Hazayani Zakaria, | 14 Jul 2012 |
Koordinator GSF, Mazlan Aliman berkata, penerimaan baik memorandum peneroka itu membuktikan isu peneroka bukan 'isu jalanan' tetapi mendapat pengiktirafan Yang di-Pertuan Agong.
"Terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong kerana hari ini detik yang paling bersejarah kerana selama lapan bulan kita berhubung dengan perdana menteri bagi menyatakan pandangan kita tapi langsung tak ada respons.
"Tapi hari ini pegawai perhubungan awam istana bersedia terima memorandum seperti yang dijanjikan, ini menandakan keyakinan Yang di-Pertuan Agong dalam mengambil kira isu penyenaraian FGVH," kata beliau pada sidang media selepas penyerahan memorandum ke Istana Negara, petang tadi.
"Kita nyatakan penghargaan kepada PDRM yang beri kerjasama bukan sahaja dalam memantau pergerakan peserta himpunan namun mereka mengiringi sampai ke pintu istana bagi memudahkan kami menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong," kata beliau yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak).
Namun tegasnya, memorandum tersebut tidak akan berakhir di setakat ini sahaja tetapi tindkan undang-undang terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan diteruskan kerana berhubung kenyataannya yang menggelarkan 'haram jadah' kepada peneroka.
"GSF selepas ini akan mulakan beberapa prosiding penting iaitu menyaman Najib yang menyabut 'haram jadah' dan berada di peringkat akhir untuk mengemukakan tuntutan di mahkamah terhadap suruhanjaya sekuriti kerana tidak memberi respons terhadap aduan kita," katanya.
Tunggu campurtangan Agong
Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, pihaknya menunggu tindakan daripada Yang di-Pertuan Agong kerana penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia disifatkan sebagai bahaya kepada aset bumiputera.
"Kita harap Agong dapat membuat sesuatu untuk menyelamatkan tanah peneroka dalam jangka masa panjang kerana kita amat bimbang aset peneroka tergadai.
"Sekarang hak rakyat mahu disenaraikan dalam senarai bursa saham. Ini satu penyenaraian yang berbahaya dan kepada peneroka," tegasnya.
Enam orang dibenarkan masuk menyerahkan memorandum ke istana kira-kira jam 3.20 petang.
Kenderaan mereka daripada jalan Dutamas 1 diiringi kenderaan polis masuk ke kawasan istana.
No comments:
Post a Comment