KHUTBAH JUMAAT - 2 RAMADHAN 1436 / 19 JUN 2015
Kita dituntut agar menjauhi segala yang ditegah kerana hikmah tegahan dan larangan Allah SWT itu kembali kepada kebaikan dan manfaat untuk hamba-Nya jua. Justeru khutbah Jumaat pada minggu ini akan membicarakan tajuk, "Keburukan Merokok" bersempena dengan bulan Ramadhan Al-Mubarak yang penuh berkah ini.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Tabiat merokok merupakan suatu fenomena masyarakat yang kewujudannya boleh ditafsirkan dari pelbagai aspek. Antaranya adalah aspek hubungan sosial, persekitaran, risiko kebergantungan, serta risiko kesihatan. Kita dapat melihat orang merokok di merata tempat samada di kampung atau bandar.
Dari aspek sosio budaya, masyarakat menjadikan kelakuan merokok sebagai satu cara hidup, iaitu merokok dijadikan ukuran status kedewasaan, kematangan dan kesediaan memikul tanggungjawab khususnya dalam kalangan orang lelaki. Samada mahu atau tidak, suka atau tidak, persoalan ini perlu kita bincangkan dengan dada yang lapang dan hati yang terbuka. Khatib mengharapkan agar di penghujung khutbah ini nanti lahir secebis ilmu, berputik setangkai keinsafan untuk membuktikan cinta kepada Allah SWT melebihi cinta kita kepada segala apa yang ada di dunia ini termasuk cinta kepada rokok.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Di Malaysia, 4.6 juta penduduk Malaysia adalah perokok. Perangkaan menunjukkan kes penyakit paru-paru di Malaysia bertambah 17 % setahun dan setiap tahun 10,000 orang rakyat Malaysia mati akibat penyakit yang berpunca daripada merokok. Dalamkajian yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, 14.7 % remaja merokok dan kadar perokok di luar bandar adalah 18.4 % berbanding 12.3 % di bandar.
Tembakau dari satu batang rokok mengandungi lebih 4,000 bahan kimia dan kebanyakannya adalah beracun. Nikotin menambahkan tekanan darah, memaksa jantung bekerja lebih keras. Karbon Monoksida menjadikan jantung bergerak lebih cepat dan mengambil alih Oksigen dalam darah. Tar di dalam rokok mengandungi berpuluh kimia yang mengakibatkan barah. Merokok boleh menyebabkan saluran jantung tersumbat yang membawa kepada serangan jantung. Perokok mempunyai 70 % risiko kematian akibat sakit jantung berbanding dengan yang tidak merokok.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Banyak kajian yang dilakukan membuktikan tabiat merokok akan menyumbang kepada penagihan dadah. Kajian di Malaysia menunjukkan 99 % penagih dadah yang ditahan di pusat-pusat Serenti mengamalkan tabiat merokok pada usia yang muda dan 95 % penagih dadah yang telah dibebaskan masih mengamalkan tabiat merokok.
Justeru adalah diharapkan agar golongan remaja dan pelajar khasnya tidak mudah terpedaya dengan tabiat dan sogokan rokok yang akhirnya akan menjerumuskan mereka ke kancah najis dadah. Jika begitulah kenyataannya, membanyakkan kita merujuk kepada amaran Allah SWT yang dinyatakan di dalam Surah Al-Baqarah Ayat 195:
Rasulullah SAW juga berpesan kepada umatnya agar menghindari kerosakan dan kemudaratan. Ibnu Majah meriwayatkan dari Abu Said Al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang berbunyi:
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Islam adalah agama fitrah yang begitu serius memandang kepada kesejahteraan dan keselamatan umatnya. Berdasarkan kepada Ayat Al-Quran dan Hadis yang dikemukakan, jelas menyatakan bahawa Islam menegah kita menjerumuskan diri ke lembah kebinasaan dan kehancuran. Malahan tiada kemudaratan dan perlakuan ke arah itu diizinkan dalam Islam.
Ingatlah bahawa jasad yang ada pada kita adalah pinjaman belaka, selaku peminjam, kita sewajarnya memelihara kurniaan ini dengan penuh waspada. Menjadi amat tidak wajar dan biadab sekali seseorang diberi sesuatu pinjaman, merosak dan memusnahkan apa yang dipinjamkan kepadanya. Begitulah hakikatnya seorang perokok yang sedar bahawa setiap sedutan membawa padah kepada tubuhnya di hadapan Tuhan yang mengurniakan tubuh badannya untu dia hidup sebagai manusia.
Sesungguhnya rokok hanya mengandung kemudaratan dan keburukan kepada manusia. Bukan hanya kepada perokok bahkan bahananya jua terbias mengenai orang ramai yang berada di sekitar mereka yang terhidu hembusan asap rokok dari mulut perokok tersebut.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Jumhur ulamak sependapat di atas pengharaman rokok. Keburukan rokok yang menguatkan pengharaman ini adalah:
Pertama: Rokok boleh membawa maut. Sedangkan membunuh diri itu amat ditegah dalam Islam.
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya) kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu. Dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah Maha Mengasihani kamu."
Kedua: Merokok adalah satu pembaziran dan pemborosan. Tiada sebarang manfaat dapat diperolehi daripada rokok melainkan sedikit keseronokan yang membinasakan. Allah dengan tegas melarang pembaziran melalui Firman-Nya di dalam Surah Al-Israk Ayat 27:
"Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya."
Ketiga: Kajian para pakar perubatan mendapati bahawa Nikotin yang terdapat dalam tembakau menyebabkan ketagihan. Ia bertindak menambah tekanan darah dan kadar denyutan jantung daripada kadar normal. Risiko kematian akibat penyakit jantung bagi perokok adalah tiga kali ganda lebih besar daripada orang yang tidak merokok.
Antara kesan lain tabiat merokok adalah penyakit lelah, barah paru-paru, gangguan pada benih lelaki, kerosakan saluran darah, lemah ingatan, mengganggu pertumbuhan janin dalam kandungan, menggugat sistem pernafasan bayi dan anak kecil serta penyebab kepada pelbagai jenis penyakit barah.
Di samping itu, Muzakarah Majlis JawatanKuasa Fatwa Kebangsaan bagi hal-ehwal Agama Islam Malaysia kali ke 37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 telah membincangkan hukum merokok dari pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa rokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudaratan.
Khutbah Kedua
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Di atas kefahaman dan kesedaran ini, marilah kita membina azam dan langkah mula meninggalkan rokok. Insaflah segala kesilapan dan kembalilah mencari keredhaan-Nya. Berusahalah mencari jalan keluar daripada masalah ketagihan merokok ini dengan bersungguh-sungguh. Temui rakan-rakan yang telah berjaya meninggalkan rokok dan minta panduan daripada mereka. Minta nasihat dan bantuan daripada pakar-pakar perubatan serta anggota kesihatan di klinik kesihatan yang berhampiran dengan kita, agar kita mampu memisahkan rokok daripada kehidupan kita.
Sempena bulan Ramadhan Al-Mubarak yang mulia ini, marilah kita sama-sama mengambilsatu keputusan yang bijak dengan meninggalkan tabiat merokok sebagai permulaan yang baru dan hijrah hidup kita lebih sejahtera dan sempurna, terhindar dari dosa merokok.
Kajian mendapati 95 % perokok yang beragama Islam menyatakan lebih mudah berhenti merokok dalam bulan Ramadhan. Kita berpuasa 14 jam sehari dan selama itulah kita mampu mengawal diri dari merokok. Apa salahnya selepas berbuka diteruskan tanpa merokok. Jika amalan ini diamalakna untuk hari-hari seterusnya nescaya tabiat merokok dapat dihakis sepanjang hayat kita. Jadikanlah bulan Ramadhan ini sebagai permulaan hidup kita bebas dari tabiat merokok.
Bagi mereka yang insaf dan ingin berhenti merokok, kunjuungilah klinik berhenti merokok yang terdapat di klinik kesihatan berhampiran. Di klinik ini klinik kita akan diberi khidmat nasihat dan terapi yang bersesuaian untuk membantu menghentikan tabiat merokok. Insya Allah usaha yang murni kita akan diberkati Allah SWT hendaknya, insya Allah.
الأَحْزَابِ إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufik dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Mu'izzuddin Shah Ibnu Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfurulah dan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta seluruh kerabat DiRaja sekalian.
Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com
No comments:
Post a Comment