KUALA LUMPUR 19 Mei: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menggesa polis menghentikan ugutan terhadap Pengarah Eksekutif Tenaganita, Irene Fernandez berhubung pendedahannya mengenai isu penindasan pekerja asing dan rasuah di kalangan penguatkuasa.
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Lee Khai Loon berkata, polis sebaliknya perlu menyiasat dakwaan Irene kerana beliau merupakan pemberi maklumat (whsitleblower) dalam isu ini.
“Ancaman penggunaan Akta Hasutan terhadap beliau sangat tidak profesional dan seolah-olah polis cuba melindungi pegawai yang terlibat.
“Polis juga sepatutnya bertindak proaktif terhadap kenyataan beliau dengan menyiasat isu pekerja asing ditindas dan persekitaran kerja yang merbahaya,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam temubual dengan akhbar Jakarta Post 7 Mei lalu, Irene menyifatkan Malaysia tidak selamat untuk pekerja asing, lantaran layanan buruk diterima dari majikan dan penguatkuasa.
Ekoran itu, dua badan bukan kerajaan dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) membuat laporan polis ke atasnya 16 Mei lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah semalam memaklumkan bahawa siasatan mungkin akan dibuat mengikut Akta Hasutan.
Dalam pada itu, AMK menyeru kerajaan mengkaji semula dasar pekerja asing dengan mengambil kira prinsip hak asasi manusia sejagat.
“Hak asas pekerja asing di Malaysia perlu dijamin agar mereka mendapat layanan yang lebih adil.
“Perasaan ‘xenophobia’ (benci terhadap orang luar atau sesuatu yang asing) terhadap mereka juga perlu dihapuskan,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment