Saya berpesan kepada sidang Jumaat sekalian apatah lagi diri saya sendiri, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa. Ketahuilah bahawa sesungguhnya tidak ada sesuatu yang lebih tinggi nilainya di sisi Allah SWT selain daripada ketaqwaan seorang hamba kepadanya. Mudah-mudahan, kita akan beroleh kebahagiaan hidup di dunia dan juga di akhirat.
Sebelum khatib memulakan khutbah pada hari jumaat yang mulia ini, ingin khatib mengingatkan kepada sidang jemaah sekelian supaya dapat memberi perhatian kepada isi khutbah agar dapat disampaikan kepada ahli keluarga yang tidak dapat bersama kita pada hari ini. insyALLAH.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Dewasa ini media massa telah menjadi suatu elemen yang amat penting sehinggakan seolah-olah ia tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan setiap hari. Media massa yang merangkumi majalah, radio, televisyen, telefon bimbit, dan alam maya (internet) mempunyai pengaruh yang amat berleluasa sehingga menjadi penyumbang kepada corak kehidupan masyarakat. Lihatlah sendiri bagaimana ia mampu menmpengaruhi tingkah laku masyarakat disekeliling kita dari aspek kehidupan sehinggakan ia mampu membina identiti baru dalam bangsa dan budaya kita.
Menyedari kekuatan pengaruh yang ada media massa, Yahudi dan Nasrani telah menggiatkan usaha mereka untuk memonopoli industri ini sejak berlakunya Perang Dunia Kedua di mana agenda mereka ialah untuk memesongkan akidah umat islam secara halus dan mengawal ekonomi dunia melalui dakyah media massa. Allah swt telah mengingatkan kita didalam surah al-baqarah ayat 120 yang berbunyi :
Yang bermaksud: Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.
Pelbagai usaha dan agenda yang telah di lakukan oleh mereka dalam usaha untuk memastikan orang islam tergelincir daripada ajaran islam yang sebenar salah satunya melalui industri perfileman. Sedarkah kita bahawa hampir kesemua syarikat perfileman gergasi dunia dimiliki oleh orang yahudi? Hampir kesemua filem-filem yang diterbitkan berunsur lucah, pergaulan bebas, seks, keganasan dan keseronokan yang kesemuanya pasti akan merosakkan akhlak masyarakat umat islam.
Banyak kesan kerosakan akhlak yang telah dapat kita perhatikan disekeliling kita diantaranya pergaulan bebas diantara lelaki dan wanita. Cuba kita tanya kepada anak-anak kita, siapakah kawan-kawan mereka. Pastinya nama yang akan disebut bercampur diantara lelaki dan perempuan seolah-olah ianya tidak menjadi satu kesalahan untuk mereka. Walhal agama islam telah meletakkan satu benteng pemisah diantara lelaki dan perempuan semata-mata untuk menjaga maruah diri orang islam. Ketahuilah bahawasanya Allah telah mengharamkan ikhtilat iaitu pergaulan bebas diantara lelaki dan perempuan yang mana hukum ini adalah disepakati oleh ulama dalam pengharamannya kecuali berlaku dharurat syarie yang tidak dapat dielakkan.
Pergaulan bebas yang dikatakan sebagai berfikiran terbuka atau open minded tanpa di kawal oleh syariat islam akan menyebabkan kerosakan yang banyak dan akan mengusik naluri nafsu manusia sehingga berleluasa perlakuan seks bebas, sumbang mahram, anak luar nikah.
Sidang jumaat sekelian,
Bukan itu sahaja, terdapat juga rancangan realiti yang diwujudkan untuk meruntuhkan institusi kekeluargaan islam antaranya American idol, america got talent yang kemudian telah diikuti oleh masyarakat kita dengan akademi fantasia, mentor, sehati berdansa, kilauan emas dan sebagainya sehinggakan ada ibubapa yang menyokong anak-anak mereka mengejar populariti tanpa memikirkan tentang isu aurat, pergaulan bebas dan tanggungjawab mereka dalam menjaga maruah anak-anak perempuan mereka yang akan dipersoalkan oleh Allah di padang mahsyar kelak.
Para hadirin sekelian,
Tanpa kita sedari, masyarakat kita sudah mula untuk kembali mengikuti akhlak umat zaman jahiliyah sepertimana yang telah disabdakan oleh Nabi Muhammad saw didalam hadisnya yang berbunyi:
Dari Abu Said al-Khudri RH katanya: Nabi Muhammad SAW bersabda: Kamu semua akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal sehasta demi sehasta sehingga kalau mereka masuk ke lubang biawak sekali kamu tetap akan mengikut mereka. Kami bertanya adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani? Sabda Nabi SAW: Siapa lagi kalau bukan mereka? (Riwayat Muslim no: 2669)
Lihatlah sekeliling kita. Hampir semua cara hidup orang-orang Yahudi dan Nasrani (Kristian) telah menyerap masuk ke dalam kehidupan masyarakat kita. Cara kita menyapa saudara kita, fesyen berpakaian kita, kehidupan berumahtangga kita, cara kita berinteraksi dan cara kita berfikir telah hampir-hampir sama dengan mereka. Atau mungkin sudah sama dengan mereka?!!
Media telah berperanan dengan sangat cemerlang dalam mengubah sedikit demi sedikit masyarakat kita sejak puluhan tahun lamanya. Idea Yahudi dan Nasrani telah mencorak luar dan dalam jiwa kita. Televisyen telah menjadi alat yang paling efisyen merubah tanggapan dan mengelirukan minda ummat. Yang salah pada pandangan agama diperdanakan lalu menjadi paradigma. Yang benar pada pandangan agama dituduh dengan pelbagai label negatif. Sehingga Islam dilabelkan pengganas pada mata dunia.
Mana rancangan televisyen yang apabila barat mengadakannya, televisyen kita tidak mengikutnya? Hampir semua program rancangan televisyen yang dicipta Yahudi dan Nasrani ditiru lalu dicorakkan dengan versi tempatan. Dari rancangan berita, dokumentari, hiburan, kanak-kanak dan terkini program-program rancangan realiti memenuhi menu hidangan mata dan minda masyarakat kita.
Ya, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta telah kita tiru mereka. Kini ramai sudah berada hampir dengan lubang sempit yang kotor(lubang biawak), malah ada yang sudah bergelumang di dalamnya!!! Na`udzu billahi min dzalik!
Khutbah Kedua
Sidang Jumaat Sekelian,
Sebenarnya terlalu banyak media massa yang telah digunakan oleh Yahudi dan Nasrani untuk memesongkan masyarakat Islam kita daripada ajaran yang sebenar melalui hiburan, konsert, fesyen, sukan dan banyak lagi. Persoalannya, siapakah yang perlu dipersalahkan dalam hal ini? Apakah yang perlu dilakukan untuk menyelamatkan zuriat kita daripada terus dihanyutkan oleh gelombang hedonisma yang dialunkan oleh Yahudi dan Nasrani?
Menyedari hakikat ini kerajaan telah menggiatkan usaha dalam penerbitan pelbagai saluran media massa seperti AL-HIJRAH, IKIM.FM, memperbanyakkan syarikat pengeluaran majalah-majalah islamik dan mempergiatkan lagi usaha-usaha di jabatan agama negeri untuk membuat kempen keagamaan bagi menghalang usaha jahat Yahudi dan Nasrani ini antaranya kem biah solehah, kem tahfiz, kem solat, ceramah-ceramah agama dan lain-lain lagi.
Walau bagaimanapun usaha seharusnya dimulakan dari rumah. Ibubapa perlu memantau program televisyen yang ditonton oleh anak-anak, siapakah kawan-kawannya, buku atau majalah apa yang dibaca. Dan pemantauan ini seharusnya dari kecil bukan setelah rebung menjadi buluh.
Kaum muslimin sekelian,
Kita perlulah membina benteng pertahanan dalam jiwa generasi umat islam yang akan datang iaitulah anak-anak kita. Adakah kita mahu membiarkan anak-anak kita semakin runtuh akhlaknya?
Katakanlah TIDAK kepada yahudi dan nasrani yang ingin memesongkan masyarakat kita daripada ajaran islam yang suci murni ini. Didiklah zuriat kita menjadi muslim dan muslimah yang sejati.
Ya Allah kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayahmu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur lah.
Ya Allah, hanya padamu kami berserah memohon keampunan kepadaMU, redakanlah bencana yang kami alami, lindungilah kami semua dari murkamu, hindarkanlah kami dari bencana-bencana yang lebih besar yang tidak mampu kami tanggungi. Kasihanilah kami semua Ya Allah! Sesungguhnya engkaulah penentu segalanya, bantulah kami menghadapinya. Kami bermohon kepadamu dengan penuh kerendahan hati, engkaulah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Makbulkan lah doa kami Ya Allah..... amin ya rabbal ‘alamin.
Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com
No comments:
Post a Comment