Ng Kong Soon

IPOH - Pemandu lori yang terbabit dalam nahas mengorbankan mendiang Karpal Singh dan pembantu peribadinya ditahan setelah didapati positif ganja.

Bagaimanapun, lelaki berusia 45 tahun itu kemudiannya dilepaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, berdasarkan saringan awal ujian air kencing yang dilakukan, pemandu lori didapati positif ganja.

"Kita sudah ambil keterangan lelaki itu dan kini, dia sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

"Bagaimanapun ujian makmal akan dilakukan bagi mendapatkan keputusan lebih tepat," katanya.

Lori yang membawa muatan barangan seperti bekalan simen, kepingan mozek serta besi menghala ke Ipoh itu merupakan sebuah lori syarikat pengangkutan yang berdaftar di Petaling Jaya.

Dalam kejadian itu, Karpal, 74, bersama pembantu peribadinya, Micheal Cornelius, 39, maut.

Turut berada dalam MPV berkenaan, anak Karpal, Ramkarpal Singh, 38 serta pemandu MPV, C Selvam yang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Seorang lagi penumpang yang juga pembantu rumah warga Indonesia parah dan kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Insiden kira-kira jam 1 pagi itu berlaku, apabila MPV jenis Toyota Alphard membawa Karpal hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang sebuah lori muatan 5 tan di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara Selatan.

Karpal dikatakan dalam perjalanan ke Pulau Pinang untuk menghadiri satu kes perbicaraan mahkamah, pagi ini.-SINAR.

Nik Aziz 'terkilan' Karpal tak sempat diberi pemahaman hudud

   
Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat 'sedikit terkilan' kerana Karpal Singh yang maut dalam nahas pagi ini, tidak sempat untuk diberikan pemahaman tentang hudud.

Ini ekoran hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk memfailkan bil persendirian di Parlimen bagi membolehkan undang-undang hudud dilaksanakan.

"Saya amat yakin, individu seperti beliau jika diberikan kefahaman yang sebenarnya tentang undang-undang ini, tidak akan mempunyai
sebarang sebab untuk menolak undang-undang hudud," tulis bekas menteri besar Kelantan itu dalam Facebook.

"Di Kelantan, sewaktu kita meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) pada tahun 1993, ada yang menghantar surat kepada saya menghalang enakmen ini dikuatkuasakan dan pihak yang menghantar surat ini namanya bukan Karpal Singh.

"Saya benar-benar berharap, agar pihak yang bertanggungjawab menghantar surat ini sempat memahami keindahan undang-undang Allah SWT sebelum tibanya masa untuk pergi yang tidak akan kembali," tulis Nik Aziz.

Sambil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga ahli Parlimen Bukit Gelugor, Nik Aziz menyifatkannya pemergian Karpal sebagai satu kehilangan kepada dunia politik tanahair.

Katanya, ini kerana Karpal amat dikenali sebagai seorang yang berprinsip dan sukar digugat pendiriannya.

"Beliau juga merupakan pendokong kuat kepada Perlembagaan Malaysia dan amat tegas dengan pendirian bahawa Malaysia merupakan negara sekular. Sudah tentu prinsip ini amat berbeza dengan prinsip perjuangan PAS dan beliau ternyata menghormati perbezaan ini.

"Saya masih ingat sewaktu ke rumah beliau awal tahun lepas di mana saya diberikan sambutan yang sangat hangat dari beliau. Bahkan beliau menghantar saya pulang rapat ke pintu kenderaan sekalipun situasi beliau yang terpaksa bergerak dengan kerusi roda.

"Saya kira, di sebalik perbezaan pandangan antara kami, sambutan yang diberikan oleh beliau kepada saya sangat-sangat mencerminkan kelembutan beliau dan penerimaannya terhadap hubungan PAS dan DAP di dalam Pakatan Rakyat," tambahnya.

Menurutnya lagi, Karpal mendokong kuat Perlembagaan Malaysia dan beliau yakin pemimpin DAP itu akan terus dikenali begitu di dalam sejarah politik tanahair.

"Di negara ini, jika semua pihak menghormati prinsip yang terkandung di dalam Perlembagaan, Kelantan pastinya tidak akan ditindas dengan pelbagai jenis penindasan.

"Hak Kelantan termaktub di dalam perlembagaan, tertulis di atas perjanjian, namun ada pihak yang sewenang-wenangnya membelakangi Perlembagaan dan perjanjian bertulis," tegas Nik Aziz.MK.

 
PAS rakam takziah buat keluarga Karpal
KUALA LUMPUR: PAS merakamkan ucapan takziah buat seluruh anggota keluarga Karpal Singh dan ahli DAP di atas kehilangan mendiang yang terlibat dalam kemalangan maut pada awal pagi ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, mendiang adalah seorang yang sangat cekal dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi dalam apa jua urusan yang diperjuangkan.

"Saya bagi mewakili seluruh ahli dan kepimpinan Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin meyampaikan ucapan takziah kepada seluruh anggota keluarga mendiang.

"Mendiang adalah seorang bapa, kawan, ahli politik veteran dan seorang peguam yang tidak berhenti dari memperjuangkan keadilan dan prinsip rule of law itu sendiri," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau turut berharap ahli keluarga mendiang dan kepimpinan DAP dapat terus bersabar dengan ujian yang berat seperti ini.

Karpal, 74, yang juga Pemimpin veteran DAP maut dalam satu kemalangan jalanraya di Lebuhraya Utara Selatan awal pagi tadi.

Pembantunya, Michael Cornelius turut terkorban manakala anaknya Ram Karpal dilaporkan cedera parah.

Menurut laporan, kenderaan serbaguna (MPV) yang dinaiki mereka merempuh sebuah lori yang cuba menukar laluan tanpa memberi isyarat di kilometer 301.6 arah Utara.

Ekoran itu, Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu mati di tempat kejadian akibat cedera parah.

Karpal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang untuk menghadiri satu kes mahkamah.

Karpal baru sahaja meletakkan jawatan Pengerusi Kebangsaan DAP akibat mematuhi peruntukan Akta Pertubuhan yang menghalang beliau memegang jawatan setelah disabitkan kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 11 Mac lalu.

Beliau meninggalkan seorang balu dan lima orang anak termasuk Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dan Adun Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo.

 DHPP sedia bantu terang hudud kepada bukan Islam
 
KUALA LUMPUR: Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) tidak mempunyai sebarang halangan dengan pelaksanaan hukuman hudud yang diinginkan Kelantan, malah menyokong penuh usaha tersebut.

Naib Pengerusi DHPP, Vincent Lee berkata pelaksanaan hudud itu hanya dikenakan ke atas mereka yang beragama Islam.

Justeru, katanya mereka yang bukan beragama Islam tidak perlu bimbang dengan hukum tersebut.

Bagaimanapun, beliau berpandangan penerangan berkaitan hudud ini perlu diperjelaskan secara menyeluruh kepada mereka yang bukan Islam, khususnya kepada ahli-ahli DHPP itu sendiri.

"DHPP bersedia membantu menerangkan kepada masyarakat bukan Islam, tapi PAS perlu mengambil tanggungjawab untuk menerangkan secara 'all out' tentang hudud kepada ahli DHPP kerana masih ramai ahli yang belum jelas tentang hudud ini.

"Jika DHPP sendiri tidak faham dan risau tentang hudud, bagaimana kami mahu jelaskan kepada orang lain? Jadi, langkah pertama PAS perlu perjelaskan kepada DHPP sebelum ahli DHPP benar-benar bersedia dan faham dengan hukum ini," kata beliau kepada Harakahdaily.

Mengulas lanjut berkaitan kerisauan mereka yang bukan beragama Islam, Vincent berkata kebanyakan mereka melahirkan kebimbangan kerana beranggapan hukum tersebut akan memberikan kesan kepada kehidupan seharian mereka.

Sebagai contoh, katanya isu salon rambut yang tidak membolehkan pemotong rambut perempuan memotong rambut lelaki yang sebelum ini menimbulkan kontroversi di Kelantan.

"Mereka fikir perkara sedemikian termasuk dalam hudud, sedangkan soal salon rambut termasuk dalam enakmen lain. Itu baru satu contoh yang mereka bimbangkan, belum lagi isu-isu lain yang mereka sangka akan menjejaskan kehidupan mereka," tegas beliau.

Vincent dalam pada itu menyatakan kesediaan DHPP untuk terus menjadi jambatan di antara PAS dengan golongan bukan Islam berhubung hukum hudud, sesuai dengan peranan yang diberikan PAS sejak tertubuhnya DHPP.-HD.