NUR FARHANA ABDUL MANAN
30 Jun 2013
Difahamkan, pengusaha premis juga membenarkan pelanggan membawa pulang gadis warga asing terbabit untuk layanan ekstra sekiranya bayaran ditambah RM50 lagi.
Kegiatan tidak bermoral sejak dua tahun lalu itu bagaimanapun berjaya dihidu pihak berkuasa dan premis bertopengkan kedai makanan terbabit diserbu Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang , kelmarin.
Pegawai D7 IPD Serdang, Inspek-tor Roslin Mohd Isa berkata, hasil risikan dan intipan, beliau bersama lapan anggotanya melakukan pemeriksaan dan mendapati premis terletak di Jalan Bandar 10 itu tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah.
Katanya, lima wanita warga Vietnam dan empat warga China berjaya dicekup ketika leka melayan pelanggan masing-masing.
Beliau berkata, wanita terbabit akan melayan pelanggan mereka sehingga mabuk dan mendapat komisen sekiranya menjual lebih banyak minuman keras.
Jelasnya, pengusaha premis bukan sahaja menawarkan minuman keras dan pelayan tetapi bertindak seperti bapa ayam sekiranya ada pelanggan yang mahu membuat hubungan seks dengan pekerja mereka.
“Jika pelanggan mahu layanan ekstra mereka kena ‘deal’ dengan pelayan dan perlu membayar sedikit caj kepada pengusaha premis untuk membawa keluar pekerja mereka.
“Sejak dua tahun beroperasi, premis ini sudah beberapa kali diserbu namun pengusaha berdegil dan meneruskan operasi perniagaan haram mereka,” katanya.
Roslin berkata, seorang penjaga premis warga tempatan ditahan untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 55 B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen.
No comments:
Post a Comment