KUALA TERENGGANU: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru
Abdul Hadi Awang mencabar Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan surat
rasmi berkenaan keputusan mengenai ‘Amanat Haji Hadi’.
Mengulas kenyataan Datuk Seri Dr Rais Yatim bahawa Majlis Fatwa
Kebangsaan turut memutuskan amanat itu bercanggah dengan kepentingan
masyarakat Islam dan kemuliaan agama serta prinsip dakwah Islamiah,
beliau menafikan menerima sebarang surat daripada mufti tersebut.
“Saya tidak menerima surat dari Majlis Fatwa Kebangsaan. Saya cabar
Majlis Fatwa hantar surat kepada saya. Dia (Majlis Fatwa) tak panggil
saya.
“Surat rasmi pun tidak ada…atas angin sahaja. Bukan boleh atas angin
begitu…bukan ‘meniaga’ ni dan kalau berniaga pun tidak boleh atas angin.
Ini soal agama,” tegasnya.
Beliau berkata ‘amanat’ itu merupakan satu petikan daripada ucapan beliau yang dibuat di Banggol Peradong 31 tahun yang lalu.
Ustaz Abdul Hadi menjelaskan beliau tidak pernah menamakan ucapan tersebut sebagai amanat tetapi dibuat oleh pihak lain.
“Amanat itu satu petikan, saya tidak menamakan ‘amanat’ tetapi orang
lain yang menamakan ‘amanat’ dan yang beri nama ‘amanat’ itu termasuk
Umnolah.
“Bukan saya menamakan ‘amanat’, ia petikan ucapan saya selepas itu
dibentang di Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu. Ketua Biro Agama
Umno bentang dan saya bangun (jawab)…betul, itu ucapan saya. Masa itu
kenapa tidak hujah, selepas 30 tahun baru hendak hujah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat
jenazah allahyarham Tengku Zaliha binti Almarhum Sultan Ismail
Nasiruddin Shah di Maqam Diraja Masjid Abidin, di sini petang tadi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan isu penjelasan
amanat tersebut bukan sekadar pilihan raya tetapi kerana hari akhirat.
Menurutnya, jika Perdana Menteri atau mufti enggan bersemuka di atas
dunia, maka tunggulah pada hari akhirat ketika mengadap Allah SWT.
“Saya akan mati, mufti-mufti juga akan mati, Perdana Menteri mati,
saya mati…kita mengadap Tuhan. Tuhan yang akan menentukan betul atau pun
salah. Jika tidak atas dunia ini..akhiratlah. Kita bertemu dengan Tuhan
jika atas dunia tak mahu bertemu,” tegasnya.
Justeru, Ustaz Abdul Hadi tetap bertegas mahukan ruang penjelasan
selama satu jam bersiaran di RTM milik kerajaan kerana PAS tidak
memiliki media yang menyeluruh.
“Saya tetap mahukan (siaran langsung) supaya masyarakat berlaku adil.
Adil ini kena dengar semua pihak dan dengan cara itulah, sebab kita
tiada media.
“Biar rakyat tahu…dia (rakyat) dengar semua barulah (faham). Ini dengar sebelah pihak, macam mana.
“ Kena dengar dulu apa yang saya hendak kata, supaya masyarakat dengar betul atau tidak apa yang saya hendak kata,” ujarnya.HD.
No comments:
Post a Comment