20 November 2012
KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan kepada Pakatan Rakyat (PR) agar melantik Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Sigh sebagai Perdana Menteri jika PR rakyat berjaya mentadbir negara.
“Bagi kat dialah (Karpal Sigh), teruk lama dah dia berjuang ni, patut bagi Karpal Sigh jadi perdana menteri... Yang Amat Berhormat Karpal Sigh, bila pencen boleh dapat Tun tau, Tun Karpal Sigh, Tun Anwar Ibrahim , Tun Haji Hadi,” katanya dengan sinis ketika ditanya wartawan berhubung kecelaruan PR dalam soal siapa layak jadi Perdana Menteri.
Menurut beliau, rakyat boleh melihat sendiri sikap pemimpin pembangkang yang sudah berebut-rebut jawatan sebelum berjaya menguasai kerusi di Parlimen.
“Inilah yang kita lihat belum jadi kerajaan dah berebut-rebut dah. Bukan sahaja Haji Hadi (Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang), bukan sahaja Anwar (Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim), Karpal Sigh pun nak jadi Perdana Menteri jugak,” katanya.
Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendirian perwakilan di Muktamar Pas ke-58 baru-baru ini yang mahu Abdul Hadi menjadi Perdana Menteri sekiranya kemenangan berpihak kepada PR pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Bagaimanapun, DAP dengan tegasnya mengulangi pendirian mereka mahukan Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri jika PR memerintah.
“Ini adalah pilihan sepakat bagi ketiga-tiga parti, bahawa jika Pakatan Rakyat menang, Anwar yang akan menjadi perdana menteri,” kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng semalam.
Mengulas lanjut berhubung perkara itu , Dr Mahathir berkata DAP, mahu mendapat kepercayaan daripada masyarakat Melayu, oleh kerana itu mereka beriya-iya mahukan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
“Dia nak orang Melayu percaya pada DAP, kerana pemimpin DAP tidak ada orang Melayu, yang ada sudah lari keluar. Jadi dia nak Melayu punya sokongan, sebab itu dia nak orang Melayu jadi PM, jadi orang Melayu merasa legalah orang Melayu jadi PM.
“Tetapi, nanti jadi seperti di Perak, bila Nizar (Datuk Seri Nizar Jamaluddin) jadi Menteri Besar, dia duduk di bawah telunjuk DAP, sebab itu dia bagi tanah, kita tentukan dasar tanah tidak boleh bagi lebih daripada 99 tahun tapi dia bagi sampai kiamat,” katanya.
No comments:
Post a Comment