Harakahdaily, | 13 Jan 2013 |
Setiausaha agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, perhimpunan yang berjalan dengan tertib dan sifar dari kejadian yang tidak diingini itu adalah sangat terpuji kerana itulah realiti yang sebenar apabila rakyat diberi ruang untuk berhimpun dengan aman tanpa sebarang provokasi.
Tambahnya, jelas segala tohmahan dan fitnah terhadap HKR112 oleh pihak yang menganggap ia akan menjejaskan keamanan adalah ternafi.
Beliau berkata, penganjur HKR tersebut harus dipuji bukan sahaja dari segi pengawalan keselamatan yang dijalankan yang sangat rapi malah ia merupakan perhimpunan yang murni dari rakyat tanpa sebarang kekecohan.
“Kami memperakui bahawa tuntutan 10 perkara yang diisytiharkan adalah wajar sebagai komitment untuk memperbaikki kualiti hidup rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, tuntutan itu juga adalah janji Pakatan Rakyat jika berjaya mengambil alih kerajaan selepas PRU13, seharusnya menjadi komitmen rakyat untuk memastikan semua tuntutan itu dipenuhi oleh sesiapa pun yang akan membentuk kerajaan.
Katanya, deklarasi yang mengandungi lapan perkara itu yang meliputi aspek proses pilihan raya, isu Felda, status pembangunan Sabah dan Sarawak, royalti petroleum, professionalisme kakitangan awam, alam sekitar, martabat bahasa Melayu, pembebasan tahanan ISA, mempertahankan kampung warisan dan kualiti hidup kaum wanita adalah tuntutan yang menyeluruh dan menyentuh soal kepentingan rakyat yang wajar diberi sokongan.
Justeru, ujarnya Mapim menyeru agar PRU13 yang akan diadakan seharusnya mengenengahkan idea bernas seperti yang dituntut dalam HKR itu dan bukan dengan melemparkan fitnah serta melagakan sentimen kaum dan agama.
Katanya lagi, rakyat perlu dididik untuk melaksanakan proses demokrasi dengan matang demi menjadikan negara ini lebih bermaruah .
“Dengan mendengar hujah dan penerangan secara langsung dalam HKR112 itu, sikap rakyat harus dihormati untuk membuat keputusan tanpa sebarang ugutan dan sogokan,” ujarnya.
Beliau menambah, HKR petang semalam telah melakarkan sejarah yang sangat penting untuk negara ini yang menunjukkan betapa suara rakyat tidak perlu dipandang serong malah semua pihak perlu menghormati tuntutan rakyat .
“Sementara perhimpunan itu telah berjalan lancar dan membuktikan kematangan rakyat merayakan kebebasan bersuara dan berkumpul dengan aman, pihak kerajaan pula harus bersikap jujur supaya maklumat yang benar tidak diselewengkan hanya kerana mahu mengekalkan kuasa,” ujarnya.
Foto: Abu Shaukah - Anroid
No comments:
Post a Comment