Mohd Zuhdi Marzuki,
|
27 Sep 2013
|

Ustaz
Azizan Abdul Razak adalah sebuah nama besar dalam gerakan Islam di
Malaysia, malah turut dikenali di kalangan pimpinan gerakan Islam di
luar negara. Seorang yang hidup secara sederhana, suka bergurau tetapi
sangat tegas dalam membuat keputusan. Sifat-sifat yang ada pada beliau,
menjadikan setiap mesyuarat yang beliau hadiri menjadi hidup dan begitu
bermakna. Dalam mana-mana mesyuarat yang beliau hadiri, beliau antara
yang kerap memberi pandangan dan komentar. Pernah ketika aku menghadiri
satu mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat, aku bertanya kepada Setiausaha
Politik beliau, Saudara Muhammad Sanusi Md Nor, "Apa khabar Ustaz
Azizan?". Kata Sanusi: "Kalau dia banyak cakap dalam mesyuarat tu,
tandanya dia sihat".
Ketegasan beliau ini dibawa ke mana-mana
sama ada semasa beliau berkhidmat sebagai pensyarah di UKM sehinggalah
terlibat secara sepenuh masa dengan PAS. Aku pernah mendapat
pengkhabaran, beliau pernah menempelak Dr Yusof al-Qaradawi sewaktu
sama-sama hadir mewakili PAS dalam persidangan gerakan Islam sedunia.
Beliau menempelak Dr al-Qaradawi disebabkan beliau pernah menyebut PAS
sebagai musta'jilun (golongan yang tergesa-gesa) dalam persoalan
melaksanakan hukum hudud. Aku diberitahu, Ustaz Azizan bertanya Dr
al-Qaradawi, adakah beliau benar-benar faqih dengan realiti Malaysia dan
kalau beliau tidak faqih sepatutnya bertanyalah kepada PAS, bukannya ke
datang Malaysia terus berjumpa dengan golongan sekular di dalam UMNO.
Aku
mula mengenali Ustaz Azizan hampir 20 tahun yang lalu, ketika itu
beliau dalam tahun-tahun terakhir berkhidmat di UKM. Ketika itu aku
bertemu dengan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang untuk menyampaikan
jemputan memberi pengisian ilmu kepada anak-anak muda yang bakal
bertamrin. Tuan Guru Haji Abdul Hadi tidak dapat memenuhi jemputan, lalu
beliau mencadangkan nama Ustaz Azizan. Ketika itulah aku mula mengenali
nama Ustaz Azizan, salah seorang ulama yang mula berkecimpung sepenuh
masa dengan PAS. Selepas bergraduasi, aku menjadi salah seorang ahli
jawatankuasa Lajnah Tarbiyah dan Latihan Kepimpinan PAS Pusat, dan Ustaz
Azizan adalah salah seorang anggotanya. Di kesempatan itulah aku
semakin mengenali Ustaz Azizan dengan sifat-sifat yang dinyatakan
sebelum ini.
Dalam mesyuarat-mesyuarat yang dihadiri bersama,
Ustaz Azizan adalah kuat mempertahankan pandangannya, malah beliau
begitu tegas dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan pengurusan
kewangan. Beliau sering mengingatkan supaya 'ikut buku' ataupun sentiasa
mematuhi peraturan-peraturan yang dibuat. Sebagai contoh katanya,
"sekiranya enta berniaga, enta jangan sesuka hati beri anak enta
barangan yang diniaga (seperti gula-gula dan lain-lain). Kalau mereka
ambil, minta mereka bayar atau enta sendiri keluarkan duit enta untuk
membayarnya". Ketegasan Ustaz Azizan itu, menyebabkan kadang-kadang
berlaku ketegangan dalam mesyuarat, tetapi selepas selesai mesyuarat,
Ustaz Azizan akan kembali ramah seperti biasa.
Bagi mereka yang
tidak biasa dengan sifat-sifat Ustaz Azizan ini, pasti mereka akan
terkedu pada permulaannya, tetapi setelah mengenali beliau barulah kita
akan memahami tingkahlakunya. Demikianlah sifat-sifat Ustaz Azizan dalam
berkecimpung sepenuh masa dengan PAS, sehingga beliau menjadi salah
seorang pimpinan PAS yang sangat kritis dalam memberi pandangan dan
membuat keputusan. Ustaz Azizan terlibat dengan organisasi PAS di
peringkat tertinggi, iaitu Majlis Syura Ulama sehinggalah ke peringkat
akar umbi kawasan dan cawangan. Beliau mula menjadi tulang belakang
utama PAS di Kedah selepas pemergian Ustaz Fadzil Mohd Nor. Selepas
kemenangan PAS di Kedah dalam PRU 2008, beliau dilantik sebagai Menteri
Besar Kedah.
Sewaktu menjadi Menteri Besar Kedah, beliau
menunjukkan kesederhanaan sebagaimana Mursyidul Am PAS yang menjawat
jawatan Menteri Besar di Kelantan. Ustaz Azizan tidak mengambil
elaun-elaun selaku pengerusi beberapa syarikat berkepentingan kerajaan
negeri (GLC), malah memotong elaun Menteri Besarnya untuk diinfaqkan
bagi kegunaan rakyat dan parti. Beliau tidak mendiami rumah rasmi MB,
sebaliknya terus hidup di tengah-tengah rakyat bawahan di rumah yang
serba sederhana. Cara beliau berpakaian juga sangat sederhana, dengan
membeli pakaian-pakaian yang berharga murah sepertimana rakyat
kebanyakan. Banyak sekali catatan mereka yang bersama-sama dengan Ustaz
Azizan, melihat sendiri kesederhanaan beliau dalam kehidupan
sehari-hari.
Ramai yang tidak menyedari bahawa Ustaz Azizan
berpendidikan tinggi disebabkan kehidupannya yang seperti orang kampung.
Ketika beliau mula menjawat jawatan Menteri Besar, ramai juga yang
menyangka beliau berkelulusan sekolah pondok, bekas guru sekolah rendah
dan lain-lain sangkaan. Bila diberitahu Ustaz Azizan adalah bekas
pensyarah UKM dan berkelulusan sarjana dari University of Kent, United
Kingdom, ramai juga yang terkejut. Beliau menguasai bahasa Arab dan
bahasa Inggeris disebabkan pengalamannya hidup beberapa tahun di Mesir
dan United Kingdom. Pengkhususan Ustaz Azizan adalah Syariah dan
Perundangan Islam, di samping beliau mahir dalam Usul al-Fiqh. Dengan
latar belakang tersebut, Ustaz Azizan sering menjadi kepercayaan Tuan
Guru Haji Abdul Hadi untuk menyemak buku-buku yang ditulisnya sebelum
diterbitkan.
Ketika aku menziarahi bekas Ketua Pemuda PAS, Ustaz
Jais Anwar, di rumahnya di London sekitar tahun 2008, aku diberitahu
bahawa Ustaz Azizan adalah salah seorang rakan karibnya. Ketika berbual
tersebut, Dr Mahfuzd Mohamad yang ada bersama dalam rombongan itu
menyatakan, bahawa selepas tamat pengajian di Universiti Azhar Mesir,
mereka seramai empat orang mengambil keputusan tidak mahu kembali ke
Malaysia. Sebaliknya mereka merancang untuk menyambung pengajian di
United Kingdom. Keempat-empat sahabat itu ialah Ustaz Jais Anwar, Ustaz
Azizan Abdul Razak, Dr Mahfuzd Mohamad dan seorang lagi bekas pensyarah
UKM yang aku lupa namanya. Mereka berkelana ke UK dengan tiada sebarang
biasiswa atau bantuan kewangan dari mana-mana pihak.
Mereka
memulakan kehidupan mereka di UK dengan melakukan pelbagai pekerjaan
termasuklah membasuh pinggan, menjadi buruh kasar keretapi, berniaga
sate dan lain-lain. Bila mereka mempunyai kewangan, barulah mereka
menyambung pengajian mereka di peringkat sarjana. Tiga orang dari mereka
berjaya menamatkan pengajian di peringkat sarjana dan PhD, dan kembali
ke Malaysia menjadi pensyarah di UKM dan UM. Manakala Ustaz Jais Anwar
terus menentap di UK sehinggalah beliau meninggal dunia di sana. Aku
diberitahu oleh Ustaz Jais dan Dr Mahfuzd, pengalaman mereka di sana
menyebabkan mereka tidak begitu bergantung kepada orang lain dan berani
untuk menyatakan pendirian masing-masing. Ustaz Jais Anwar yang
merupakan menantu Dato Asri Muda, juga meninggal dunia dalam keadaan
hatinya terus komit bersama dengan PAS.
Ustaz Azizan telah
dijemput oleh Allah pada hari semalam 26 September 2013, meninggalkan
jasanya yang begitu besar kepada anak bangsa yang pernah menuntut di UKM
dan UIA, dan lebih utama lagi jasanya kepada masyarakat Kedah termasuk
legasinya yang cemerlang dalam melaksanakan pentadbiran yang berhemah
dan telus. Sudah barang pasti, jasanya kepada perjuangan Islam melalui
PAS juga cukup cemerlang, sehingga beliau berjaya mengemudi PAS Kedah
untuk menawan negeri Kedah dalam PRU yang ke 12. Semoga ALlah memayungi
Ustaz Azizan dengan rahmatNya dan mengampunkan dosa-dosanya, agar ia
ditempatkan bersama-sama dengan para anbiya', siddiqin, shuhada' dan
salihin. Semua kita akan pasti melalui detik itu, yang berbeza ialah
sama ada kita akan mati dalam perjuangan meninggikan kalimah Allah atau
tidak - HD
No comments:
Post a Comment