Maafkan kesilapan lalu, Najib mahu BN dikekal
Wartawan Sinar Harian
29 November 2012
Najib memeriksa perbarisan sempena perasmian Perhimpunan Agung Umno 2012, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh Rosli Talib
KUALA LUMPUR - Sambil menegaskan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bukan
"pilihan raya yang biasa", Datuk Seri Najib Tun Razak meminta maaf atas
kekhilafan yang wujud masa-masa lalu.
Dilihat cuba menjelaskan bahawa pengundi tidak sewajarnya menghukum
atas kesilapan dan kelemahan yang wujud sebelum ini pada PRU13, Presiden
Umno berkata, "bumi mana tak ditimpa hujan, laut mana tidak bergelora,
bahagian dunia manakah yang wujudnya orang, atau pimpinan, atau
persyarikatan atau parti yang tidak pernah tersandung atau tersalah."
"Di atas segalanya, sebagai kepimpinan parti dan kerajaan, kami
menyusun jari nan sepuluh memohon maaf atas kekhilafan," kata beliau
yang awal tahun ini pernah menzahirkan perkara yang sama di Selangor dan
Kedah.
[UCAPAN DASAR PRESIDEN UMNO 2012]
Dalam
ucapan dasar yang
disampaikan pada Perhimpunan Agung Umno 2012 di Dewan Merdeka, Najib
berkata, Umno tidak akan membiarkan negara ini hancur dan runtuh di
sebabkan tindak tanduk pihak yang mentabur fitnah.
"Sudah barang pasti Umno tidak akan membiarkan semua itu berlaku. Jika
kita kehilangan harta, ia boleh dicari ganti. Jika kita hilang darjat
kedudukan, ia dapat dipulih semula.
"Tetapi, jika kita kecundang dalam perjuangan ini, kita sudah tidak
punya apa-apa lagi. Kita akan melukut di tepi gantang. Akhirnya,
terbangsat dan merempat di tanah sendiri," kata beliau dalam ucapannya
yang mengambil masa hampir 90 minit.
Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, PRU13 ini
bukanlah satu pilihan raya yang biasa. Ia merupakan titik penentu kepada
destini rakyat dan negara.
"Pilihan raya inilah yang akan mencorakkan rupa wajah Malaysia hari esok untuk ditinggalkan pada anak-anak kita.
"Antara sebuah Malaysia yang maju berteraskan nilai serta matlamat
dikongsi bersama, atau, Malaysia yang mundur terpisah oleh tembok ghaib
dipalit rasa prasangka dan prejudis," kata beliau.
Najib menambah, hasil kerja keras setiap generasi telah membentuk Malaysia, yang dikagumi rakan dan dihormati taulan.
"Siapa menjangka bumi yang sarat dengan segala rencam ini, mampu melepasi, apatah lagi berjaya menangani cabaran bernegara.
"Pilihannya juga amat jelas, untuk kita melihat anak-anak tanpa mengira
kaum mahupun agama berhilai ketawa, membesar dan berlibur bersama-sama,
atau didewasakan dengan kebencian yang membara.
"Di satu sudut, jalan mulia yang telah terintis semenjak merdeka,
bersiram darah, bermandi air mata dan dibasahi keringat para patriot
sepanjang zaman," katanya lagi.
Najib berkata, beliau selaku Presiden Umno bersama-sama timbalanya
serta seluruh saf kepimpinan parti, bersumpah dengan nama ALLAH dan
Rasul-Nya, berikrar dan berjanji, terus mendahulukan kesejahteraan
rakyat, terus memartabat rumpun Melayu, terus membenteng akidah umat dan
terus memelihara agama Islam.
"Walau apapun rintangan yang melanda, biar apapun cabaran menghalang,
Umno tidak akan berpulang walau setapak, Umno tidak mungkin berpatah
jalan.
"Umno takkan berdalih dalam menjulang sebuah kebaktian. Umno dan
Barisan Nasional akan mara di barisan hadapan, menghadapi musuh dari
luar mahupun dalam," katanya lagi.
Malah kata beliau, pihaknya akan menggunakan segala kudrat yang ada
bagi memenangani hati dan fikiran rakyat di gelanggang demokratik.
"Kita akan bersaing untuk setiap undi, kita akan berusaha untuk
meyakinkan setiap rakyat Malaysia, kita juga akan mengetuk setiap pintu
hati dan membuka setiap gerbang harapan.
"Kita percaya, rakyat Malaysia berhak mendapat kerajaan yang terbaik
dan kita yakin bahawa, Umno dan Barisan Nasionallah yang mampu untuk
menawarkan yang terbaik untuk rakyat Malaysia," kata beliau.
Umno tegar juang Islam, tegas Najib
29 November 2012
Perhimpunan Agung Umno 2012
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan Umno akan sentiasa memperjuang dan mempertahankan Islam dan menentang sekeras-kerasnya mereka yang mendukung fahaman pluralisme mahupun liberalisme.
Presiden Umno berkata kedudukan Islam akan terus dipertahan seperti mana termaktub di dalam Perlembagaan parti dan sesuai dengan kedudukannya sebagai Agama Persekutuan.
"Ingin ditegaskan di sini, tanpa ragu-ragu lagi bahawa Umno komited
bagi terus mempertinggi Islam berteraskan maqasid syariah, demi
memelihara agama, nyawa, harta benda, akal, maruah dan keturunan.
"Di atas pentas perhimpunan ini juga, kita mahu menyatakan tanpa
berbasi-basi lagi bahawa kita menentang sekeras-kerasnya mereka yang
mendukung fahaman pluralisme mahupun liberalisme," katanya ketika
menyampaikan ucapan dasar Presiden bertemakan 'Kepimpinan Transformatif
Menuju Wawasan Nasional' sempena perasmian Perhimpunan Agung Umno 2012
di sini, hari ini.
Berucap di hadapan 2,759 anggota perwakilan yang memenuhi Dewan
Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Najib turut menolak
keras dakwaan sesetengah pihak bahawa Umno parti nasionalis yang
sekular.
Menyifatkan tuduhan itu 'amatlah tersasar', Najib berkata selama ini
Umnolah yang membolehkan Islam diamalkan sebagai cara hidup yang syumul
di negara ini di sebalik kepelbagaian Malaysia sebagai sebuah negara
berbilang etik, budaya dan agama.
Masjid Arrahman
Najib berkata banyak telah dilakukan oleh Umno dalam memastikan
kelangsungan Islam di negara ini yang menyaksikan syiar Islam bukan
terbatas di bidang ibadah sahaja bahkan merangkumi lapangan munakahat,
muamalah dan jinayah.
Katanya penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji membolehkan umat Islam
menabung dan mengerjakan ibadah haji secara sistematik, khidmat
perbankan dan kewangan Islam diperluas, malah Malaysia yang diiktiraf
sebagai negara Islam contoh turut menyumbang kepada kesejahteraan di
seluruh dunia menerusi pasukan pengaman, pemerhati dan perubatan yang
dihantar ke negara Islam berkonflik seperti Bosnia, Somalia, Lubnan dan
Afganistan.
Malaysia juga, katanya komited untuk mendapatkan keadilan bagi rakyat
Palestin, malah mungkin menjadi negara pertama membuka kedutaan di ibu
kota Palestin yang merdeka dan berdaulat kelak.
"Merujuk semua itu, janganlah sumbangan kepada Islam diukur hanya
dengan tahap retorik dan kuatnya bunyi pekikan slogan semata-mata,
sedangkan sumbangan sebenar serta isi kandungannya tidak seberapa,"
katanya.
Sinis menempelak sikap pembangkang yang mendoakan kecelakaan Umno,
Najib berkata Umno tidak rela untuk memecahbelahkan perpaduan umat Islam
dan tidak sekali-kali akan mencaci atau menista saudara seagama seperti
yang dilakukan parti lawan.
"Jadi kita ingin berpesan cukup-cukuplah cuba memperdaya rakyat. Suatu
ketika dahulu Umno dituduh kafir melalui amanat Tuan Guru (Datuk Seri
Hadi Awang)...Umno dicap kafir kerana bekerjasama dengan rakyat Malaysia
yang tidak beragama Islam, kononnya tidak menyokong penubuhan negara
Islam dan pelaksanaan hudud," katanya.
Kesan amanat pada 1981 itu menurut Najib bukan sahaja telah memecahkan
perpaduan, tetapi menanam benih-benih kebencian di kalangan sesama
Islam.
"Natijahnya muncullah tragedi Memali, peristiwa Lubok Merbau, kejadian
sembahyang dua imam, perceraian suami isteri, perseteruan keluarga serta
wujudnya fahaman haram memakan sembelihan oleh orang-orang Umno,"
katanya.
Bagaimanapun, kata Najib, di sebalik tohmahan dan propaganda jahat
pembangkang yang diasak kepada Umno, perjuangan parti itu dalam
memartabatkan Islam di Malaysia dan seantero dunia tetap menyinar dan
dipersadakan.
Malah terbaru, Malaysia diletakkan di tempat kelima teratas dalam
pematuhan Indeks Syariah Malaysia yang dikendali sekumpulan ulama
antarabangsa, kata Najib. - Bernama
.
Najib isytihar Umno sudah berubah, ahli mahu PRU sekarang
G MANIMARAN
29 November 2012
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun
Razak mengisytiharkan Umno, parti yang diketuai sejak Mac 2009, sudah
mengalami perubahan sepenuhnya dan kini bersedia untuk menghadapi
Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), yang akan diadakan tahun depan.
Mesej beliau itu disambut dengan laungan para perwakilan parti agar Parlimen dibubar sekarang bagi mendapatkan mandat rakyat.
"Umno sudah berubah (sepenuhnya)," kata Presiden Umno dan Perdana Menteri ini memulakan ucapan dasar Perhimpunan Agung Umno (AGM) 2012 di Dewan Merdeka hari ini.
Ketika Najib mengajukan soalan sudah bersedia tiga kali, perwakilan dan
pemerhati yang membanjiri Dewan Merdeka melaungkan, "bubar, bubar,
bubar..."
Dengan senyuman Najib menjawab,"sudah bersedia? Sudah bersedia? Sudah bersedia?
Disambut perwakilan "sudah"
Bila? Esok? Tahun depan?," tambah Najib
Kemudian Najib berkata, beliau mahu dan yakin Umno akan kembali
bersidang di Dewan Merdeka tahun depan dengan membentuk kerajaan.
"Kita akan kembali kepada rakyat untuk mendapatkan mandat dan kita
akan kembali berhimpun di dewan ini tahun depan dengan membentuk
kerajaan," kata beliau lagi.
"Jelas sekali terasa, parti kita telah semakin pulih semangatnya. Kita
yakin bahawa jentera parti pula, daripada peringkat cawangan, bahagian,
perhubungan sehinggalah ke peringkat Kebangsaan telah pun bersedia
untuk menghadapi pilihan raya umum yang bakal diadakan.
"Namun begitu, dalam pada kita sedang memupuk semangat juang yang
marak dan membara ini, janganlah alpa pada kisah-kisah lalu.
"Beringatlah, Pilihan Raya Umum ke-12 Mac 2008 merupakan pengalaman
yang sungguh pahit, sungguh kelat, dalam episod politik Umno dan Barisan
Nasional," kata beliau.
Kata Najib, "apa yang pasti, kita tidak boleh banyak berbicara dan
bertangguh-tangguh lagi. Kita perlu memperhebatkan tindakan dan
menggandakan usaha."
Mandat Kerajaan Pusat akan berakhir 28 April depan.
Ketika berucap pada sesi Taklimat Presiden kelmarin, Najib dikatakan
mengesahkan PRU13, yang sebelum ini Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin
Yassin menyifatkan sebagai "ibu segala pilihan raya", tidak akan
diadakan bulan depan.
AGM Umno tahun ini dilihat akan memberi tumpuan dan fokus mendalam ketika seluruh negara bersiap sedia untuk menghadapi PRU13.
BN dan Umno, pada tahun 2008, diketuai oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi. - SINARHARIAN.