Muhammad Faizal, | 17 Sep 2012 |
Antara lain ianya bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Sabah dan Sarawak serta pembangunan kedua-dua negeri.
Malah ianya juga sebagai komitmen Pakatan Rakyat untuk menghormati Perjanjian Malaysia 1963.
Deklarasi tersebut telah ditandatangani Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang di Chong Ling Park, Kuching petang semalam.
Deklarasi tersebut turut diumumkan pada Sambutan Hari Malaysia di sini semalam.
Tujuh perkara yang terkandung dalam deklarasi tersebut adalah:
PERKARA 1: KERJASAMA BERSEKUTU
Kami akan memulihara intipati Perjanjian Malaysia dan memperkasakan kedudukan Sarawak dan Sabah setanding dengan Semenanjung Malaysia dengan mengembalikan autonomi Sarawak dan Sabah mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan.
PERKARA 2: PERWAKILAN YANG ADIL
Kami akan mempertingkatkan integrasi nasional di antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia melalui penggemblengan tenaga dan perkongsian kuasa secara adil yang menjunjung semangat Perjanjian Malaysia.
PERKARA 3: KEWARGANEGARAAN
Kami akan menubuhkan Suruhanjaya DiRaja bagi menyelesaikan masalah nasional berkaitan pendatang tanpa izin dan isu-isu kerakyatan, khususnya di Sarawak dan Sabah.
PERKARA 4: PENGIKTIRAFAN HAK KE ATAS TANAH ADAT
Kami akan menghormati dan mengiktiraf hak anak watan ke atas tanah adat sepertimana yang tertakluk dan termaktub dalam Undang-undang Negeri Sarawak dan Sabah dengan menubuhkan Suruhanjaya Tanah untuk menyiasat, menyelesaikan pertikaian, memperbaharui, menyelidik dan memulihkan Hak Adat Peribumi ke atas pemilikan Tanah Adat.
PERKARA 5: KECEKAPAN DAN KEMANDIRIAN SARAWAK DAN SABAH
Kami akan mengiktiraf perlantikan rakyat Sarawak dan Sabah untuk memimpin dan memegang jawatan di Jabatan Kerajaan di negeri masing-masing, dikuatkuasakan oleh Setiausaha-setiausaha kerajaan kedua-dua negeri dan memberikan keutamaan kepada rakyat Sarawak dan Sabah di peringkat Kerajaan Persekutuan untuk menjalankan tugas di negeri masing-masing.
PERKARA 6: KEADILAN DALAM ISU MINYAK
Kami akan menaikkan bayaran royalti ke atas petroleum dan sumber sumber hidrokarbon kepada Sarawak dan Sabah dari 5% ke 20%.
PERKARA 7: PEMBANGUNAN SEKATA
Kami akan membawa tahap kemajuan infrastruktur di Sarawak dan Sabah setanding dengan perkembangan di Semenanjung Malaysia.
Pakatan Rakyat menjelaskan deklarasi ini merupakan satu perjanjian yang tidak boleh disangkal serta dipersoalkan, ia termaktub di antara Pakatan Rakyat dan segenap lapisan masyarakat Malaysia.
Perjanjian yang ditandatangani pada 16 September itu juga bermatlamat agar kebebasan dapat dicapai dan masyarakat boleh hidup bersatu pada dalam suasana aman dan damai.
Sementera itu, selain ditandatangani oleh pemimpin utama Pakatan Rakyat, deklarasi tersebut turut ditandatangani oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Sarawak, Adam Ahid, Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian dan juga Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng.
Perjanjian enam salinan itu telah disimpan oleh mereka yang telah menurunkan tandatangan sebagai saksi bahawa deklarasi Kuching adalah janji Pakatan Rakyat kepada seluruh rakyat Malaysia.
Pakatan jamin bela hak rakyat Sabah, Sarawak
Muhammad Faizal, | 16 Sep 2012 |
Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika berucap pada ambang sambutan Hari Malaysia di Tuaran semalam berkata, pasti terdapat kesilapan mahu pun kepincangan di dalam pemerintahan sekarang yang mana Sabah dan Sarawak merupakan negeri yang amat kaya dengan hasil bumi tetapi rakyat dan negeri ini tetap berada dalam kemiskinan.
"Saya melihat secara jelas ada kesilapan berlaku dalam pemerintahan sekarang, di mana negeri ini cukup kaya dengan hasil bumi namun keadaan negeri dan rakyat terus berada dalam keadaan kemiskinan jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.
"Ini yang perlu kita semua fikirkan dan kita tidak mahu kekayaan negeri ini dibawa keluar untuk kegunaan lain sedangkan pembangunan serta rakyat terus dipinggirkan," ucapnya di hadapan ribuan rakyat yang hadir.
Presiden PAS itu turut memberitahu, mengikut ajaran Islam kita tidak boleh memindahkan hasil sesuatu wilayah kepada kerajaan pusat selagi hasil itu tidak boleh menyelesaikan kemiskinan di negeri tersebut.
"Sabah dan Sarawak belum lagi selesai masalah kemiskinannya terutama berkenaan hidup rakyat, tetapi hasil kedua-dua negeri ini terus diangkut keluar.
"Janji Buku Jingga akan kita laksana sepenuhnya sehinggalah taraf hidup kedua-dua negeri Malaysia timur serta pembanguan setanding dengan apa yang dialami di semenanjung," sambung beliau.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Marang itu turut memohon maaf kepada rakyat Malaysia Timur diatas sikap pemimpin-pemimpin negara yang terus meminggirkan pembangunan negeri dan rakyat dari menikmati kekayaan hasil negeri sendiri.
"Kemerdekaan yang sebenarnya adalah kita mesti bebas dari pemimpin-pemimpin yang menyalahguna kuasa serta yang tidak menunaikan amanah," jelas beliau.
Ustaz Hadi dalam ucapannya turut menjelaskan kenapa PAS mengadakan persefahaman dengan parti-parti dari kaum bukan Islam.
"Suka saya menegaskan Islam yang kami anuti adalah agama yg mengajar bukan sahaja terhadap ibadat tetapi termasuk juga mengajar politik dan cara hidup.
"Dalam politik dan cara hidup, kita disuruh berlaku adil kepada manusia dan kita disuruh bekerjasama menentang yang zalim siapa sahaja yang zalim.
"Dan kita disuruh bersama menegakkan sebuah kerajaan yang adil untuk semua, Islam mengajar kita berbagai kaum dan etnik, berbagai agama dan budaya sepatutnya tidak boleh memecah belah di antara satu sama lain," katanya.
Sambungnya, walaupun terdapat titik-titik perbezaan dan percanggahan serta bertentangan namun terdapat titik-titik persamaaan dalam isu menegakkan keadilan dan menentang kezaliman.
Sehubungan itu beliau menyeru agar rakyat Sabah dan Sarawak membuat perubahan pada pilihanraya nanti demi mengembalikan hak yang telah dijanjikan pada pembentukan Malaysia serta memastikan pembangunan negeri ini terus selari dengan pembangunan di semenanjung.
"Demokrasi adalah hak rakyat menjadi hakim, sepatutnya rakyat menggunakan demokrasi untuk menghukum parti yang memerintah kalau parti itu tidak betul dan khianat," sambung beliau lagi.
Turut hadir pada majlis itu Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli, Naib Presiden PAS, Datuk Paduka Husam Musa dan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof.
Manakala dari PKR pula adalah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden, Mohamad Azmin Ali, Menteri Besar Selangor tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dan beberapa barisan Majlis Pimpinan Pusat.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng juga turut hadir dan memberi ucapan.
Majlis Sambutan Hari Malaysia itu dipengerusikan oleh Bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin juga dihadiri beberapa pemimpin dari Sabah, termasuk bekas bendahari Umno Sabah Tan Sri Ibrahim Menudin yang baru memgumumkan menyertai PKR.
No comments:
Post a Comment