25 JANUARI 2013 / 13 RABI’UL AWWAL 1434H
أَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، أَرْسَلَهُ بِالْحَقِّ بَشِيرًا وَنَذِيرًا بَيْنَ يَدَيِ السَّاعَةِ، مَنْ يُطِعِ اللهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ رَشَدَ، وَمَنْ يَعْصِهِمَا فَقَدْ غَوَى.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu, dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Menurut Ibnu Rajab al-Hanbali rahimahullahu Taala ‘anhu di dalam kitabnya Fathul Bari (فتح البارى)yang bermaksud : kecintaan kepada nabi SAW merupakan salah satu pegangan dalam keimanan, dan ia selari dengan kecintaan kepada Allah SWT. Allah telah menjelaskan keselarian ini, dan memberi janji buruk kepada mereka yang mendahulukan kecintaan terhadap perkara lain berbanding kedua-kedua kecintaan ini, sama ada kecintaan terhadap ahli keluarga, harta, tanahair dan sebagainya.
Begitu juga, Al-‘Allamah Sheikh Prof Dr Ali Jum’ah di dalam bukunya al-Bayan lima yashghulu al-azhan (البيان لما يشغل الأذهان ) (Penerangan yang tepat untuk memperbetulkan beberapa fahaman yang keliru dalam bab kenabian Rasulullah SAW) ketika diminta untuk mengulas mengenai perayaan atau sambutan kelahiran Nabi Muhammad SAW atau Maulidur Rasul, beliau menjelaskan bahawa sambutan perayaan sempena mengingati kelahiran baginda SAW merupakan satu amalan yang baik, dan semulia-mulia cara menghampirkan diri. Ini kerana ia merupakan aplikasi kepada kegembiraan dan kecintaan kepadanya. Bahkan, kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW merupakan salah satu pegangan dalam keimanan.
Daripada penjelasan di atas, merayakan sambutan kelahiran Nabi Muhammad SAW, bukanlah merupakan perkara bid’ah dan tidak bertentangan dengan ajaran Islam dan ianya diiktiraf sebagai salah satu bentuk kecintaan ke atas baginda SAW.
Saban tahun kita menyambut dan merayakan hari kelahiran Nabi Muhammad SAW, yang merupakan salah satu daripada tanda kecintaan kita kepada baginda. Adakah ini sahaja yang sanggup kita lakukan sepanjang hidup selain daripada berselawat ke atas baginda??? Adakah perkara ini sahaja yang dituntut kepada kita sebagai tanda cinta dan kasih kita kepada sebaik-baik makhluk di atas muka bumi ini??? Sesungguhnya, ketahuilah kita semua, bahawa kita sebenar dituntut untuk melakukan lebih daripada itu, sebagai tanda keimanan kita kepada Rasulullah.
Muslimin yang dirahmati sekalian,
Allah SWT ketika menyatakan ciri-ciri pengikut Rasulullah SAW sebagaimana ayat 29 surah al-Fath iaitu :-
Maksudnya : Muhammad adalah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki - dengan kembang biaknya umat Islam itu. Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.
Daripada ayat di atas, saya ingin menyenaraikan ciri-ciri pengikut Rasulullah sebagaimana berikut :-
1. Bersikap tegas dan keras kepada orang kafir. Dalam perkara-perkara berkaitan perkara usul atau aspek keimanan iaitu berkaitan rukun-rukun iman seperti iman kepada Allah dengan tidak mensyirikkan Allah dengan segala sesuatu selain-Nya, kita tidak boleh bertolak ansur dengan orang kafir yang sentiasa mencuba untuk memesongkan akidah dan keimanan kita. Sebagai contoh, kita sebagai umat Islam di Malaysia telah mencapai kata sepakat untuk tidak membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah kepada tuhan mereka.
2. Bersikap kasih sayang dan belas kasihan kepada sesama muslim. Kita mestilah memiliki perasaan kasih sayang dan belas kasihan kepada saudara sesama muslim walaupun berlainan warna kulit, bahasa, adat resam, budaya dan seumpamanya. Elakkan melakukan permusuhan yang berpanjangan yang boleh merugikan diri kita sendiri dan umat ini. Ketahuilah, kita semua diibaratkan seperti sebuah bangunan saling menguatkan antara satu sama lain. Setiap daripada kita mempunyai keistimewaan dan fungsi tertentu di dalam masyarakat dan negara.
3. Beribadat ruku’ dan sujud kerana mengharap limpah kurnia dan keredhaan Allah. Sentiasa melakukkan ibadah dengan mengikut petunjuk-petunjuk daripada Rasulullah dan orang-orang saleh seperti solat tahajjud, puasa sunat, menjaga kebajikan anak yatim, memuliakan tetamu, menghormati alim ulama dan sebagainya.
4. Di muka mereka terdapat kesan-kesan sujud. Mereka banyak melakukan amal ibadah, hati dan jiwa mereka sentiasa tenang, zahir di wajah mereka ketenangan walaupun alam sekeliling mereka kacau bilau dan seumpamanya. Jiwa mereka sentiasa tenang kerana sentiasa mengingati Allah dalam keadaan berdiri, duduk atau tidur.
Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah sama-sama kita menjadi pengikut Rasulullah dengan memiliki dan mengamalkan keempat-empat perkara seperti di atas, untuk melayakkan kita mendapat syafaat Nabi Muhammad di akhirat kelak.
الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Kesimpulan dari khutbah pertama tadi ialah :
1. Mengikut Rasulullah merupakan tanda keimanan kepada Allah Taala.
2. Merayakan sambutan kelahiran Rasulullah merupakan tanda kegembiraan dan kecintaan kepada Rasulullah SAW.
3. Mengamalkan ciri-ciri pengikut Rasulullah iaitu Bersikap tegas dan keras kepada orang kafir, Bersikap kasih sayang dan belas kasihan kepada sesama muslim, Beribadat ruku’ dan sujud kerana mengharap limpah kurnia dan keredhaan Allah dan di muka mereka terdapat kesan-kesan sujud.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ، وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ.
اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ، وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ.
اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ، وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الْأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّيْن شاه اِبْنِ اَلْمَرْحُوْمِ سلطان يُوْسُف عِزُّ الدِّيْن شَاه غَفَرُ اللهُ لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ.
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الأخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ.
فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.
Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com
http://dewanulamakpasperak.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment