasap dan blog yang
semakin menjadi pilihan bagi mendapat maklumat dan berjaya membentuk persepsi
dalam masyarakat dan jemaah. Ahli PAS mesti bijak menilai sebarang maklumat
yang disebarkan menerusi media sosial dengan dipastikan faktanya tidak
tersasar. Jangan kita mengguna media sosial sebagai medan untuk fitnah sesama
ahli. Ingat, jika fitnah diulang berkali-kali akhirnya menjadi kepercayaan
dalam jemaah.
Paling kasihan ialah mangsanya yang tidak bersalah. Ahli PAS
apabila menerima maklumat dan laporan daripada media sosial, hendaklah teliti
dan selidik bagi mengelak terpengaruh dengan fitnah.
Allah mengajar kita dalam Surah al-Hujurat ayat 6, bermaksud:
"Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu berita yang dibawa oleh
orang fasik maka hendaklah kamu selidik kebenarannya, supaya kamu tidak
menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab
kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu
telah lakukan." Ingat fitnah dan perkhabaran yang tidak betul tidak boleh
menjadi budaya walaupun dengan musuh. Apatah lagi sesama ahli jemaah. Mereka
yang bersikap demikian tidak layak bersama dengan PAS.
Apabila kita bertanya kenapa mereka memburukkan PAS melalui
media sosial, jawapan mudahnya, pimpinan PAS tidak ambil perhatian teguran
mereka. Jawapan saya mudah, apa tujuan kita masuk PAS? Kita tidak boleh kecewa
teguran yang tidak diambil peduli pimpinan. Pemimpin seperti ini tidak kekal
lama dalam PAS jika dia bersikap demikian. Orang yang seperti itu nafas tidak
panjang dalam perjuangan. Mereka ini akan keluar sendiri atau dikeluarkan. Kita
perlu sabar atas setiap teguran kita kepada parti dan pimpinan.
Firman Allah SWT bermaksud: "Wahai orang yang beriman
hendaklah kamu sabar dan bersabarlah dan bertakwalah kepada Allah." Tidak
perlulah kita paksa jemaah ikut kehendak kita. Kadang-kadang pimpinan melihat
lebih luas daripada apa yang kita nampak. Orang seperti ini kita bimbang
dipengaruhi nafsu, atau menjadi alat musuh yang bertopengkan ahli PAS. Atau pun
jenis hobi mereka ialah mengkritik kerana itu ialah profesion mereka. Orang
seperti ini dia tidak ada cawangan. Celik mata terus buka komputer hentam PAS
dan pimpinan PAS yang bekerja. Sepatutnya kita gunakan media sosial untuk
mengukuhkan PAS dan berikan maklumat perjuangan untuk orang lain. Kita tidak
kisah jika yang buat kerja ini bukan ahli PAS. Kita tidak boleh halang mereka
berkelakuan demikian.
Nasihat ini saya tuju juga pada diri saya, supaya tidak
menjadikan media sosial sebagai medium untuk memburukkan parti yang saya
sayang. Sekarang zaman baru, kita mesti mencari pendekatan baru selain
pendekatan konvensional seperti ceramah, kuliah iaitu teknik bersemuka. Mungkin
dengan suasana kehidupan masyarakat hari ini yang sibuk dengan kehidupan dan
kesuntukan masa untuk hadir program PAS, maka penggunaan media sosial menjadi
jalan untuk menembusi tembok pemisah antara orang PAS dengan orang yang berminat
dengan PAS. Terutama di kalangan golongan terpelajar dan elit pertengahan.
Mereka merupakan penggunaan tegar media sosial.
PAS mesti mengambil peluang dengan ramainya rakyat Malaysia,
iaitu 13,085,000 pengguna Facebook mengikut statistik Februari 2013. Jumlah itu
lebih separuh daripada jumlah penduduk seramai 28,859,154 juta orang sehingga
ke tarikh 18 Januari 2013 mengikut data World Bank. Jumlah pengguna Facebook di
Malaysia sudah mendekati 50 penduduk penduduk. Golongan belia berumur 18-24 tahun
dan 25-34 tahun merupakan dua kategori umur paling ramai menggunakan Facebook
di Malaysia. Dari segi ukuran jantina golongan lelaki merupakan pengguna
Facebook paling ramai, iaitu 54%, manakala selebihnya (46%) adalah perempuan.
Ahli PAS perlu sedar perkembangan teknologi maklumat terlalu
pantas. Jika kita tidak mengambil peluang, PAS akan ketinggalan medium ini.
Sebagai pimpinan pula perlu aktif dan agresif menjawab tohmohan di dalam media
sosial jika ia merupakan fakta yang tidak betul.
