SUNGAI PETANI - Seorang lagi mangsa keracunan disahkan meninggal dunia jam 7.15 malam tadi di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani menjadikan mangsa keempat meninggal dunia akibat kejadian itu.
Mangsa, seorang nelayan, Wan Razali Wan Yaacob, 56, dari Kampung Banggol, Belau, Merbok dikatakan mula berasa sakit pada jam 4 pagi Ahad lalu selepas menghadiri majlis kenduri kahwin di rumah kawannya jam 6 petang hari sebelumnya.
Adik mangsa, Roslinda Ibrahim, 35, berkata, pada mulanya keluarga menjangkakan ia hanya sakit perut biasa dan tidak menyangka akan membawa mudarat.
“Abang dibawa ke hospital jam 4 petang Ahad setelah mendapati keadaannya yang agak serius, ketika itu kami belum tahu dia sakit akibat dari makanan itu kerana belum ramai yang dikesan,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Menurutnya, keadaan mangsa semakin teruk apabila dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama.
“Ketika itu doktor mengesahkan organ dalaman termasuk buah pinggang, hati dan paru-paru sudah mengalami kesan akibat jangkitan bakteria yang merebak dengan cepat,” katanya.
Menurutnya, selepas itu, keluarga dimaklumkan doktor bahawa keadaan jantung mangsa semakin lemah dan tekanan darah pula tidak stabil sehinggalah Wan Razali disahkan meninggal dunia jam 7.15 malam tadi.
Roslinda berkata, abangnya turut mempunyai majlis kenduri di lokasi lain pada hari kejadian menyebabkan dia agak terlewat ke rumah kawannya itu di Kampung Huma pada lewat petang.
Ayam Masak Merah Dikatakan Punca Keracunan
Alor Setar: Hidangan ayam masak merah dipercayai menjadi punca tiga tetamu termasuk seorang budak lelaki meninggal dunia apabila mengalami keracunan makanan selepas menghadiri majlis kenduri kahwin di Kampung Huma, Tanjung Dawai, Sungai Petani, Sabtu lalu.
Mangsa dikenali Mohd Nor Rahmat Yusuf, 11, dari Kampung Singkir Laut, Sungai Petani, Pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Bahasa Arab Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) Gombak Nurshazana Mohd Rashid, 24 dan seorang warga emas dari Kampung Huma, tanjung Dawai, Sungai dikenali sebagai Ibrahim Mohamad, 62.
Setakat ini, dua lagi lelaki termasuk seorang kanak-kanak dipercayai turut mengalami keracunan makanan dan dilaporkan berada dalam kritikal di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).
Sehingga jam 8 malam tadi, 35 orang masih menerima rawatan di HSAH; 30 orang lagi dirawat di Hospital Yan; seorang lelaki berusia 21 tahun dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, manakala empat orang dilaporkan menerima rawatan sebagai pesakit luar di HSB.
Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah Dr Ismail Abu Taat berkata, tiga mangsa berkenaan meninggal dunia apabila dipercayai mengalami keracunan makanan selepas menikmati makanan di majlis kenduri kahwin yang dilakukan secara bergotong-royong itu.
Menurutnya, semua mangsa yang meninggal dunia dikesan mengalami simptom muntah dan cirit birit hingga menyebabkan berlaku dehidrasi serius, bagaimanapun pihaknya sedang mengenal pasti punca sebenar yang berlaku untuk tindakan selanjutnya.
No comments:
Post a Comment