Harakahdaily, | 29 Jul 2012 |
(Logo Hari Merdeka ke 55 yang ditarik balik oleh Rais)
KUALA LUMPUR: Selepas diserang kiri dan kanan akhirnya Datuk Seri Rais Yatim menarik balik logo hari kemerdekaan negara yang ke 55.
Namun, Rais berhelah bahawa "Bahan hiasan (artwork) yang dipaparkan oleh sesetengah pihak setakat ini hanyalah paparan selingan bukan logo rasmi."
Rais berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim menjelaskan tiada logo rasmi digunakan bagi sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 tahun ini, melainkan logo 1Malaysia sepertimana sambutan pada tahun lepas.
Beliau berkata, sambutan Hari Kemerdekaan kali ini menggunakan tema "55 Tahun Merdeka Janji Ditepati".
Rais berkata, akan ada beberapa bahan promosi lain dipaparkan menjelang Hari Merdeka 31 Ogos dan Hari Malaysia 16 September.
Pelbagai pihak mempersoalkan mengapa logo sambutan Hari Kemerdekaan ke-55, yang memaparkan gabungan logo 1Malaysia, bendera Malaysia dan tulisan "55 Merdeka Janji Ditepati", hanya ala kadar dan tidak mempunyai nilai-nilai seni yang tinggi.
Selain logo, turut dikritik adalah lagu temanya serta temanya.
Namun sehingga kini, lagu dan slogan itu masih dikekalkan.
Lagu tema
Sejak ia dilancarkan awal bulan ini, dan dimuat naik pelbagai pihak di Youtube, hanya kritikan-kritikan pedas memenuhi ruang komen termasuk mereka yang memilih 'dislike'.
Ada antara mereka memberi komen bahawa lirik lagu tersebut langsung tidak relevan dengan kemerdekaan apatah lagi untuk menanam semangat patriotik di kalangan rakyat.
"Sepanjang-panjang lirik ini, satu pun tak ada sebut perkataan Merdeka. Kata lagu tema Hari Kebangsaan," komen seorang pengunjung youtube.
"Kalau Tunku Abdul Rahman hidup lagi mesti dia menyesal," tambah yang lain.
Tema
Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil
(gambar) antara pengkritik utama tema Hari Kemerdekaan kali ini.
Kadir yang pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Kemerdekaan berkata, tema perayaan hari kemerdekaan disifatkannya sebagai kempen pilihan raya BN.
Tema hari kemerdekaan tahun ialah Janji Ditepati.
"Ianya begitu terang dan terbuka tanpa sorok-sorok. Ini jelas membuktikan sikap kerajaan yang begitu ego dan begitu yakin tentang kedudukannya.
"Ianya tidak peduli sama sekali dengan perasaan pihak rakyat keseluruhannya. Ianya seakan-akan perayaan kemerdekaan juga telah menjadi hak BN," katanya dalam kenyataan akhbarnya.
Lagu tema kemerdekaan paling buruk dalam sejarah negara
|
- Najwan Halimi
- 9:14AM Jul 29 2012
| |
Saya tertarik untuk mengulas tentang lagu tema sambutan kemerdekaan negara ke-55 yang kini sedang hangat diperkatakan di kalangan rakyat khususnya anak muda Malaysia.
Jika diteliti respon dan sambutan di laman-laman sosial seperti
Facebook,
Twitter dan laman-laman blog, ternyata lagu Janji Ditepati yang mana liriknya ditulis oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim ini diperlekeh dan dijadikan bahan jenaka oleh khalayak internet khususnya di kalangan anak-anak muda.
Semakan saya di laman
YouTube mendapati, setiap video yang memaparkan lagu ini menunjukkan bilangan pengunjung yang mengundi untuk tidak menyukai (dislike) jauh lebih tinggi berbanding pengunjung yang mengundi untuk menyukai (like) video lagu ini.
Malang bagi lagu ini kerana bukan hanya susunan muzik dan melodinya yang cincai dan tidak teratur, bahkan apa yang jelas adalah lirik lagu ini secara tersurat bersifat propaganda picisan dan bertujuan untuk memesongkan minda rakyat dari menghayati matlamat sebenar sambutan ulangtahun kemerdekaan negara.
Bermula dari rangkap awal lagu ini yang mengungkapkan perumpamaan kabur -- "macam malam ikut siang, macam bulan ikut matahari" -- diikuti dengan "satu Malaysia terus berjuang, janji kita ditepati", pendengar pastinya gagal memahami apa sebenarnya yang cuba disampaikan menerusi lagu ini.
Apa kaitan malam, siang, Bulan dan Matahari dengan konsep 1Malaysia? Apakah 1Malaysia ini hanya retorik bersifat janji kosong sehingga objek-objek angkasa lepas seperti Bulan dan Matahari pun boleh ditawarkan kepada rakyat?
Maka dari rangkap awal lagi lirik pembukaan lagu ini sudah bermasalah dan gagal menyampaikan sebarang mesej kepada pendengar.
Pendengar kemudiannya akan dibuai dengan lirik perihal "janji dikota" (kononnya) dan kemudiannya bertemu dengan bait paling bermasalah iaitu "janji sudah ditepati, kini masa balas budi". Persoalan yang timbul adalah janji siapa yang sudah ditepati? Dan apa maksudnya "kini masa balas budi"?
Pendengar yang bijak pasti akan dapat memahami bahawa lirik ini secara tersirat bertujuan memerangkap minda khalayak seolah-olah Umno-BN (kerajaan sekarang) telah berjaya menepati janji dan kini telah sampai masanya rakyat (pendengar) supaya mengundi Umno-BN dalam pilihan raya umum akan datang sebagai membalas budi atas janji-janji tersebut.
Lantaran itu, timbul persoalan apakah kewajaran bagi sesebuah lagu yang seharusnya bertemakan penghayatan kemerdekaan diolah sebagai medium propaganda picis dan ditransformasikan menjadi lagu kempen untuk meraih undi dalam pilihan raya?
Pada bahagian korus pula, secara jelas dapat disimpulkan bahawa lagu ini sebenarnya adalah wahyu penguasa yang diturunkan sebagai ingatan kepada rakyat.
Ini berbeza dengan lagu-lagu tema sambutan kemerdekaan sebelum ini khususnya di era Dr Mahathir Mohamad dan Abdullah Badawi yang lebih berteraskan unsur kekitaan dan kebersamaan di antara pelbagai lapisan rakyat.
Keseluruhan bahagian korus lagu ini jika diteliti sememangnya tiada langsung penzahiran elemen patriotisme dan penghargaan terhadap nikmat kemerdekaan yang dikecapi negara. Apa yang ditonjolkan hanya sekadar memuja-muja dan mengangkat retorik kosong janji 1Malaysia yang sehingga kini masih kabur dan mengelirukan.
Akhir sekali adalah pada rangkap 'rap' -- lirik yang mengisi rangkap akhir ini paling parah dan bersifat cacamarba. Entah apa yang bersarang dalam benak si penulis lirik sehingga terhasil bait-bait lirik yang lemah, dangkal dan membosankan.
Alangkah jeleknya bila mana lirik rap pada rangkap terakhir itu diselit dengan istilah (Bantuan Rakyat 1Malaysia) BR1M, klinik dan kedai yang berorientasikan retorik 1Malaysia.
Apa kaitan BR1M, klinik dan kedai dalam proses penyampaian mesej kemerdekaan dan semangat patriotisme kepada rakyat? Ini langsung tiada kena mengena dengan semangat patriotisme.
Dan paling memalukan adalah tatkala dihebahkan kepada khalayak bahawa penulis lirik lagu ini merupakan seorang yang memegang jawatan menteri dan bertanggungjawab menjaga portfolio kebudayaan.
Jelas, menerusi lagu ini, Umno-BN cuba untuk memanipulasi sentimen patriotisme bersempena sambutan ulangtahun kemerdekaan negara dengan menerapkan propaganda lekeh dalam usaha terdesak mereka untuk meraih undi menjelang PRU yang dijangka akan diadakan dalam tempoh terdekat ini.
Tidak dapat tidak untuk disimpulkan bahawa tiada langsung sebarang elemen patriotisme di dalam lagu ini melainkan puja-pujian dan sanjungan melangit ke atas retorik 1Malaysia serta pujukan halus supaya rakyat terus mengekalkan kuasa di tangan Umno-BN.
Semangat kemerdekaan dan nilai patriotisme langsung tidak dirasai di dalam lagu ini.
Justeru, rakyat khususnya anak muda tidak wajar untuk terus membiarkan diri mereka dihenyak dan diperbodohkan oleh propaganda sempit ini.
Kemerdekaan seharusnya dirai dan dihargai dengan menghayati nilai patriotisme berasaskan semangat pencerahan yang tulen; bukannya dengan propaganda lapuk yang disandarkan pada sebuah lagu "kemerdekaan" paling buruk dalam sejarah negara.
Najwan Halimi merupakan Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia. Tulisan ini merupakan pandangan peribadinnya dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.
DAP gesa PM kaji semula tema hari merdeka
| - Ahmad Fadli KC
- 11:37AM Jul 18 2012
| |
Penasihat DAP, Lim Kit Siang menggesa perdana menteri mengkaji semula tema Hari Kemerdekaan 2012 yang didakwa menggunakan slogan politik BN, "Janji Ditepati".
Menurutnya, Datuk Seri Najib Razak masih mempunyai masa untuk berbuat demikian dan membuktikan yang beliau adalah perdana menteri untuk semua rakyat Malaysia.
"Jadilah perdana menteri untuk semua rakyat Malaysia, baik untuk BN dan juga Pakatan (Rakyat).
"Masih belum terlambat untuk perdana menteri mengarahkan kajian semula terhadap tema sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia," kata Lim.
Menurutnya, tema 'Janji Ditepati' mula digunakan pemimpin-pemimpin BN sewaktu jelajah jalanan mereka bermula beberapa bulan lalu.
Justeru, apabila ia kini digunakan sebagai tema Hari Kemerdekaan, ia tidak lagi bersifat menyeluruh terhadap semua rakyat Malaysia, katanya.
"Apabila tema Hari Kemerdekaan 'dirampas' dan menggunakan slogan kempen BN, ia akan memecah-belahkan rakyat Malaysia.
"Hari Kebangsaan sepatutnya merupakan acara yang disambut oleh semua rakyat Malaysia.
"Tapi apabila propaganda BN digunakan sebagai tema Hari Kebangsaan, ia jelas sekali meminggirkan Pakatan," katanya.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim pada hujung Jun lalu mengumumkan 'Janji Ditepati' sebagai tema Hari Kemerdekaan tahun ini.
Pada pengumuman yang sama, Rais menggesa agar semua pihak mengenepikan perbezaan politik dan menjayakan sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-55 nanti.