pemimpin yang melakukan maksiat maka hendaklah dia membenci maksiat yang dilakukannya itu dan janganlah sekali-kali kamu mencabut ketaatan”. (Riwayat Muslim dan Ahmad)
Disediakan oleh: BAHAGIAN PENYELIDIKAN JAKIM
AL-IMAM TAQIYUDDIN ABI BAKAR BIN MUHAMMAD AL-HUSAINI, KIFAYAH AL-AKHYAR FI HILLI GHAYAH AL-IKHTISAR, DAR AL-KUTUB AL-ILMIYAH, BEIRUT, JLD 2
QANUN JINAYAH SYAR`IYYAH, HAJI SAID HAJI IBRAHIM, CETAKAN PERTAMA 1996, DARUL MA`RIFAH, KUALA LUMPUR
AHKAM AL-SULTANIAH WA AL-WILAYATI AL-DINIYYAH, ABI HASAN ALI BIN MUHAMMAD BIN HABIB AL-BAGHDADI AL-MAWARDI, DAR AL-KUTUB AL-ILMIAH, BEIRUT.
SYARH AL-`AQIDATI AL-TOHAWIYYAH, JUZ 2, CETAKAN KE-13 TAHUN 2000, MUASSASAH AL-RISALAH.
AL-ADILLATU AL-SYAR`IYYAH FI BAYANI HAQQI AL-RA`IYYAH, SYEIKH MUHAMMAD BIN ABDULLAH BIN SABIL, DAR AL-SALAF, RIYADH.
SYARH AL-NAWAWI LI SAHIH MUSLIM, JUZ 12, CETAKAN KE-7 TAHUN 2000, DAR MA`RIFAH, BEIRUT .
Pemberontak ialah siapa sahaja yang melampaui had atau melampai batas undang-undang yang sepatutnya dipatuhi dalam sesebuah Negara. Dalam bahasa arab pemberontak di kenali sebagai bughah iaitu sekumpulan umat Islam yang menentang pemerintah Islam atau melanggar perintahnya atau bertindak menghalang hak-hak Allah atau hak manusia.
Apakah hukumnya?
Apabila wujud pemberontakkan, pemerintah Islam wajib menghantar wakil bagi berurusan dengan pemberontak. Jika tuntutan bughah tadi adalah baik dan tidak memberi kesan yang buruk, tuntutan mereka wajib dipenuhi. Sekiranya tuntutan mereka tidak relevan, boleh memberi kesan buruk, atau tidak ada sebarang motif, maka pemerintah hendaklah memberi nasihat berupa amaran bahawa mereka akan diperangi jika meneruskan pemberontakkan dan minta mereka supaya kembali taat. Jika mereka enggan dan masih memberontak, mereka wajib diperangi.
Kumpulan pemberontak tidak dihukum fasik atau kafir kerana mereka mempunyai sebab dan alasan yang dibenarkan syarak.
Syarat-syarat bagi Memerangi bughah.
1. Untuk memerangi bughah, syarat pertama ialah kumpulan pemberontak itu mestilah kekuatan dan keupayaan untuk menentang atau mengancam pemerintah. Kekuatan mereka mungkin dari segi jumlah ahli yang ramai atau senjata.
2. Pemberontakkan yang dilakukan mestilah benar-benar diluar kawalan pemerintah. Jika ia masih boleh dikawal, mereka tidak perlu diperangi, cukup sahaja dengan ditangkap dan dipenjarakan.
3. Kumpulan bughah ini perlulah mempunyai tafsiran yang jelas tentang sebab mereka memberontak dan mereka mempunyai ruang dalam berijtihad. Jika mereka tiada takwilan yang jelas dan ijtihad yang disandarkan, maka mereka tidak dihukum sebagai pemberontak tetapi diperangi sebagai kumpulan yang fasik. Perlu ditekankan di sini bahawa, jika tiada ijtihad dan tafsiran yang jelas bagi sebab memberontak, dan mereka menghalalkan memerangi pemerintah Islam, kumpulan pemberontak boleh menjadi kufur.
4. Syarat terakhir ialah kumpulan pemberontak mestilah mempunyai tokoh yang ditaat yang berperanan menguatkan mereka, yang mempengaruhi dan menyatupadukan ahli bagi melakukan pemberontakkan.
Dalil
"Dan jika dua puak dari orang-orang Yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap Yang lain, maka lawanlah puak Yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya Dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam Segala perkara); Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil". (al-Hujurat: 9)
Menurut Ulamak, ayat ini bersifat umum atau boleh diqiaskan dengan pemberontakkan. Puak yang zalim adalah kumpulan yang melampaui batas dan perlu diperangi oleh pemerintah apabila dituntut oleh syarak.
Dari sebuah hadis diriwayatkan oleh Abu Daud dalam bab memerangi khawarij Nabi s.a.w bersabda:
“Sesiapa yang memisahkan diri dari jamaah walaupun sejengkal, maka dia telah mencabut ikatan Islam daripada lehernya.”
Mengapa Pemberontak Perlu Diperangi?
Ini adalah kerana supaya menjaga kestabilan pemerintahan setelah dilantik secara sah oleh Umat Islam. Kestabilan pemerintahan penting bagi menyatupadukan kekuatan Umat Islam dan bagi menakutkan musuh.
Banyak Ayat al-Quran memerintahkan umat Islam taat setia kepada pemerintah walaupun dia seorang yang zalim. Tetapi ketaatan dikecualikan dari taat pada perkara maksiat. Dan ketaatan kepada pemerintah adalah melebihi dari berpegang pada ijtihad.
Bagaimana memerangi pemberontak?
Memerangi bughah berbeza dengan cara memerangi orang yang fasik, kafir dan musuh Islam. Malah ia tidak ada kaitan dengan Bid’ah. Memerangi bughah hanya satu matlamat iaitu menjaga keamanan dan perpaduan umat Islam.
1. Mestilah pemerintah terlebih dahulu menghantar wakil bagi berbincang seperti mana dilakukan oleh Saidina Ali r.a yang menghantar Abdullah bin Abbas r.a bagi berbincang dengan kumpulan yang menentangnya. Setelah perbincangan gagal, perlulah diberi ancaman akibat dari pemberontakkan dan kemudian memberi amaran akan diserang, kemudian barulah wajib diperangi jika masih gagal.
2. Peperangan hanya pada orang yang membalas serangan, jika ada pemberontak yang lari dari medan perang tidak boleh dikejar dan pemberontak yang cedera tidak boleh dibunuh.
3. Pemberontak yang ditawan tidak boleh dibunuh, larangan keatas pemberontakkan ini dari hadis Nabi s.a.w dari Ibnu Umar,
“Jangan kejar mereka yang melarikan diri dan jangan kejar dan bunuh mereka yang cedera.” Al-Baihaqi menambah lagi: “dan jangan dirampas harta mereka”.
Dalam satu peristiwa saidina Ali r.a pernah menyuruh pesuruhnya membuat pengumuman dalam peperangan terhadap pemberontak bahawa jangan mengejar orang yang melarikan diri, jangan diserang orang yang cedera, jangan dibunuh orang yang ditawan dan sesiapa yang menutup pintunya dan meletakkan senjata akan selamat. Sesiapa yang enggan menyerah, enggan memberi baiah dan taat setia akan dipenjara sehinggalah peperangan tamat. Tawanan akan dibebaskan sekiranya dia berjanji tidak akan terlibat lagi dalam peperangan. Jika dikhuatiri dia akan memungkiri janji, dia boleh terus dipenjarakan sehingga diyakini.
4. Walaupun harta milik tidak boleh dirampas atas nama harta rampasan perang, namun harta berupa senjata perlu disimpan sebagai bukan hak milik kerajaan sehingga diyakini mereka tidak kembali melancarkan serangan.
Implikasi peperangan terhadap pemberontak.
Jika semua syarat dipenuhi dan langkah awal telah diambil, maka halal darah pemberontak yang dibunuh kerana tindakan ini dibenarkan oleh syarak. Oleh itu pembunuh tidak dikenakan qisas dan bayar diyat.
Selepas tamatnya peperangan, jika pemberontak dibunuh sedangkan dia telah melakukan baiat, maka pembunuh akan dikenakan hukuman qisas. Jika pembunuh bersumpah dia membunuh dengan menganggap pemberontak masih engkar, maka qisas digugurkan dan dia hanya perlu membayar diyat.
Sumber : Fiqh al-Manhaji, Dr. Mustofa al-Khin, Dr. Mustofa al-Bugho & Ali Asy-Syarbaji, bab Pemberontakkan dan Hukumannya.
Dinuatturun dari: Salamizhar.
iii. Komentar
Komen Dr MAZA Dr MAZA pula menjawab dan membidas akan "fatwa" Mufti Perak dengan memberikan pandangan seperti berikut:-
... para imam dalam pelbagai mazhab yang terdiri dari para mujahid yang hebat hanya mengklasifikasikan mereka yang keluar menentang pemerintah dengan senjata atau disebut memiliki syaukah iaitu kekuatan tempur sahaja sebgaia bughah ataupun penderhaka ... itu pun ada pelbagai syarat dalam menangani mereka yang disebut dalam kitab-kitab fekah .. tiba-tiba hari ini ada pula yang kata sekadar tidak puas hati pun dah jadi penderhaka .. ajaibnya fatwa ...berapa harganya?
"untuk semua agamawan di negara mana pun mereka berada patut ditanya: apakah ayat-ayat Tuhan ini hanya ditujukan kepada rakyat bawahan? Sementara golongan atasan –samada sultan ataupun menteri- ayat-ayat
Tuhan tidak terkena mereka? rakyat sahajakah yang patut selalu diingat agar taat pemerintah?! Bukankah pemerintah lebih utama diingatkan agar takutkan Allah dalam pengurusan harta rakyat jelata..kedamaian negara terletak di tangan pemerintah bukan hanya di tangan rakyat..
..ada agamawan yang menghalalkan darah orang bawahan yang berkumpul secara aman tanpa senjata.
Kononnya mereka itu bughah yang dihalalkan untuk bunuh. Padahal bughah adalah istilah yang mempunyai takrifan dan konteks yang tersendiri. Tidak dinamakan bughah yang boleh diperangi oleh pemerintah pada rakyat yang berkumpul tanpa senjata. ..apakah bughah rakyat yang masih membayar cukai dan mengikut pelbagai peraturan yang tetapkan oleh negara?
..kita boleh saja untuk tidak bersetuju dengan perhimpunan itu tapi apakah patut untuk dihalalkan darah rakyat awam yang menyertainya atas alasan selekeh sedemikian rupa?
..menghalalkan darah rakyat atas nama agama adalah satu jenayah yang sangat besar..sesiapa yang memanipulasi agama untuk kepentingan tertentu telah merosakkan nama Tuhan dan utusanNYA yang mulia.."
Komen Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya
“Kalau guling kerajaan yang adil barulah bughah (pemberontak) namanya di dalam Islam,”
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) mendesak Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria supaya perlu berlaku adil dalam mengeluarkan kenyataan.
“Jangan hanya tahu salahkan rakyat semata-mata,” ujar Presiden PMIUM, Mohd Bukhairy Sofian.
Tambahnya, tujuan himpunan adalah untuk memberi isyarat kepada kerajaan rakyat terbeban dengan kenaikan harga barang bukannya mengguling kerajaan.
“Kalau guling kerajaan yang adil barulah bughah (pemberontak) namanya di dalam Islam,” katanya.
Beliau menambah, dalam keadaan negara yang menangung hutang yang banyak, pembaziran terus berlaku, adakah mufti tidak nampak perkara ini.
“Adakah itu tidak zalim? Peruntukan untuk konsert di dataran merdeka sebanyak 15 juta, adakah mufti melihat ini sebagai langkah bijak menyambut tahun baru?” tanya beliau.
Menurutnya, mufti harus berfungsi menasihati pemerintah, bukan mengampu semata-mata.
“Orang di bawah dan rakyat begitu susah untuk mendapat sesuap nasi. Mereka tidak ada elaun dan dibayar gaji seperti mufti,” katanya.
Justeru, tegasnya PMIUM mendesak Harussani menarik balik label bughah dan harus memohon maaf kepada rakyat kerana menisbahkan mereka sebagai bughah (pemberontak) yang mana gelaran yang begitu menghina rakyat.
iv. Lain-lain yang berkaitan
Patutkah politik dicampur agama?
Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Rentetan dari itu juga, ada yang menyatakan anak-anak muda yang memakai topeng ala vendetta dalam perhimpunan itu telah rosak akidah mereka kerana menyerupai ajaran Kristian.
Memakai kasut semasa solat bukanlah satu kesalahan jika kasut itu bersih dari najis. Dalam al-Mustadrak oleh al-Hakim, ada riwayat yang disahihkan oleh al-Zahabi, daripada Anas bin Malik, berkata: “Nabi s.a.w tidak pernah menanggalkan kasut dalam solat melainkan sekali, lalu, ketika itu, orang ramai pun turut menanggalkannya. Nabi s.a.w bertanya: 'Mengapa kamu menanggalkan kasut kamu?' Mereka menjawab: 'Kami melihat engkau menanggalkannya, maka kami pun tanggalkan'. Nabi s.a.w bersabda, 'Jibril telah memberitahu aku bahawa pada kedua kasutku ada kotoran'."
Dalam riwayat Ibn Khuzaimah, ditambah: “Seseorang kamu hendaklah melihat kasutnya, jika ada kotoran hendaklah dia sapu di tanah (gesel hingga bersih di tanah), kemudian dia boleh bersolat memakainya.”
Ertinya, bukan satu masalah yang besar, bahkan diizinkan solat memakai kasut jika bersih. Namun ia dijadikan isu kerana ada kepentingan politik. Betapa ramai yang pergi konsert yang pelbagai dalam negara ini yang entah bila mereka bersolat pun tiada siapa yang tahu. Tidak pernah pula menjadi isu pun bagai ‘agamawan politik’ ini, tiba-tiba yang bersolat berkasut pula menjadi isu.
Topeng vendetta memanglah bukan dari ajaran Islam, tapi sejak bila pula ia dari ajaran Kristian?! "V for Vendetta" adalah hasil dari novel David Llyold dan Tony Weare pada tahun 1982. Ia menjadi terkenal kerana difilemkan pada tahun 2005 dengan tajuk "V for Vendetta". Dalam sejarah, topeng itu menggambarkan keberanian Guy Fawkes dan kumpulannya yang menentang penguasa yang menindas rakyat pada tahun 1605. Cuma dalam kisah topeng ini kumpulan pemuda yang menentang penguasa itu agak ekstrim dengan merancang untuk membunuh King James dan meletupkan negara.
Dikatakan mereka juga ingin menghapuskan parlimen dan mengembalikan monarki Katolik. Dari sudut itu, ia bukan satu perlambangan yang baik.
Cuma, sebenarnya bukan isu Kristianisasi yang ditakuti, sebaliknya isu politik yang hendak dikaitkan. Betapa ramai orang politik negara ini yang hadir dalam majlis sambutan Krismas, Depavali, sambutan itu dan ini yang dari segi latar sejarahnya memang mempunyai unsur agama. Tidaklah pula mereka itu dikaitkan dengan Kristianisasi, Hinduisasi ataupun seumpamanya.
Demikian juga apabila ada pihak yang mengharamkan seorang Muslim menyertai parti musuhnya yang tidak meletakkan Islam sebagai dasar kerana dianggap menolak Islam. Namun kemudiannya membolehkan Muslim menyertai parti lain yang tidak berteraskan Islam sebagai dasar disebabkan parti itu berbaik dengan mereka.
Semua hukuman yang tidak selaras dan terpilih ini akibat dari menjadikan agama sebagai senjata dalam berpolitik.
Percampuran antara politik dan agama boleh membawa kesan yang positif yang diredhai dan dikehendaki Allah dan RasulNya, tapi boleh juga membawa kesan yang negatif yang merosakkan agama Allah dan RasulNya. Ia semua amat bergantung kepada siapa yang mengendalikan percampuran tersebut. Atas apa hasrat dia ingin mencampurkan agama dan politik menentukan hasil percampuran itu.
Jika dia mencampurkan keduanya untuk mendapat panduan Tuhan dalam memimpin manusia secara adil dan amanah, maka itu membawa kepada kebaikan. Namun, jika percampuran politik dan agama atas hasrat menguatkan kedudukan politik cuma, maka itu akan merosakkan nama Allah dan agamaNya.
Agama hanya akan menjadi mainan kepentingan penguasa dan segala tafsiran mempunyai kepentingan mereka yang terbabit dalam politik.
Dalam sejarah Kristian, ketika golongan agama di Vatican menguasai politik, betapa ramai tokoh-tokoh yang dihukum mati atas tuduhan heresy (murtad) hanya kerana tidak bersetuju dengan penyelewengan pihak gereja dan kuasa politik.
Umpamanya dalam isu penjualan 'indulgences' atau borang pahala yang dijadikan saluran untuk golongan agama mengaut harta dengan cara menipu fakta agama, ramai dibunuh kejam hanya kerana mengkritik. Demikian juga isu 'purgatory', 'relics', 'saints' dan pelbagai lagi yang menjadikan cara golongan agama menipu orang awam. Mereka yang jujur bangun mengkritik dijatuhkan hukuman mati dan dibakar hidup-hidup. Inilah nasib yang menimpa Jan Huss (1370-1415) yang merupakan reformis agama Bohemian, yang dibakar hidup-hidup di khalayak ramai.
Demikian tekanan yang dikenakan kepada reformis agung Kristian, Martin Luther (1483-1546) dan para pengikutnya yang sebahagian mereka dibakar hidup-hidup. Golongan politik mengambil kekuatan dari cengkaman kuasa agama ke atas rakyat. Penyelewengan pengurusan dan harta negara bagaikan diampun Tuhan kerana golongan agama bersama mereka.
Inilah hasilnya apabila kuasa politik dicampur dengan agama yang dikendalikan oleh mereka yang berkepentingan.
Di negara kita kini, lihat bagaimana ada pihak yang ‘so-called’ agamawan yang sibuk membaca dalil kepada rakyat supaya bersyukur dan jangan membazir kerana itu amalan syaitan. Dalam masa yang sama tidak pula aktif membaca nas-nas ini kepada golongan atasan.
Persoalannya, apakah ayat-ayat Tuhan ini hanya ditujukan kepada rakyat bawahan? Sementara golongan atasan, samada sultan ataupun menteri, ayat-ayat Tuhan tidak terkena mereka?
Ada agamawan yang menghalalkan darah orang bawahan yang berkumpul secara aman tanpa senjata. Kononnya mereka itu bughah yang dihalalkan bunuh. Padahal bughah adalah istilah mempunyai takrifan dan konteks yang tersendiri. Tidak dinamakan bughah yang boleh diperangi oleh pemerintah rakyat yang berkumpul tanpa senjata.
Dalam konteks hari ini, apakah bughah dilakukan rakyat yang masih membayar cukai dan mengikut pelbagai peraturan yang tetapkan oleh negara?
Kita mungkin boleh tidak bersetuju dengan perhimpunan itu tapi apakah patut untuk dihalalkan darah awam sedemikian rupa?
Lihatlah bagaimana agama boleh menjadi senjata kuasa politik sehingga perintah dibenarkan menumpah darah rakyat yang lemah. Saya tidak menyeru kepada pengasingan agama dari politik kerana itu bukan tabiat Islam. Pun begitu, jika agama sekadar senjata untuk kepentingan politik, lebih baik ia diasingkan.
Politik Islam itu bukan semestinya membaca dalil agama itu dan ini sedangkan intipatinya tidak memenuhi maksud rahmat dan keadilan yang menjadi tujuan ajaran Islam. Sekali lagi saya nukilkan kata-kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H) tentang politik dan keadilan dalam al-Turuq al-Hukmiyyah fi al-Siyasah al-Shar’iyyah:
“Berkata al-Shafi’i: 'Tiada siyasah (politik) melainkan apa yang menepati syarak'. Kata Ibn ‘Aqil: 'Siyasah itu yang merupakan tindakan yang mana dengannya manusia lebih dekat kepada kebaikan dan jauh dari kerosakan, sekalipun ia tidak ditetapkan oleh Rasul dan diturunkan wahyu mengenainya. Jika engkau maksudkan dengan perkataanmu "Tiada siyasah melainkan apa yang menepati syarak" iaitu tidak menyanggahi apa yang syarak sebut, maka itu betul. Jika engkau maksudkan tiada siyasah melainkan apa yang syarak sebut maka itu salah. Itu juga menyalahkan para sahabah... apabila zahirnya tanda-tanda keadilan dan wajahnya memancar sinar dalam apa jalan sekalipun, maka di situlah syariat Allah dan agamaNya... bahkan Allah s.w.t. telah menjelaskan bahawa apa yang Dia syariatkan mengenai jalan-jalan (hukum agama) tujuannya untuk menegakkan keadilan dalam kalangan hamba-hambaNya dan membolehkan manusia menegakkan keadilan. Apa-apa saja jalan yang dapat menghasilkan keadilan dan kesaksamaan maka itu dari agama ini, dan ia tidak menyanggahinya'." - Wallahuaqlam.
No comments:
Post a Comment