Catatan IZWAN ABDUL HALIM pada 02 September 2015.
WACANA ini untuk menggantikan program ceramah yang biasa PAS dikenali
dengan program ceramah umum sejak puluhan tahun. Ia sesuai dengan
perubahan angin anak muda yang berbeza daripada orang tua. Dulu ceramah
laku, kerana rakyat Malaysia tidak ada maklumat, yang ada hanyalah TV,
Utusan Malaysia dan Berita Harian. Jadi apabila pemimpin datang, mereka
memang hendak mendengar kerana mereka tidak ada maklumat.
Tapi
sekarang anak muda tidak perlu lagi maklumat, kerana mereka mungkin
lebih banyak maklumat dari pemimpin. Jadi orang muda mahu berkongsi
maklumat. Berkongsi maklumat ini kena dua hala, bersoal jawab. Maka
pemuda PAS galakkan program wacana dalam gerak kerja mereka.
Krisis Kepercayaan Terburuk
Krisis yang melanda Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul
Razak adalah yang terburuk kerana bukan sahaja melibatkan
ketidakpercayaan rakyat kepadanya, tetapi juga tekanan dalaman Umno itu
sendiri.
Walaupun Datuk Sri Najib memecat Tan Sri Muhyiddin
Yassin dari kedudukan Timbalan Perdana Menteri (TPM), tetapi Muhyiddin
tidak membuat gerakan baru, sebaliknya kekal di dalam. Ini lebih
menyakitkan. Kerana itulah disyorkan kepada rakan-rakan PAS yang
menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB) supaya keluar dari terus bermain di
dalam PAS.
Walaupun tidak lagi menjadi TPM, Muhyiddin tetap
kekal sebagai Timbalan Presiden Umno dan dapat bergerak bertemu ahli
Umno di mana sahaja. Hal tersebut menjadi kesakitan yang perlu
ditanggung Najib.
Ketika era reformasi zaman Tun Dr Mahathir
Mohamad dulu, semua jentera dan institusi kerajaan berpihak kepada
beliau termasuk semua ahli Umno kecuali yang bersama dengan Datuk Seri
Anwar Ibrahim. Tetapi hari ini jentera kerajaan sudah dilihat anti
Perdana Menteri iaitu institusi utama seperti Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia, Bank Negara dan Jabatan Peguam berada di satu pihak
yang bertentangan. Hanya pihak polis sahaja dilihat jelas bersama Datuk
Sri Najib.
Hakikat Isu & Krisis
Malangnya, isu yang
dipanggil keemasan ini tidak dapat disambut dengan baik kerana PAS juga
ada krisis. Kita terlibat dalam krisis Pakatan Rakyat yang mengecewakan
DAP, PAS dan rakyat kerana selama ini ia menjadi harapan rakyat untuk
mengambil alih tampuk pemerintahan negara daripada BN.
Tetapi
isu-isu yang berlaku memaksa perpecahan itu terjadi walaupun agak sukar
untuk diterima. Tapi itulah hakikat dunia politik yang bergerak dengan
isu-isu semasa yakni sengaja Allah ciptakan ia berlaku. “Wallahu
khalaqakum wama ta’malun”. “Allah Taala ciptakan kamu dan Dia juga
ciptakan perkara yang kamu lakukan”. Isu-isu ini adalah ciptaan Allah
sebelum ia adalah ciptaan manusia.
Para Sahabat RA yang menjadi
contoh teladan, berlaku juga perbalahan pada zaman mereka khususnya
semasa pemerintahan Khalifah Uthman al-Affan dan Ali KW. Terjadinya
perang antara Ali dan Muawwiyah kerana isu semasa yang tidak mampu
diselesaikan oleh politik pada masa itu. Maka PAS juga tidak boleh lari
daripada hakikat politik seperti itu yang memerlukan keluasan berfikir.
Juga menerima hakikat bahawa PAS berjalan dalam situasi yang
kadang-kadang gagah dan adakalanya lemah.
Krisis Pakatan Rakyat
menambahkan satu lagi krisis, iaitu krisis dalaman PAS sendiri. Ia
menyedihkan dan menyayatkan hati, hingga berlaku cabar-mencabar dan
jawab-menjawab. Hati terluka, tiada siapa gembira melihat
sahabat-sahabat seperjuangan keluar beramai-ramai. Salahuddin Ayub,
Mohamad Sabu dan lain-lain, mereka itu adalah pendidik Pemuda sebelum
ini, juga pembuka laluan untuk berjuang. Tiba-tiba mereka berpatah hati,
berpatah arang keluar isytihar tidak mahu lagi bersama PAS. Sudah pasti
ini adalah berita sedih, pun begitu terpaksa ditanggung demi menjaga
parti yang kita yakini bahawa ia disediakan Allah Taala di Malaysia ini
untuk menjaga ummah daripada tersasar daripada jalan lurus.
PAS Berdiri Untuk Agama
Kita yakin apabila berada di dalam PAS, PAS ini adalah parti Islam yang
hari-hari para ulama dan para pejuangnya meneliti kedudukan PAS ini,
sama atau tidak dengan hadis Nabi SAW. Sama atau tidak dengan nas-nas
Al-Quran yang menggambarkan kehidupan ummah pada akhir zaman. Bagaimana
ummah mahu hidup, bagaimana ummah mahu bergantung?
Adakah hendak
serah agama dan ummah ini kepada JAKIM sahaja? Kalau yakin hendak serah
ummah ini pada JAKIM sahaja, tidak perlulah ada PAS. Adakah hendak
serahkan agama ini kepada para ustaz ataupun ulama-ulama yang tidak ada
parti yang dipanggil pendakwah bebas? Adakah ia menepati sunnah Nabi
SAW, hendak jaga ummah tidak perlu jamaah, hanya perlu ada ulama-ulama
yang banyak dan bebas bergerak serta bebas menyokong? Hari ini sokong
Umno, esok pula dia sokong PAS. Adakah itu cukup?
Semua ini
dinilai oleh PAS dan para ulamanya, hingga akhirnya kita yakin, sejarah
PAS ini begitu kuat tunjang akarnya, inilah bahtera yang menyelamatkan
akidah ummah daripada tersasar dan menyeleweng. Menyelamatkan ummah
daripada ditipu oleh gerakan-gerakan ataupun musuh-musuh agama yang
sentiasa merancang untuk menghancurkan agama.
Generasi kini
adalah sambungan perjuangan ayah-ayah, datuk-datuk kita dahulu dan bukan
hanya bermula dari tahun 1951 apabila terbentuknya PAS. Itu hanyalah
secara rasmi dengan diberi nama. Sebelum nama PAS, perjuangan ini telah
kita ambil daripada pejuangan terdahulu zaman Tok Janggut, zaman
penjajahan, zaman sebelum penjajahan, kita belajar dari buku Syeikh Daud
Fatani dan sebagainya, zaman Tok Kenali.
Malah, sebelum daripada
itu sejarah ulama kita bersama dengan para Raja, para Sultan tanah air
kita untuk menggerakkan agama di Tanah Melayu ini selepas agama ini
tersebar di tanah air ataupun selepas umat Melayu memeluk agama Islam.
Kita yakin sejarah itu bersambung dan PAS adalah di antara bahtera
perjuangan besar yang menyambung perjuangan terdahulu.
Proses Membuat Keputusan
Maka dengan sebab PAS menjadi sebuah parti politik, agak susah untuk
membuat satu-satu polisi. Kerana memerlukan tapisan, memerlukan
‘istii-ab’ atau penguasaan terhadap sesuatu isu. Kadang-kadang orang
bersungut kenapa PAS lambat buat keputusan? PKR sudah buat keputusan,
ada kenyataan dia. DAP sudah ada, tapi PAS belum ada, lambat.
Kadang-kadang betul sepertimana dalam krisis paling besar iaitu isu
Kajang Move. Lambat, wartawan tunggu dua minggu lagi baru hendak
mesyuarat sedangkan pihak lain sudah mesyuarat dua minggu lepas.
Wartawan hari-hari tanya, lambatnya PAS buat keputusan isu Kajang Move.
Rupanya bukan Kajang Move sahaja, banyak ‘move’ yang PAS lambat buat
keputusan.
Tapi kita kena ingat bahawa itulah Islam. Kadang
cepat, kadang memerlukan masa, kadang terpaksa menanggung orang marah
pada kita. Tapi akhir sekali orang akan melihat segala yang PAS putus
itulah yang benar. Macam kes Kajang Move, lama orang marah sampai
setahun, tapi sehari dua ini ada cerita di mahkamah pasal Kajang Move
ini. Orang mula sebut, PAS betul buat keputusan.
Kenapa orang
lambat nampak? Kerana isu itu berlaku begitu kritikal untuk PAS buat
keputusan sehingga terpaksa melihat dan memilih beberapa polisi yang
patut dibuat. Akhir sekali semua melihat, bahawa dalam banyak-banyak
parti politik yang terlibat dalam politik Malaysia sejak merdeka, PASlah
yang ditemukan satu dapatan, iaitu PASlah sebuah parti yang sederhana
dan bertindak menyejukkan suasana politik di Malaysia.
PAS berada
di tengah-tengah. Kewajipan kita dalam agama ialah memastikan negara
ini aman. Kita tidak boleh sampai ke Putrajaya dengan sengaja membuat
keadaan ‘havoc’, pecah belah semata-mata hendak dapat Putrajaya. Itu
haram, tak boleh, kita tidak boleh susahkan rakyat. Kewajipan kita jaga
politik. Kita pernah ditangkap, pernah ulama kita ditembak mati, pernah
ahli-ahli kita dibuang kerja, ditukar, tidak boleh projek dan tender dan
sebagainya.
Kesederhanaan Berpolitik
Sejarahnya, kita
sentiasa dibuli. Orang marah sebut dibuli, mengaku diri sendiri lemah.
Tapi PAS memang dibuli, PAS tidak melawan kerana kewajipan PAS untuk
tidak melawan secara melampaui batas. Orang pertama kena buli dalam
sejarah Islam ialah Rasulullah SAW sendiri. Baginda Nabi tidak lawan
apabila Baginda dianiayai. Malaikat datang sedia diperintahkan, tapi
Nabi kata biarlah, walau sahabatnya kena bunuh, sahabat kena siksa. Nabi
suruh sabar kerana mahukan suasana dakwah yang tenang. Kalau Nabi
lawan, angkat senjata semua Sahabat akan dibunuh, sudah pasti dakwah
menjadi ranap.
Maka begitulah juga PAS bersabar dan sampai
masanya orang mula benci pada kerajaan, maka lahirlah pembangkang yang
kukuh. Dulu PAS sahaja, DAP walaupun menang banyak tapi tidak menguasai
politik Malaysia, hanya mewakili sebahagian daripada kaum di Malaysia.
Tapi akhirnya, lama-lama orang jadi semakin benci pada kerajaan.
Lahirlah pembangkang yang gagah. Mereka terlalu anti pada Umno-BN.
Tetapi apabila pembangkang gagah dan diterima rakyat, lahir pula
daripada pembangkang ini suara-suara yang mahu pergi cepat dan buat
perkara dan tindakan yang akan merosakkan negara dengan mudah. Mereka
sebut hendak buat melalui himpunan jalanan, hendak kepung Parlimen,
hendak bakar dan buat pelbagai lagi. Ini suara-suara belah pembangkang
daripada sahabat-sahabat tertentu yang keras.
Tetapi PAS
mengambil sikap tidak ikut. PAS tidak ikut Umno yang melampau dan
daripada pembangkang pun PAS tidak ikut jika melampau. PAS tidak ikut
strategi dan kaedah yang salah walaupun terpaksa telan kemarahan.
Contoh, apabila lantik seseorang sebagai Menteri Besar secara yang sah.
Dalam Islam tidak boleh kita menjatuhkan pemimpin sehinggalah pemimpin
tersebut terbukti salah, kerana ia mencemar maruah dirinya dan
integritinya. Tan Sri Khalid bukan PAS tidak tahu mengenai kelemahan
dirinya, tetapi tidak semua kelemahan itu boleh menjadi sebab dia wajar
dijatuhkan. Kerana semua pemimpin ada kelemahan masing-masing.
Semua pemimpin dikritik termasuk Tuan Guru Nik Abdul Aziz bukan sahaja
oleh Umno tetapi dalaman juga. Tapi dia tidak jatuh kerana orang tahu
disebalik kelemahan dia itu dia tidak boleh dijatuhkan kerana dia ada
kelebihan dan dia ada maruah diri yang mesti dipertahankan dan PAS kena
pertahankan. Maka apabila ada cadangan hendak tukar dengan mudah, ikut
suka hati kita untuk tukar, PAS tolak kerana ini bukan cara Islam.
Pemimpin ada hak dia, rakyat juga ada hak dia masing-masing. Kita kena
jaga dua-duanya.
Maka PAS berjalan di tengah-tengah, menyejukkan
suasana politik di Malaysia. Jadi sejarah akan buktikan bahawa PAS
inilah yang paling menjaga keamanan di Malaysia. Kalau kata kerajaan
yang jaga keamanan, Umno kata negara aman kerana dia, itu tidak betul,
itu bohong Umno. Umnolah yang merosakkan Malaysia ini, orang baik
ditangkap, ulama ditekan, sekolah-sekolah agama rakyat dibantutkan dan
dirosakkan kekuatannya. Tetapi PAS tidak ada sejarah merosakkan kecuali
mempertahankan dirinya.
Sikap Terhadap GHB
Krisis dengan
GHB belum pun sampai tiga bulan. Selepas daripada Muktamar pada Jun lalu
ia tidak segera berlaku tetapi bergerak sikit-sikit. Pimpinan PAS buat
keputusan untuk tidak bertindak segera kerana ini krisis dalaman dan
penyelesaian kena lembut sepertilah masalah dengan anak isteri. Tidak
boleh lafaz cerai selalu ataupun hendak lempang anak selalu. Apatah lagi
keadaan dalaman parti, ini agak sukar. Hendak balah dengan Umno senang
sahaja, kalau salah lempang pun tidak mengapa sebab dia Umno. Umno di
luar rumah PAS.
Tetapi kena ingat, ahli keluarga PAS ramai dan
penyelesaian sebenarnya boleh dibuat dengan mudah kalau kedua-dua pihak
memahami agama dan memahami demokrasi. Kalau sudah tidak suka bolehlah
keluar parti, janganlah beralasan tidak mahu keluar selagi bahtera tidak
siap. Ini memalukan dan tidak profesional walaupun ia lahir daripada
golongan profesional. Hendak tidur sini, hendak makan sini, tapi asyik
hentam rumah sendiri. Ini tidak jadi penyelesaianlah. Maka kita kata
kena keluar sebab orang lain hendak masuk, kerusi dan jawatan kita orang
lain menunggu. Jadi penyelesaian yang paling ideal adalah isytihar
parti baru, mereka menunggu melompat beramai-ramai.
Tapi kalau
ikut maklumat, ada perancangan yang tidak elok, sepatutnya tidak boleh
berlaku di kalangan ahli PAS iaitu mereka rancang keluar sebahagian
daripada PAS, manakala sebahagian lagi tidak keluar. Inilah masalah yang
kita sebut. Ini ijtihad dan tindakan yang salah dari sudut syarie,
berdosa. Kita duduk di dalam dengan tujuan hendak pegang jawatan dan
lumpuhkannya. Jadi ‘makan dalam’, ini salah dan berdosa. Tiba-tiba
selepas parti baru dibentuk pun tidak mahu keluar juga.
Maka
tindakan dan cara mudah adalah ahli PAS buat laporan salah laku bahawa
mereka telah berkata begini dan berbuat begini. Angkat laporan kepada
Setiausaha Agung PAS untuk tindakan. Penyelesaian ada di hadapan, hanya
main masa kerana ini adalah krisis dalaman yang kita harus tangani
secara lebih lunak.
Dialog Bersama GHB
GHB masih lagi satu
masalah dan isu dalaman PAS. PAS tidak memberi sebarang pengiktirafan
pada GHB, kerana masih tidak jelas sama ada ia jin atau manusia.
Sehinggalah ia jelas dan rasmi, barulah PAS boleh membuat polisi
terhadap mereka. Jadi sekarang ini PAS selesai caranya sendiri, iaitu
buat perjumpaan secara individu, bukan atas nama PAS dan GHB. Kalau
mereka buat kumpulan tidak rasmi, kemudian ajak kumpulan PAS, itu tidak
kena. Kerana PAS adalah institusi parti politik yang sah, sedangkan GHB
bukan NGO mahupun parti politik.
Dengan individu boleh kerana
walaupun kita tidak suka tindakan mereka, tetapi kena terima hakikat
tentang wujudnya mereka di atas muka bumi ini. Sama seperti orang kafir,
biarpun tidak disukai kekafirannya tetapi kewujudan mereka perlulah
diterima dan diiktiraf. PAS tidak boleh bina Malaysia ini untuk orang
Islam sahaja, orang bukan Islam ‘second class’. Itu haram. Sebagai
rakyat, semuanya sama taraf. Cuma bezanya, “inna akramakum indallahi
atqakum”.Jadi kalau ini dengan non-Muslim, maka apatah lagilah sikap PAS
dengan parti baru GHB.
Apabila mereka wujud secara rasmi,
insya-Allah hubungannya ada. Macam mana hubungan itu, diteliti kemudian
nanti. Sekarang tidak boleh lagi sebab tidak tahu lagi mereka ini
mamalia atau amfibia (ketawa). Insya-Allah PAS akan bersikap terbuka.
Cuma bukan sekarang kerana gangguan akan berlaku. Kalau saya hadir
dialog dengan rakan-rakan GHB, akan ada satu pandangan kata Ustaz Nik
Abduh boleh terima GHB. Maka tidak salah kita masuk GHB. Maka belum elok
dimulakan sehingga selesai hal-hal yang berkait dengan soal dalaman
parti.
Hubungan Dengan DHPP
Dewan Pemuda PAS Pusat sudah
membentuk Jabatan DHPP Muda. Perbincangan sudah diadakan bersama Ketua
Pemuda DHPP, Balendran dari Pahang. Beliau akan menjadi Pengarah Jabatan
DHPP Muda dalam Dewan Pemuda secara lantikan. Maknanya siapa yang jadi
Ketua Pemuda DHPP, maka dia secara automatik akan jadi Pengarah Jabatan
DHPP Muda dan melayakkan hadir dalam mesyuarat Dewan Pemuda PAS Malaysia
sebagaimana saudara Balasubramaniam, Ketua DHPP masuk Mesyuarat PAS
Pusat. Ini adalah pendekatan baru untuk kita dekati anak muda dari
kalangan non-Muslim.
Isu Hudud
PAS telah melakukan
pelbagai bentuk penerangan. Perlu difahami bahawa Allah Taala sengaja
mahukan hukum-hukum-Nya ini dibahas oleh manusia. Contoh solat lima
waktu, kajian menunjukkan daripada 100 anak muda, 20 sahaja solat lima
waktu dengan sempurna. Apabila dikata solat lima waktu ini wajib,
dibahas begitu dan begini. Setengah tidak terima, setengah terima,
setengahnya tidak tahu.
“Wakaanal insanu aksara syai'in jadala”.
Manusia ini memang dijadikan banyak bercakap, sampai bila saya sebut KP
kurang bercakap pun, saya kena marah. Solat, hendak sampai orang Melayu
Islam ini solat, kita kena syarah sampai orang faham, barulah dia solat
lima waktu. Zakat, orang kaya selalunya cerdik, tetapi suruh bayar zakat
dibuat tidak faham. Dia tidak faham zakat sehingggalah diberi
penjelasan, barulah dia bayar zakat.
Itu perkara yang mudah,
apatah lagi hal yang payah. Jadi jangan peliklah kalau hukum hudud ini
sentiasa dibangkang oleh manusia kerana sengaja Allah Taala mahu melihat
manusia membangkang hudud-Nya. Hingga satu hari nanti saat hudud
terlaksana, mereka tidak ada hujah lagi hendak lawan, sebab segala yang
mereka bangkang sudah berlalu dan diterima rakyat. Maknanya, hal
tersekat sejak tahun 1990 selepas PAS buat hudud di Kelantan tapi tidak
jalan, sebab manusia asyik berbahas.
Tun Mahathir bahas, sekat
dengan undang-undang. Akhir sekali ramai yang bahas hari itu, kini dia
sudah terima. Umno pun sudah terima, tidak berani kata hudud ini zalim
kerana takut jatuh kafir. Dulu PAS beri amaran mereka tidak takut. Tapi
hasil daripada penerangan PAS, sekarang sampai di peringkat non-Muslim
juga sudah terima.
Bahkan sekarang ini ada ‘mujahid’ bukan Muslim
mempertahankan hukum hudud. Ada non-Muslim yang menjadi pakar hudud
daripada kalangan DHPP. Dia syarah bab hudud ini macam Kumutha dari DHPP
Johor. Setiap kali ceramah dia bentang bab hudud sebab dia baca buku
Islam berkait dengan hudud. Dia baca Quran, cari mengenai hukum hudud,
bersungguh-sungguh.
Maknanya perkara ini tidak pernah berlaku 20
tahun lepas. Hasil daripada dakwah PAS, orang non-Muslim sudah tidak
malu hendak mempertahankan hukum agama. Adakah kita yakin bahawa dengan
hudud ini, makin gelap atau makin cerah masa depan PAS? Makin cerahlah
sebab memang sengaja Allah Taala buka untuk dibahaskan. “Liyahlika
manhalaka an baiyyinatin wayahya manhayya ambayyinah”.Supaya yang
mampus/hancur, mampuslah dalam keadaan nyata dan jelas. yang hidup,
hiduplah dalam keadaan nyata.
Allah Taala sebut, Islam adalah
hujah. Jadi jangan takut, biar orang kata PAS ini membiarkan hukum hudud
ini dihina. Rasulullah pun dihina, al-Quran dihina, tidak peliklah
hukum hudud dihina. Kerana itulah yang Allah mahu al-Quran ini,
dihormati dan dihina disisi manusia. Yang hina masuk neraka, yang hormat
insya-Allah dapat balasan daripada Allah Taala.
Kita kena yakin,
apabila sudah sampai Lebuhraya Karak bawa hudud, tiba-tiba sampai di
terowong Karak, tengok ada DAP sedang tunggu untuk lawan hudud yang kita
bawa. Kita pun buang hudud di hutan Karak semata-mata hendak mari
Gombak. Ini tidak betullah! Kita bawa daripada Kota Bharu lagi,
tiba-tiba disekat oleh DAP di Karak itu, kita lempar hudud, tidak betul,
kerana sayang sangat ke DAP.
Mengenai Kemerdekaan
Selagi
Islam tidak merdeka, maka tidak merdekalah negara ini. Yang merdeka ini
merdeka dunia sahaja. Yang PAS nak adalah merdeka dunia akhirat. Jadi
apabila merdeka tahun 1957 itu, negara baru merdeka sebahagian, iaitu
daripada penjajahan. Selamatlah agama kita daripada dikuasai dan
dirosakkan penjajah. Cuma oleh sebab yang ganti itu pun tidak bawa
agama, maka kita tidak merdeka sepenuhnya juga.
Soal Baiah
Setiap tahun pada hari kemerdekaan, kita lihat anak remaja pelajar kita
ditampilkan bersumpah setia, berbaiah kepada negara, berjanji
ramai-ramai sambil menaikkan bendera. Itulah baiah untuk negara. Tetapi
adakah berbaiah untuk negara bermaksud menjadi hamba kepada negara?
Kalau begitu minta kepada Najib mulai merdeka tahun ini, jangan ada lagi
baiah sumpah setia, lagu sumpah setia pada Malaysia jangan ada,
batalkan sebab itu ajar jadi hamba pada Malaysia.
Tidak! Baiah
ini memang diterima dan dilaksanakan oleh semua. Amerika yang tidak ada
sejarah besar dan sejarah tamadun, akhir sekali mereka hendak bangkit
semangat supaya jadi rakyat Amerika yang setia berbakti, mereka jadikan
bendera Amerika itu tuhannya. Amerika ajar awal lagi, memuja bendera.
Orang Malaysia, orang Islam tidak payah puja bendera, pujalah al-Quran.
Kita ada sejarah Nabi SAW, kita baiah dan baiah ini adalah kekuatan,
bukan untuk mengikat dan membelenggu. Bahkan untuk menandakan kita bebas
daripada semua manusia kecuali kepada Allah. Baiah ini daripada Quran,
dalam Quran ini ada baiah. Amalan Nabi berbaiah, apabila kita buat baiah
kita ikut Sunnah Nabi untuk perteguhkan iman. Sebab itulah kita jangan
bermain dengan baiah. Jangan kerana kita nak lompat kepada parti lain,
kita kata baiah wakil rakyat boleh tukar dengan sembelih kambing buat
sup, selesai sudah ganti baiah. Jangan ingat begitu mudah nilai baiah
dengan nama Allah itu selesai dengan sembelih kambing. Ini manusia tidak
faham dengan baiah. Bawa hukum lain yang tak berkait dengan baiah.
Putus Dengan DAP
PAS putus dengan DAP bermakna PAS undur belakang? Politik ini ada
pasang surutnya, sebab itulah kena ada siyasah syariah, hukum syarak
berdasarkan kepada gelombang pasang surut. Tidak boleh kita ini kapal
jenis layar satu tugas sahaja. Maknanya kalau angin ada, bergerak. Kalau
angin tidak ada, berhenti, itu bukan kapal. Kapal ini kena bergerak
sama ada masa angin tidak ada, angin ada, mahupun layar berlubang mesti
bergerak. Maka ia ikut gelombang. Begitulah siyasah syariah diwujudkan.
Sekarang ini, kita melonjak undi sejak 2008 sehingga berlaku
pembentukan Pakatan Rakyat selepas itu. Adakah lonjakan ini akan kekal
lonjak dan takkan turun? Kita pun tahu ekonomi Malaysia tidak akan
melonjak sentiasa, sebab itu Najib kata dia tidak rungsing. Macam nilai
matawang Ringgit, turun naik. Kerja Bank Negara adalah kawal jangan
terlalu turun dan jangan terlalu naik. Kalau naik sangat, letih hendak
jual kelapa sawit tidak laku sebab duit Malaysia mahal sangat. Kerja
Bank Negara adalah mengawal gelombang matawang Ringgit.
Begitu
juga kita kena ingat sokongan kepada kita datang sebab ada isu yang
lonjakkan. Sejarah menunjukkan parti ini setiap kali pilihan raya dia
lonjak, lepas dia lonjak mungkin juga turun semula. Kadang-kadang dua
kali pilihan raya lonjak, tidaklah melonjak setiap kali pilihan raya.
Ada masa ia turun.
Kena ingat apabila PAS lonjak dengan undi
non-Muslim, dua kali lonjak dan apabila ia turun adakah bermakna PAS
tidak betul? Politik ini isu, kadang membantu, kadang tidak membantu.
Masa turun janganlah turun sampai tidak tahu bagaimana hendak naikkan
semula undi. Katakanlah PAS hilang bilangan non-Muslim dalam PRU akan
datang akibat telah berpecah dengan DAP; iaitu hari ini kita telah
dibantu oleh DAP yang telah buka pintu kita untuk pengundi Cina. Tetapi
DAP juga kena setuju bahawa orang Melayu undi dia kerana pintu dibuka
oleh PAS.
Sehingga orang Umno kata, dosa PAS adalah kerana buka
pintu orang Melayu undi DAP. Memang betul pun PAS yang buka supaya orang
Melayu terima DAP. Sekarang sama-sama tutup, DAP kata PAS jahat, PAS
pun kata DAP jahatlah. DAP pun akan ada masalah, kajian seorang profesor
di universiti menunjukkan bahawa kemarahan orang Melayu pada DAP begitu
memuncak apabila salahkan dan tuduh PAS khianat. Sama dengan orang
Cina, melalui akhbar, mereka sedang bakar marah pada orang PAS.
Tapi kena ingat, apakah apabila DAP tutup pintu, maka semua pintu dengan
orang bukan Islam akan tertutup? Jawapannya tidak, DHPP makin gagah dan
bersemangat. Tidak ada dalam sejarah, selepas DAP keluar daripada
Pakatan Rakyat, ada orang DAP masuk PAS. Tapi kini berlaku di Perak,
ahli DAP Cina dan di Kedah juga, bekas pimpinan DAP orang Melayu.
Maknanya ada di kalangan ahli DAP yang memberontak terhadap parti dia
sendiri. Dengan DAP tutup, tetapi pintu kita dengan semua NGO-NGO Cina
terbuka.
Perlu yakin, tujuh tahun PAS bina hubungan dengan
non-Muslim telah memberi satu perasaan dalam hati non-Muslim Malaysia
bahawa PAS bukanlah parti rasis. Tidak ada satu bukti pun PAS ini rasis
seperti rasisnya Isma dan Perkasa pada pandangan mereka. Itu di sisi
DAP, tetapi mereka tidak boleh buktikan PAS ini rasis. Maknanya
bila-bila masa kalau kita berani, kalau kita pandai, kita boleh menarik
minat non-Muslim untuk mengundi PAS.
Kita kena ingat kita
bertanding di kerusi yang DAP tidak bertanding, maknanya non-Muslim di
kawasan kita bertanding cuma ada pilihan sama ada undi Umno atau undi
PAS. Adakah mereka akan undi Umno? Cuma kalau ada kacau daun GHB masuk
bertanding, itu kita tak tahulah. GHB parti baru, kalau dia mengundi,
undi pecah. Itu bukan isu non-Muslim.
Jadi usaha-usaha PAS buat
bagi meyakinkan non-Muslim. Suatu hari mereka akan faham bahawa isu yang
melanda Pakatan Rakyat hari ini bukan berpunca dari PAS, tetapi dari
sikap DAP yang keras terhadap polisi PAS untuk memperjuangkan agama
Islam.
Penglibatan Dalam Bersih
Bersih 4.0 PAS sudah
jelaskan tidak terlibat secara langsung. Memang dulu Bersih 1.0, 2.0 dan
3.0, PAS terlibat secara langsung. Bersih 1.0 memang PAS terlibat
banyak, kemudian BERSIH 2.0 ada jawatankuasa melibatkan NGO, tapi PAS
memainkan peranan besar walaupun NGO anjur. Kekuatan kita dihormati
dengan Jabatan Amal, dengan kerahan, dengan sokongan anak muda PAS
begitu juga dalam Bersih 3.0.
Tetapi dalam Bersih 4.0 ada dua
perkara. Pertama PAS tidak dijemput awal, maknanya kita tidak diberi
peranan yang besar. Kedua kena faham kita dalam krisis, musuh banyak
untuk sabotaj PAS dan ada usaha untuk meminggirkan PAS daripada terlibat
secara langsung. Jadi kita berhati-hatilah untuk tidak masuk perangkap.
Kita perhati misalnya Amal Relief (AREF) yang baru tubuh itu berjanji
hantar pasukan sukarelawan. Saya bimbang provakasi, apabila Jabatan Amal
PAS dan AREF dihantar, akan ada perbandingan Unit Amal lebih baik, AREF
lebih baik. Elok ataupun tidak elok perkara ini? Ia tidak elok dan
takkan elok.
Kalau sudah ada orang yang sedia untuk pimpin
biarkan dan Jabatan Amal boleh pergi tapi jangan pakai baju merah. Boleh
pergi atas nama individu kalau hendak bantu tidak larang. Selama mana
tidak lari dari matlamat untuk bersih pilihan raya yang mana kita juga
letih dengan pilihan raya kotor, maka kita sokong. Cuma kita ambil sikap
berhati-hati untuk mengelak provokasi yang melampau mengelak rosak nama
dan terpaksa menanggung.
Parti Islam sentiasa didengki oleh
semua orang yang memusuhi agama Allah Taala. Setakat ini kita ambil
sikap kita tidak menyertai Bersih 4.0 secara rasmi, tetapi kita tidak
halang anak muda yang pergi. Hati kecil saya hendak pergi, tetapi saya
Ketua Pemuda, saya mesti bersama keputusan bersama kepimpinan yang lain.
Tidak mahu kehadiran saya atau tidak hadir saya itu, kalau saya ambil
sikap individu bukan sikap parti, takut salah dari sudut kesannya.
–HARAKAHDAILY 2/9/2015
Ucapan dapat dipetik daripada lantunan
bicara Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
pada Wacana Merdeka “Selamatkan Malaysia” di Shah Alam baru-baru ini.
Disusun oleh Wartawan Harakah, Izwan Abdul Halim.
Pandangan politik Nik Abduh ni masih lagi lemah...kena banyak belajar lg...kurang bergaul dengan orang ramai...pergaulannya terbatas kepada kekawan dia sahaja.,..atau orang2 ustaz sahaja...tak ada sesi dialog dgn bukan islam secara langsung...masih perlu banyak belajar...
ReplyDelete