Kehebatan anak dan menantu dalam PAS
- Nasrudin Hassan
July 28, 2013
Sebentar tadi, saya menerima emel
dari seorang rakan yang merujuk saya kepada artikel bertajuk "Kebangkitan
Pengaruh Menantu, Kali ini dalam PAS" oleh Amin Iskandar, seorang
pengarang berita di portal The Malaysian Insider.
Saya melihat artikel itu sarat
dengan spekulasi yang mencetus fitnah. Ia dilihat sengaja dicetus untuk
membantu pihak yang mahu menjatuhkan Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang lalu
merosakkan kredebiliti ulama tersohor yang kini sedang menerajui kepimpinan
PAS. [Sebab itu gambar Tuan Guru Hj Abdul Hadi menjadi penghias artikel dan
nama Tuan Guru juga diserlahkan dengan ketara.]
Saya memilih untuk respon artikel
itu kerana nama saya turut diseret dalam spekulasi yang menumbuhkan fitnah
rekaan pengarangnya.
Tiba-tiba sahaja nama Al Fadhil
Ustaz Zaharudin Mohamad menjadi hit dan diperkenalkan kepada umum sebagai
menantu kepada Tuan Guru Presiden PAS, sedang menurut perspektif saya bahawa
Ustaz Zaharudin Mohamad adalah seorang yang sangat low profile.
Justeru itu ia tidak dikenali umum
sebelum daripada ini. Bahkan bukan beliau sahaja yang berstatus menantu kepada
pemimpin utama jamaah PAS malah ramai lagi yang pernah berstatus menantu kepada
pemimpin utamanya sebelum ini, malah ada yang berstatus anak kepada pemimpin
utama. [saya tidak perlu menyenaraikannya]
Secara umumnya, semua bapa dan
mentua akan berbangga dengan kehebatan anak dan menantu mereka. Sementelah anak
dan menantu mereka aktif memperjuangkan Islam bersama jamaah. Malah menjadi
idaman setiap bapa dan mentua yang berjuang menegakkan Islam untuk memiliki
anak dan menantu yang hebat serta mempunyai karisma kepimpinan yang hebat juga
dalam perjuangan suci ini.
Tambahan pula Islam tidak memandang salah pertalian anak dan menantu yang turut
berintima' dalam Gerakan Islam lantas bergandingan dengan seluruh anggota
jamaah yang lain untuk memperjuangkan Islam.
Saidina Ali Karramallahu Wajhah
antara contoh menantu Nabi saw yang sangat hebat dalam sejarah Islam, berjuang
dan mengisi saff kepimpinan ummah di belakang Nabi saw.
Sebagaimana Saidina Abu Bakar As
Siddiq Rha sebagai bapa mentua Nabi saw yang juga hebat berjuang dan
mempertahankan Nabi saw.
[Malah kesemua sahabat Khulafa' Ar
Rasyidin mempunyai hubungan mentua dan menantu dengan Nabi saw dan menduduki
posisi kepimpinan utama sejak zaman hidupnya Nabi saw]
Perkara yang menjadi kesalahan ialah apabila berlaku penyelewengan serta
penyalahgunaan kuasa dan ini perlu dibuktikan apabila berlaku dakwaan.
Bukan sahaja anak dan menantu, malah mereka yang tidak berbau bacang pun, jika
melakukan penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa mestilah dibuktikan apabila
terdapat dakwaan dan jika sabit kes maka tindakan sewajarnya mesti diambil.
Pengarang artikel kebangkitan pengaruh menantu ini cuba mengaitkan Ustaz
Zaharudin Mohamad seperti Khairy Jamaludin dalam Umno yang kononnya menjadi
faktor kejatuhan pemerintahan Pak Lah Badawi. Teori konspirasi itu berlaku dan
digerak kuat oleh Tun Dr Mahathir untuk menjatuhkan Pak Lah dengan memukul
Khairy habis-habisan bagi membantu Najib menaiki takhta pucuk kepimpinan BN.
Akhirnya, Pak Lah terpaksa mengalah dan berundur lalu menyerahkan kuasa kepada
Najib. Ironinya, apabila Najib berkuasa dan mendapat mandat baru melalui
pilihan raya ke-13 sebagai Perdana Menteri Malaysia, Khairy kini dilantik
menjadi Menteri Belia dan Sukan.
Ertinya, kejatuhan Pak Lah adalah
faktor kelemahan dirinya sendiri dan Khairy bukanlah sasaran sebenar. Realiti
ini dapat dilihat sejak awal selepas peralihan kuasa Pak Lah kepada Najib,
Khairy tidak lagi menjadi papan sasar mana-mana pihak dalam Umno mahupun dari
pihak Tun Mahathir sendiri.
Kerana matlamat utama mereka hanya
mahu menjatuhkan Pak Lah dan Pak Lah sudah jatuh. Maka tidak mengapa Khairy
terus mengukuhkan penguasaan dan kedudukan politiknya dalam Umno dan BN.
Jika teori konspirasi ini
diguna dan dimaksudkan oleh Amin Iskandar sebagai main point dalam
artikel Kebangkitan Pengaruh Menantu, ertinya Ustaz Zaharudin Mohamad bukanlah
sasaran utama tetapi sebaliknya Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang selaku Presiden
PAS sebagai sasaran mereka. Persoalannya siapakah yang menyasarkan Tuan
Guru Hj Abdul Hadi?
Saya tidak percaya Tuan Guru Hj Abdul Hadi lemah sebagaimana Pak Lah walaupun
telah wujud sebelum ini percubaan yang dilakukan oleh individu tertentu untuk melabelkan
Tuan Guru Hj Abdul Hadi adalah Pak Lah versi PAS. Sekali lagi saya kira tiada
ahli PAS yang celik Gerakan Islam percaya dan menerima label yang diberi
sedemikian rupa. Sebab itu percubaan tersebut bukan sahaja gagal tetapi terus
lenyap ditelan jerebu yang melanda negara.
Apabila timbul isu kebangkitan pengaruh menantu ini dan percubaan menyamakan
ustaz Zaharudin Mohamad seperti Khairy dalam Umno membuatkan saya
tertanya-tanya dan tercari-cari siapa yang berperanan sebagai Tun Mahathir
untuk memukul Ustaz Zaharudin seperti Tun Mahathir pukul Khairy dahulu? Dan
siapa pula yang akan mengambil tempat Datuk Seri Najib untuk dinaikkan kalau
mereka berjaya menjatuhkan Tuan Guru Hj Abdul Hadi kelak?
Saya berdoa dan bermunajat kepada
Allah swt agar jamaah ini dipelihara oleh-Nya dari musibah dan porak peranda
sedemikian rupa. Semoga mereka yang membangkitkan fitnah dan meniup segarkan
fitnah itu dikurniakan petunjuk oleh Allah swt. Saya menafikan setiap spekulasi
yang dikemukakan oleh Amin Iskandar dalam artikelnya dan ia adalah satu
tanggapan salah jua merupakan satu fitnah.
Saya mengharapkan beliau menarik balik spekulasi yang beliau kemukakan kerana
ia tidak berasas. Saya tidak tahu siapa yang salurkan maklumat sedemikian
kepada beliau sedang beliau bukanlah pimpinan PAS yang boleh akses maklumat
dalaman jamaah. Jika itu maklumat dipungut dari jalur internet atau ada
individu tertentu yang salurkan maklumat kepada beliau, sekali lagi saya nafi
kebenarannya bahkan ia adalah satu tohmahan yang tidak berasas.
Jika Amin Iskandar ingin meneruskan
spekulasinya, beliau boleh berbuat demikian tetapi mesti mengemukakan bukti.
Jika tidak, ia kekal sebagai fitnah.
* Nasrudin Hassan merupakan Ahli
Parlimen Temerloh merangkap Ketua Pemuda PAS.
* Ini adalah pendapat peribadi
penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
No comments:
Post a Comment