MUHASABAH DIRI SEBELUM MENJELANG RAMADHAN
Khutbah Pertama
اَلْحَمْدُ
لِلَّهِ الْقَائِلِ،
قَدْ نَرَىٰ تَقَلُّبَ
وَجْهِكَ فِي السَّمَاءِ ۖ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا ۚ فَوَلِّ وَجْهَكَ
شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ ۗ وَإِنَّ الَّذِينَ
أُوتُوا الْكِتَابَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ ۗ وَمَا اللَّهُ
بِغَافِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ ﴿١٤٤﴾
Bermaksud: "Kerapkali Kami melihat engkau (wahai Muhammad),
berulang-ulang mengadah (mendongak) ke langit, maka Kami benarkan engkau
berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah
mukamu ke arah Masjidil Haram (tempat letaknya Ka'abah) dan di mana
sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan
sesungguhnya orang-orang (yahudi dan nasrani) yang telah diberikan
kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Ka'abah) itu
adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka dan Allah tidak sekali-kali
lalai akan apa yang mereka lakukan". (Surah Al-Baqarah Ayat 144)
أَشْهَدُ أَنْ
لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا
عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ
صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ
وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ،
فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا
وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan sidang Jumaat sekalian,
marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah سبحانه وتعالى dengan
melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.
Sebelum memulakan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang Jumaat
sekalian agar menumpukan perhatian terhadap khutbah yang bakal
disampaikan. Fahami dan hayatilah isi kandungan serta jangan
bercakap-cakap dan membuat bising. Mudah-mudahan kita memperolehi
keredhaan di sisi Allah سبحانه وتعالى. Mimbar pada hari ini akan
membicarakan khutbah yang bertajuk; "Muhasabah Diri Sebelum Menjelang Ramadhan".
Sidang hadirin sekalian,
Ayat yang dibacakan di awal khutbah tadi dipetik dari Surah Al-Baqarah
Ayat 144 berkisar tentang bagaimana Allah سبحانه وتعالى menurunkan wahyu
supaya memalingkan kiblat kaum Muslimin dari Masjidil Aqsa ke Masjidil
Haram. Peristiwa ini terjadi pada bulan Sya'aban di mana Rasulullah صلى
الله عليه وسلم sering berdoa kepada سبحانه وتعالى agar kiblat kaum
Muslimin kembali ke Masjidil Haram di Makkah. Antara amalan-amalan yang
sangat dituntut pada bulan ini adalah dengan memperbanyakkan berpuasa
sepertimana yang diriwayatkan dari Usamah bin Zaid رضي الله عنه dia
berkata:
قُلْتُ
يَا رَسُولَ اللهُ لَمْ أَرَكَ تَصُومُ مِنْ شَهْرٍ مِنَ الشُّهُورُ مَا
تَصُومُ مِنْ شَعْبَانٍ قَالَ ذَلِكَ شَهْرٌ يُغْفَلُ النَّاسَ عَنْهُ
بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانٍ وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الْاَعْمَالِ
إِلَى رَبِّ الْعَالَمِيْنَ فَأَحَبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا
صَائِمٌ
"Aku berkata; Ya Rasulullah, saya tidak
pernah melihatmu berpuasa dalam suatu bulan dari bulan-bulan yang ada
seperti puasamu di bulan Sya'aban. Baginda bersabda; Itulah bulan yang
manusia lalai darinya antara Rejab dan Ramadhan. Dan merupakan bulan
yang di dalamnya diangkat amalan-amalan kepada Rabbul 'Alamin. Dan saya
menyukai amal saya diangkat, sedangkan saya dalam keadaan berpuasa". (Hadith riwayat Imam An-Nasa'ie)
Apa yang mimbar ingin sampaikan di sini mengenai kelebihan bulan
Sya'aban yang mana masih ramai umat Islam tidak mengetahui seperti
peristiwa dan amalan di atas betapa mulianya bulan Sya'aban di sisi
Allah dan Rasul-Nya. Hadith di atas juga mengingatkan kita bahawa bulan
Sya'aban seolah-olah menjadi bulan untuk kita semakin giat menyediakan
jiwa, rohani dan fizikal kita untuk melangkah masuk ke dalam bulan
tarbiyah iaitu Ramadhan Al-Mubarak.
Bulan Ramadhan merupakan bulan pahala, rahmat dan kebaikan dicurahkan
oleh Allah سبحانه وتعالى tanpa ada sempadan. Oleh itu kita perlulah
menyediakan diri agar layak menjadi hamba yang dikurniakan Allah سبحانه
وتعالى dengan kemuliaan. Jiwa kita ini ibarat pakaian yang perlu
disucikan dan dibersihkan daripada dosa agar ia kemudian selayaknya
mendapat tempat curahan rahmat dan kemuliaan Allah سبحانه وتعالى ke
dalamnya. Bagaimana kita boleh mengharapkan keredhaan Allah sedangkan
diri kita masih lagi bergelumang dengan dosa, hati kita masih lagi
dipenuhi dengan sifat kebencian, kesombongan, keangkuhan serta penyakit
hati yang lain. Bagaimana kita boleh mengharapkan Allah menjadikan kita
orang yang dibebaskan daripada api neraka pada bulan Ramadhan nanti jika
kita ini masih lagi melakukan perkara yang boleh menghalang kita
daripada Syurga Allah?
Justeru, mimbar ingin berpesan kepada diri sendiri dan sidang jama'ah
sekalian agar sama-sama kita kembali bermuhasabah diri. Masih belum
terlewat untuk kita memperbaiki jiwa yang sememangnya jika tidak dipupuk
dari awal akan menyebabkan nafsu amarah menguasai diri. Ini sesuai
dengan firman Allah سبحانه وتعالى di dalam Surah Yusuf Ayat 53:
۞ وَمَا أُبَرِّئُ
نَفْسِي ۚ إِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلَّا مَا رَحِمَ
رَبِّي ۚ إِنَّ رَبِّي غَفُورٌ رَّحِيمٌ ﴿٥٣﴾
Maksudnya: "Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku,
sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan,
kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka
terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku maha
Pengampun lagi Maha Mengasihani".
Muslimin yang dirahmati Allah,
Sememangnya menundukkan hawa nafsu merupakan suatu proses yang
berterusan dan memerlukan mujahadah yang tinggi. Manusia yang lalai akan
membiarkan nafsunya menguasai dirinya. Maka di dalam memastikan nafsu
kita ini dapat dikawal dengan baik, pastikanlah kita tidak lalai
daripada berzikir mengingati Allah سبحانه وتعالى. Ketika mana nafsu mula
membisikkan kemahuan bermaksiat, maka bersegeralah kita mengingati
Allah. Ini kerana hati yang sentiasa mengingati Allah akan menghasilkan
ketenangan dan kedamaian dalam diri kita. Rasulullah صلى الله عليه وسلم
pernah mengajarkan doa iaitu:
يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيثُ أَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ وَلَا تَكِّلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ
Bermaksud: "Wahai Tuhan yang Maha Hidup dan Maha Berdiri dengan
sendiri-Nya, dengan rahmat-Mu aku memohon bantuan, perbaikilah segala
urusanku dan jangan Engkau tinggalkan aku untuk diriku walau sekelip
mata". (Hadith riwayat Imam An-Nasa'ie dan Al-Baihaqi)
Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Mengakhiri khutbah pada minggu ini, beberapa amalan tambahan di dalam
bulan Sya'aban untuk kita sama-sama melaziminya bagi persediaan sebelum
menjelangnya Ramadhan. Antaranya:
1. Menjaga solat lima waktu secara berjamaah. Ini jelas disebut
dalam beberapa hadith Nabi صلى الله عليه وسلم tentang kelebihan menjaga
solat berjamaah dan ancaman orang yang meninggalkannya padahal ia
berkemampuan melaksanakannya.
2. Memperbanyakkan membaca, menghafaz dan mengulang kaji
Al-Quran. Amalan ini adalah sebesar-besar pintu kebaikan kerana di
dalamnya terkandung keutamaan dan pahala yang besar di sisi Allah سبحانه
وتعالى.
3. Sentiasa menghidupkan qiyamullail. Lazimilah qiyamullail
secara berterusan tidak hanya dilakukan pada bulan Ramadhan sahaja
tetapi juga bulan-bulan yang lain.
4. Menghubungkan silaturrahim. Inilah antara tang sewajarnya
diperhatikan oleh umat Islam di bulan Sya'aban ini supaya kita berusaha
mengamalkan sebaik-baik ketaatan sebelum dihisab amalan kita di hadapan
Allah kelak.
بَارَكَ
اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ
مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ
إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ
وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ
الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ
المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.
Khutbah Kedua
الْحَمْدُ
لِلَّهِ الْذِي نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنُؤْمِنُ بِهِ
وَنَتَوَكَّلُ عَلَيْهِ، وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ
أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ
لَهُ، أَشْهَدُ أَنْ
لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ
سَيِّدَنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ سَيِّدُ الْخَلَائِقِ وَالْبَشَرِ. اَللَّهُمَّ
صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ
وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ،
فَيَاعِبَادَ الله، اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. وَاعْلَمُواْ
أَنَّ اللهَ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى أَمَرَكُمْ بِأَمْرٍ بَدَأً فِيهِ بِنَفْسِهِ
وَثَنَّى بِمَلآئِكَتِهِ الْمُسَبِّحَةِ بِقُدْسِهِ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى
مُخْبِرًا وَآمِرًا:
أَعُوذُ بِاللهِ
مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ
عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا
عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾
Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi
segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai
orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam
sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Al-Ahzab: 56)
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ
وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ
وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ
رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ،
اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ
وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ اْلكَفَرَةَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ وَأَهْلِكْ
أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ.
Ya Allah, ya Tuhan kami, kami memohon agar dengan rahmat dan
perlindungan-Mu, negara dan negeri kami ini dan seluruh rakyatnya
dikekalkan dalam keamanan dan kesejahteraan, tanamkanlah rasa kasih
sayang di antara kami, kekalkanlah perpaduan di kalangan kami, semoga
dengannya kami sentiasa hidup aman damai, makmur dan selamat sepanjang
zaman.
Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat
sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang
melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan
harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah
golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang
berpanjangan.
Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami,
Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan
Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah
al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara
Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ
حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ،
عِبَادَ الله، اِنَّ
الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ
الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا
اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ
مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.
Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang Google Drive. Sila klik
di sini.
No comments:
Post a Comment