29 November 2012
KUALA LUMPUR - Sambil menegaskan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bukan "pilihan raya yang biasa", Datuk Seri Najib Tun Razak meminta maaf atas kekhilafan yang wujud masa-masa lalu.
Dilihat cuba menjelaskan bahawa pengundi tidak sewajarnya menghukum atas kesilapan dan kelemahan yang wujud sebelum ini pada PRU13, Presiden Umno berkata, "bumi mana tak ditimpa hujan, laut mana tidak bergelora, bahagian dunia manakah yang wujudnya orang, atau pimpinan, atau persyarikatan atau parti yang tidak pernah tersandung atau tersalah."
"Di atas segalanya, sebagai kepimpinan parti dan kerajaan, kami menyusun jari nan sepuluh memohon maaf atas kekhilafan," kata beliau yang awal tahun ini pernah menzahirkan perkara yang sama di Selangor dan Kedah.
[UCAPAN DASAR PRESIDEN UMNO 2012]
Dalam ucapan dasar yang disampaikan pada Perhimpunan Agung Umno 2012 di Dewan Merdeka, Najib berkata, Umno tidak akan membiarkan negara ini hancur dan runtuh di sebabkan tindak tanduk pihak yang mentabur fitnah.
"Sudah barang pasti Umno tidak akan membiarkan semua itu berlaku. Jika kita kehilangan harta, ia boleh dicari ganti. Jika kita hilang darjat kedudukan, ia dapat dipulih semula.
"Tetapi, jika kita kecundang dalam perjuangan ini, kita sudah tidak punya apa-apa lagi. Kita akan melukut di tepi gantang. Akhirnya, terbangsat dan merempat di tanah sendiri," kata beliau dalam ucapannya yang mengambil masa hampir 90 minit.
Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, PRU13 ini bukanlah satu pilihan raya yang biasa. Ia merupakan titik penentu kepada destini rakyat dan negara.
"Pilihan raya inilah yang akan mencorakkan rupa wajah Malaysia hari esok untuk ditinggalkan pada anak-anak kita.
"Antara sebuah Malaysia yang maju berteraskan nilai serta matlamat dikongsi bersama, atau, Malaysia yang mundur terpisah oleh tembok ghaib dipalit rasa prasangka dan prejudis," kata beliau.
Najib menambah, hasil kerja keras setiap generasi telah membentuk Malaysia, yang dikagumi rakan dan dihormati taulan.
"Siapa menjangka bumi yang sarat dengan segala rencam ini, mampu melepasi, apatah lagi berjaya menangani cabaran bernegara.
"Pilihannya juga amat jelas, untuk kita melihat anak-anak tanpa mengira kaum mahupun agama berhilai ketawa, membesar dan berlibur bersama-sama, atau didewasakan dengan kebencian yang membara.
"Di satu sudut, jalan mulia yang telah terintis semenjak merdeka, bersiram darah, bermandi air mata dan dibasahi keringat para patriot sepanjang zaman," katanya lagi.
Najib berkata, beliau selaku Presiden Umno bersama-sama timbalanya serta seluruh saf kepimpinan parti, bersumpah dengan nama ALLAH dan Rasul-Nya, berikrar dan berjanji, terus mendahulukan kesejahteraan rakyat, terus memartabat rumpun Melayu, terus membenteng akidah umat dan terus memelihara agama Islam.
"Walau apapun rintangan yang melanda, biar apapun cabaran menghalang, Umno tidak akan berpulang walau setapak, Umno tidak mungkin berpatah jalan.
"Umno takkan berdalih dalam menjulang sebuah kebaktian. Umno dan Barisan Nasional akan mara di barisan hadapan, menghadapi musuh dari luar mahupun dalam," katanya lagi.
Malah kata beliau, pihaknya akan menggunakan segala kudrat yang ada bagi memenangani hati dan fikiran rakyat di gelanggang demokratik.
"Kita akan bersaing untuk setiap undi, kita akan berusaha untuk meyakinkan setiap rakyat Malaysia, kita juga akan mengetuk setiap pintu hati dan membuka setiap gerbang harapan.
"Kita percaya, rakyat Malaysia berhak mendapat kerajaan yang terbaik dan kita yakin bahawa, Umno dan Barisan Nasionallah yang mampu untuk menawarkan yang terbaik untuk rakyat Malaysia," kata beliau.
Presiden Umno berkata kedudukan Islam akan terus dipertahan seperti mana termaktub di dalam Perlembagaan parti dan sesuai dengan kedudukannya sebagai Agama Persekutuan.
"Di atas pentas perhimpunan ini juga, kita mahu menyatakan tanpa berbasi-basi lagi bahawa kita menentang sekeras-kerasnya mereka yang mendukung fahaman pluralisme mahupun liberalisme," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden bertemakan 'Kepimpinan Transformatif Menuju Wawasan Nasional' sempena perasmian Perhimpunan Agung Umno 2012 di sini, hari ini.
Berucap di hadapan 2,759 anggota perwakilan yang memenuhi Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Najib turut menolak keras dakwaan sesetengah pihak bahawa Umno parti nasionalis yang sekular.
Menyifatkan tuduhan itu 'amatlah tersasar', Najib berkata selama ini Umnolah yang membolehkan Islam diamalkan sebagai cara hidup yang syumul di negara ini di sebalik kepelbagaian Malaysia sebagai sebuah negara berbilang etik, budaya dan agama.
Najib berkata banyak telah dilakukan oleh Umno dalam memastikan kelangsungan Islam di negara ini yang menyaksikan syiar Islam bukan terbatas di bidang ibadah sahaja bahkan merangkumi lapangan munakahat, muamalah dan jinayah.
Katanya penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji membolehkan umat Islam menabung dan mengerjakan ibadah haji secara sistematik, khidmat perbankan dan kewangan Islam diperluas, malah Malaysia yang diiktiraf sebagai negara Islam contoh turut menyumbang kepada kesejahteraan di seluruh dunia menerusi pasukan pengaman, pemerhati dan perubatan yang dihantar ke negara Islam berkonflik seperti Bosnia, Somalia, Lubnan dan Afganistan.
Malaysia juga, katanya komited untuk mendapatkan keadilan bagi rakyat Palestin, malah mungkin menjadi negara pertama membuka kedutaan di ibu kota Palestin yang merdeka dan berdaulat kelak.
"Merujuk semua itu, janganlah sumbangan kepada Islam diukur hanya dengan tahap retorik dan kuatnya bunyi pekikan slogan semata-mata, sedangkan sumbangan sebenar serta isi kandungannya tidak seberapa," katanya.
"Jadi kita ingin berpesan cukup-cukuplah cuba memperdaya rakyat. Suatu ketika dahulu Umno dituduh kafir melalui amanat Tuan Guru (Datuk Seri Hadi Awang)...Umno dicap kafir kerana bekerjasama dengan rakyat Malaysia yang tidak beragama Islam, kononnya tidak menyokong penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hudud," katanya.
Kesan amanat pada 1981 itu menurut Najib bukan sahaja telah memecahkan perpaduan, tetapi menanam benih-benih kebencian di kalangan sesama Islam.
"Natijahnya muncullah tragedi Memali, peristiwa Lubok Merbau, kejadian sembahyang dua imam, perceraian suami isteri, perseteruan keluarga serta wujudnya fahaman haram memakan sembelihan oleh orang-orang Umno," katanya.
Bagaimanapun, kata Najib, di sebalik tohmahan dan propaganda jahat pembangkang yang diasak kepada Umno, perjuangan parti itu dalam memartabatkan Islam di Malaysia dan seantero dunia tetap menyinar dan dipersadakan.
Malah terbaru, Malaysia diletakkan di tempat kelima teratas dalam pematuhan Indeks Syariah Malaysia yang dikendali sekumpulan ulama antarabangsa, kata Najib. - Bernama.
29 November 2012
"Umno sudah berubah (sepenuhnya)," kata Presiden Umno dan Perdana Menteri ini memulakan ucapan dasar Perhimpunan Agung Umno (AGM) 2012 di Dewan Merdeka hari ini.
Ketika Najib mengajukan soalan sudah bersedia tiga kali, perwakilan dan pemerhati yang membanjiri Dewan Merdeka melaungkan, "bubar, bubar, bubar..."
Dengan senyuman Najib menjawab,"sudah bersedia? Sudah bersedia? Sudah bersedia?
"Kita akan kembali kepada rakyat untuk mendapatkan mandat dan kita akan kembali berhimpun di dewan ini tahun depan dengan membentuk kerajaan," kata beliau lagi.
"Jelas sekali terasa, parti kita telah semakin pulih semangatnya. Kita yakin bahawa jentera parti pula, daripada peringkat cawangan, bahagian, perhubungan sehinggalah ke peringkat Kebangsaan telah pun bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum yang bakal diadakan.
"Namun begitu, dalam pada kita sedang memupuk semangat juang yang marak dan membara ini, janganlah alpa pada kisah-kisah lalu.
No comments:
Post a Comment