"Walaupun kita kalah, kita menang dalam kalah kerana majoriti mereka turun dengan drastiknya," begitulah reaksi Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

"Saya nampak sebenarnya kalau kita kaji, kita menang dalam kalah, kerana ini kubu kuat PAS," katanya ketika diminta mengulas keputusan pilihan raya kecil DUN Sungai Limau yang dipertahankan PAS sejak lima penggal yang lalu.

"Saya nak katakan untuk BN ini kemenangan dalam kekalahan," katanya sambil undi untuk BN melonjak, walaupun Sungai Limau dikatakan kawasan hitam untuk parti itu.

Menurut Shahrizat lagi semua alim ulama PAS turun berkempen dalam pilihan raya kecil DUN Sungai Limau.

"Kita tengok wanita di sini minat dengan BN, tetapi memandangkan ada yang berbai'ah dengan suami, mereka takut (untuk undi BN)," katanya.