Kecelaruan yang melanda masyarakat Islam kini dilihat dengan pelbagai tafsiran oleh kebanyakan orang. Polemik penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain, isu derhaka kepada pemerintah "Bughah" juga mendapat tempat. Begitu juga dengan isu-isu lain melenyapkan isu yang sedang hangat iaitu kenaikan harga barang dan cukai perkhidmatan.
Kemunculan pelbagai pertubuhan dan persatuan dengan pelbagai ideologi juga dilihat semakin mengeruhkan keadaan.Percaturannya tidak lain tidak bukan hanyalah untuk mencari tempat,pengaruh dan kedudukan politik. Memanipulasikan isu demi mendapat laba politik. Pun begitu polemik yang melanda memberi ruang yang sangat istimewa kepada pendakwah atau "Da'i".
Golongan ini adalah golongan yang ikhlas, yang ingin melihat Islam betul-betul syumul dan dimartabatkan serta menjadi peraturan hidup dan kehidupan.Namun acap kali disalah anggap. Salah anggap ini berkemungkinan berpunca daripada sikap pendakwah atau "Da'i" itu sendiri yang terikut-ikut dengan polemik yang melanda dan bergerak atas dasar hujah akal serta logik semata-mata berpaksikan hukum rasional kajian orientalis dan bawaan pemikiran bukan dari aliran Islam.
Tugas istimewa sebagai pendakwah ini seharusnya disertai dengan niat yang betul dan memahami akan Uslub Dakwah.
أعُوْذُ بِاللهِ السَّمِيْعِ الْعَلِيْمِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ
بِسْــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم
ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
Ertinya: Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah (kebijaksanaan) dan pelajaran yang baik dan bantahlah (berdebat) dengan mereka (ahli kitab) dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk. { An-Nahl : 125}
USLUB (KAEDAH) DAKWAH
MUQADDIMAH
Dakwah memerlukan kepada uslub (kaedah) yang baik. Uslub yang terbaik adalah uslub yang bersifat rabbani sesuai dengan itu sendiri yang bersifat ‘Rabbaniy al-masdar’. Oleh itu tajuk dakwah dan uslubnya adalah dua perkara yang tidak dapat dipisahkan kerana kejayaan dakwah bergantung kepada beberapa faktor dan antara yang utamanya ialah berkaitan uslub dakwah itu sendiri.
Dakwah Islam adalah sesuatu yang bersumberkan Al Quran dan As Sunnah maka ia adalah sesuatu amal yang sangat murni yang perlu dilaksanakan dengan cara yang terbaik, jujur dan ikhlas sesuai dengan maksud firman Allah :
“ Dan siapakah lagi yang paling elok percakapannya daripada mereka yang berdakwah kepada Allah dan beramal soleh serta berkata: Sesungguhnya aku termasuk di dalam golongan yang berserah diri kepada Allah. ” (Terjemahan Maksud Al -Quran, Surah Fussilat : 33)
Dakwah merupakan profesion para rasul sejak Nabi Nuh ‘alaihissalam sehingga kepada Nabi Muhammad sallallahu’alaihi wasallam. Mereka adalah da’ei (pendakwah) ulung yang diutus Allah kepada manusia untuk menunjukkan jala yang patut dilalui.
“ Dan bahawa inilah jalanku yang lurus maka ikutlah jalan tersebut dan jangan kamu ikut jalan-jalan yang lain kelak kamu akan berpecah menyeleweng dari jalan. Yang demikian itu diperintahkan oleh Allah kepadamu agar kamu bertaqwa. ” (TMQ Surah Al An’am : 153)
Yang dimaksudkan dengan ‘jalan’ didalam maksud firman Allah di atas ialah agama Islam yang lurus dan sempurna untuk dijadikan panduan hidup yang lengkap. Tidak ada lagi agama atau cara hidup lain yang boleh menandingi Islam dalam apa jua aspek sekalipun.
Dakwah Islam mempunyai uslub yang tersendiri yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w. untuk dicontohi. Apa yang perlu dikaji dan diperbincangkan ialah pendekatan yang perlu diambil dalam dakwah kepada masyarakat hari ini yang agak berbeza keadaannya dengan umat terdahulu.
Masyarakat yang kita hadapi hari ini adalah masyarakat yang dipengaruhi oleh perkembangan ilmu yang berteraskan kebendaan. Ilmu yang dikejar hanyalah ilmu yang bersifat duniawi yang menjanjikan pulangan kebendaan segera dan yang tidak menjana ketaqwaan sedangkan Allah berfirman yang bermaksud :
“ Dan bertaqwalah kamu kepada Allah nanti kamu kamu akan dianugerahkan pengetahuan yang berguna oleh Allah dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (TMQ Surah Al Baqarah : 282)
Oleh hal yang demikian dakwah Islam pada hari ini memerlukan kepada uslub yang terbaik dalam berhadapan dengan masalah umat kini.
DEFINISI DAN PENGERTIAN USLUB DAKWAH
‘Uslub’ adalah perkataan Arab yang bermaksud jalan atau seni dalam percakapan atau pekerjaan. Ia juga bermaksud metodologi atau cara melakukan sesuatu dan dikatakan juga sebagai sistem melaksanakan sesuatu.
Dakwah memerlukan metodologi atau uslub terkini untuk menjadikannya lebih berkesan dalam merealisasikan mesej kepada umum. Senang dan sukarnya melaksanakan tugas para da’ie dalam dakwahnya amat bergantung kepada uslubnya. Jika mudah uslubnya,maka mudahlah tercapai matlamatnya. Jika tidak, maka akan susahlah kesudahannya.
Metodologi sebagai satu ‘ilmu, kini menjadi satu keperluan yang patut dipelajari secara mendalam dan dikuasai dengan sebaiknya untuk memudahkan urusan dalam semua lapangan kehidupan. Jika dakwah tidak berlandaskan uslub yang sesuai, maka ianya akan ketinggalan dan menjadi serba sukar. Mesej dakwah tidak diminati dan akhirnya ditinggalkan pergi.
Uslub dakwah adalah merupakan suatu manhaj atau sistem tersendiri yang tidak ditiru dari mana – mana manhaj lain di dalam dunia ini. Ianya bersifat rabbani. Diwahyukan oleh Allah SWT kepada para Rasul a.s sejak dari Nabi Adam a.s sehingga Junjungan Besar, Nabi Muhammad s.a.w untuk diterima pakai. Uslub tersebut tidak ketinggalan zaman kerana ianya bersifat terkini selamanya, sejajar dengan wahyu Allah SWT itu sendiri yang sentiasa segar dan sesuai pada setiap zaman dan tempat (solehun likulli zaman wa makan).
Metodologi dakwah yang baik memerlukan kepada fahaman yang mantap terhadap asas dakwah dan tujuannya, sumber dan hukumnya, pengisian dan matlamatnya. Da’ie yang prihatin dengan tugas dan yang terpenting dalam konteks kertas kerja ini ialah uslub dan pelaksanaannya. Semua itu saling bahu – membahu, yang satu bergantung dengan yang lain untuk melakukan tugas yang amat indah ini. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan siapakah lagi yang lebih elok percakapannya dari mereka yang berdakwah kepada Allah dan beramal soleh serta berkata: Sesungguhnya aku termasuk di dalam golongan yang berserah diri kepada Allah SWT” (TMQ Surah al – Fussilat: 33)
Apa yang kita hadapi di dalam menyampaikan dakwah, usaha murni itu perlu di pertingkatkan. Para da’ie perlu lebih bersedia dengan maklumat terkini (current issues). Uslub yang sensasi, keprihatinan yang lebih tinggi dalam mempromosikan Islam melalui dakwah yang suci semata – mata untuk mengotakan sabda nabi kita, Muhammad s.a.w yang bermaksud:
“Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya”
MAFHUM USLUB AL – DA’WAH
Uslub perkataan berasal dari perkataan bahasa ‘Arab. Jama’nya (kata banyak) asaalib.Di dalam kamus al-Munjid diberi pengertian: At-thariq (jalan) atau al-fan min al – qaul au al-amal ( seni dalam percakapan atau pekerjaan.)Dalam istilah yang selalu dipakaii hari ini ianya dikenali sebagai metodolgi yang juga mengikut Kamus Dewan diberi erti: Cara melakukan sesuatu dan dikatakan juga dikataka sebagai sistem melaksanakan sesuatu.
Methodologi kini sudah menjadi suatu ilmu yang dipelajari di peringkat pengajian tinggi. Ia dikaji dan diperhalusi dengan terperinci khususnya dalam bidang pendidikan bagi menjamin matlamat sesuatu ilmu itu akan tercapai dengan mudah dan memberi kesan yang mendalam kepada penerimanya. Apa sahaja bidang ilmu yang dipelajari persoalan methodologi memainkan peranan penting memberi nafas kepada pencapaian ilmu yang dipelajari.
Dakwah memerlukan methodologi/ uslub terkini untuk menjadikan lebih berkesan dalam merealisasikan mesej kepada ilmu. Senang susah melaksanakan tugas para Da’e dalam dalam dakwahnya amat bergantung kepada uslubnya. Jika mudah uslubnya maka mudahlah tercapai matlamatnya. Kalau tidak maka akan susahlah jadinya.
Methodologi sebagai satu ilmu, kini menjadi suatu keperluan yang patut dipelajari secara mendalam dan dikuasai dengan sebagainya untuk memudahkan urusan dalam semua lapangan kehidupan. Kalau dakwah tidak dilaksanakan diatas uslub yang sesuai maka ianya akan ditinggalkan dan menjadi serba sukar. Tidak diminati dan akhirnya ditinggalkan pergi.
Uslub dakwah adalah merupakan suatu manhaj atau sistem tersendiri yang tidak ditiru dari mana-mana manhaj lain didalam dunia ini.Ianya bersifat berani, diwahyukan Allah SWT kepada para Rasul sejak dari Adam sehingga Muhammad s.a.w untuk diterima pakai. Uslub tersebut tidak ketinggalan zaman kerana ianya bersifat terkini selamaya, sejajar dengan wahyu Allah SWT itu sendiri yang sentiasa; solehun li kulli zaman wa makan ( sesuai untuk semua zaman dan tempat).
Methodolgi dakwah yang baik memerlukan kepada pemahaman yang mantap terhadap asas dakwah dan tujuannya, sumber dan hukumnya, engisian dan matlamatnya. Dai’e yang prihatin dengan tugas dan yang terpenting dalam kontek kertas kerja ini uslub dan pelaksanaan. Semua itu berganding bahu membahu. Yang satu bergantung dengan yang lain untuk melaksanakan tugas yang amat indah:
Mafhumnya: “Dan siapakah lagi yang lebih elok percakapannya dari mereka yang berdakwah kepada ALLAH dan beramal soleh serta berkata sesungguhnya aku termasuk didalam golongan yang berserah diri kepada ALLAH”. (TMQ Surah Fussilat: 33)
Apapun yang kita hadapi didalam menyampaikan dakwah, usaha murni itu perlu dipertingkatkan. Para dai’e perlu lebih bersedia dengan maklumat terkini. Uslub yang sensasi, keperihatinan yang lebih tinggi dalam mempromosikan Islam melalui dakwah yang suci semata-mata untukmengotakan sabda junjungan kita Muhammad s.a.w :
Mafhumnya: “Islam itu tinggi dan tidak ada apapun yang lebih tinggi daripadanya.”
MAFHUM AL – DA’WAH
Mungkin ada baiknya diulangi lagi pengertian atau mafhum dakwah untuk di dihadam oleh para dai’e dalam menyampaikan dakwahnya. Antara banyak-banyak pengertian dakwah yang boleh dikutip dalam mana-mana kitab yang membicarakan dakwah, saya lebi tertarik dengan takrif dakwah yang diberikan oleh Syeikh Soleh Abdullah bin Hamid dalam kitabnya “Ma’alim fi manhaj al – Da’wah” halaman 9 yang bermaksud :
“Bangunnya seorang muslim yang layak berdakwah kerana ilmu dan komitmen keagamaan untuk memahamkan manusia sekalian tentang agamanya dengan memaksa mereka beriman kepada ALLAH, melakukan kebaikan dan meninggalkan keburukan serta berusaha sedaya upaya menyelamatkan mereka dari ancaman bala yang mungkin berlaku dan mengingatkan mereka tentang kemurkaan ALLAH, untuk menempah kejayaan kebahagiaan dunia dan akhirat.”
Dakwah dalam pengertian yang amat mudah adalah “ad-dakwah Ilallah” (menyeru ke jalan ALLAH). Namun demikian ianya tidak mudah tercapai melainkan dengan memahami rukun dakwah.
RUKUN DAKWAH
Ada empat rukun yang diterima pakai dan diolahkan oleh para ulama.
1. Maudhu’ al – Da’wah / Topik utama dakwah
Maudhu’ ad-dakwah adalah ad-din atau al-Islam ‘aqidahnya, ‘ibadahnya, akhlaqnya, dan segala yang merangkumi usulnya. Furu’nya dan lain-lainnya.
Yang tidak penting dalam konteks maudhu’ ini perlu diberi penekanan selalu bahawa Islam itu memerlukan kepada kuasa politik yang berteraskan Islam sebenar bagi menjamin hukum hakam Islam boleh dilaksanakan dalam kehidupan bernegara. Islam tidak akan lahir sebagai suatu cara hidup yang lengkap dan sempurna selagi sistem hidup yang berteraskan Islam sepenuhnya tidak dihayati dalam negara.
Islam dan politik tidak boleh dipisahkan dan tidak akan terpisah selamanya kerana tabiat Islam itu sendiri memerlukan kepada politik. Dan politik yang diperlukan oleh umat Islam itu adalah politik islam.
2. Al – Qaim bi al – Da’wah (Al – Da’ie) / Para Pendakwah
Pada asas semua orang Islam adalah pendakwah. Mereka berkewajipan mengajak manusia kepada agama Allah SWT dengan kemampuan yang ada pada diri masing-masing, menyeru manusia melakukan kebaikan dan mencegah mereka dari melakukan kejahatan.
Dari segi profesion dakwah yang sebenar, Allah SWT mengkhususkan dengan menyarankan:
Mafhumnya: “Dan hendaklah ada diantara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan,menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar. Mereka itulah orang-orang yang memperolehi kejayaan”. (TMQ Surah Ali ‘Imran: 104)
Istilah “dai’e” sudah difahami oleh masyarakat hari ini. Sebagai seorang islam yang memiliki profession khusus dalam arena dakwah. Para ilmuwan menyebutkan orang itu sebagai:
Maksudnya: “Yang mempunyai kepakaran dalam ilmu pengetahuan umum khususnya didalam agama islam itu sendiri.”
Pendakwah hendaklah menguasai ilmu-ilmuasas yang dikenali sebagai fardhu ’ain agar terhindar dari celaan masyarakat apabila mengetahui dan mendapati bahawa pendakwahyang dihadapannya itu belum bersedia dengan ilmu asas yang dengannya akan mengurangkan penerimaan mereka kepada apa jua yang didakwahkan itu.
Para pendakwah khususnya ahli politik Islam yang aktif hendaklah melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu Islam sebelum mereka menjadi pentadbir-pentadbir negara yang sentiasa sibuk.
Fathi Yakan didalam kitabnya “Musykilat al – Da’wah wa al – Da’iyyah“ halaman 78 telah memperturunkan kata-kata bijak pandai:
Maksudnya: “Belajarlah kamu sebelum kamu menjadi pemerintah nanti kelak kesibukkan tugas kamu memerintah menghalang kamu dari menuntut ilmu”.
3. Al – Mad’uun / Penerima dakwah
Penerima dakwah adalah manusia seluruhnya sama ada Muslim atau kafir. Malah jin sekalipun adalah golongan yang perlu didakwahkan. Didalam al-Qur’an terdapat seruan dakwah kepada mereka denganayat-ayat yang bermula dengan “wahai sekalian manusia” disamping terdapat ayat-ayat yang bermula dengan “wahai orang-orang yang beriman” bagi menunjukkan bahawa sasaran dakwah itu tidak ada batasan.
Adakalanya penerima dakwah itu ramai dan pelbagai peringkat pula. Maka para dai’e perlu menyedari tabiat mereka yang bukan semuanya akanmenerima dakwah dan bukan pula semuanya menolak dakwah. Ikutilah kebenaran rasul dalam hal yang disebut itu dengan sabdanya:
Maksudnya: Bandingan dibangkitkan daku membawa petunjuk dan ilmu,sama dengan bandingan hujan lebat yang diturunkan keatas permukaan bumi. Ada bumi yang tanaman subur, menerima air lalu menumbuhkan rumput dan dan pokok yang banyak. Ada pula yang kering tetapi boleh menahan air untuk memberi manfaat kepada manusia untuk minum,mandi dan menyiram pokok. Ada lagi bumi kering kontang berlopak yang tidak mahu menyimpan air dan pokok pula tidak mahu tumbuh. Demikian itu pula bandingan orang yang memahami agamanya lalu mengajar orang ramai sehingga ada mendapat manfaat daripada ilmu dan ada pula yang tidak mahu menerima hidayah ALLAH dari ilmu yang disampaikan kepada mereka”.
Hadith di atas memberi isyarat yang amat berguna kepada pendakwah agar memahami psikologi golongan yang didakwahkan itu. Ada yang mudah menerima dakwah yang ditunjukkan didalam sejarah islam dan ada yang menolak terus menerus dan ada yang ditegah-tegah, menolak pada mulanya dan tidak lama kemudian menerima islam. Golongan yang mudah menerima seperti Abu Bakar bin Abi Qahafah, Khadijah Bt Khowailid, Bilal Bin Rabah, Ali bin Abi Tholib, Fatimah bt Rasulullah dan banyak lagi. Yang menolak terus menerus sehingga keakhir hayat mereka seperti Abu Jahal, Abu Lahab, Amru bin al-hadrami dan lain-lain. Yang menolak pada mulanya tetapi tidak lama kemudian menerima seperti Hamzah bin Abdul Mutholib, Khalid bin Al-Walid, Abu Sufyan bin Harb dan lain-lain lagi.
Demikian dengan penerima dakwah hari ini, meskipun wujud golongan beragama Islam tetapi masih memerlukan dakwah untuk mengajak mereka kepada Islam yang syumul. Islam yang dijadikan teraju dalam mengatur kehidupan. Bukan Islam yang sekadar bersyahadah, bersolat,berzakat,berpuasa dan mengerjakan haji sahaja. Islam yang syumul (lengkap segala aspek) itu perlu dijadikan isi penting di dalam menyampaikan dakwah pada hari ini.
4. Uslub Al – Da’wah / Pendekatan dalam berdakwah
Inilah perkara utama yang hendak diberi penekanan dalam catatan ini. Ianya perlu didahului oleh yang sebelumnya kerana hubung kait semua rukun-rukun itu saling berturutan bagi gambaran yang menyeluruh tentang mafhum dakwah yang sebenarnya.
Uslub al - da’wah mestilah diasaskan di atas manhaj Rabbani. Itulah asas yang tidak dapat tidak dikembalikan kepada – Nya. Panduan utama kita adalah al – Qur’an al – Kareem, sumber dari segala sumber dan asas dari segala asas. Panduan utama yang perlu dirujuk oleh setiap Muslim. Di dalamnya, Allah SWT menggariskan uslub dakwah dengan jelas dan terang:
“Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk” (TMQ Surah al – Nahl: 125)
Dari panduan ayat tersebut sekurang – kurangnya terdapat tiga uslub dakwah yang menjadi pokok utama uslub tersebut. Selain tiga perkara pokok ini, masih terdapat lagi banyak cabang – cabang uslub dakwah apabila dirujuk kepada sumber asas yang kedua iaitu as – Sunnah an – Nabawiyyah.
Uslub Pertama: Al – Hikmah
Apakah maksud al – Hikmah?
Kata Abu Ja’far bin Ya’qub: “Setiap kebaikan dari perkataan yang menghasilkan perbuatan yang tepat adalah hikmah” .
Kata al – Jurjani: “Setiap tutur kata yang menepati kebenaran adalah hikmah”.
Kata Ibn Zaid: “Semua perkataan yang memberi pengajaran atau menyeru kepada kemuliaan atau menegah kamu dari keburukan adalah hikmah”.
Firman Allah SWT:
“Allah memberikan hikmah kebijaksanaan (ilmu Yang berguna) kepada sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut aturan Yang ditentukanNya). dan sesiapa Yang diberikan hikmat itu maka Sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan Yang banyak. dan tiadalah Yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang Yang menggunakan akal fikirannya”. (TMQ Surah al – Baqarah: 269)
Ayat di atas jelas Allah SWT mengaitkan hikmah itu dengan kebaikan - kebaikan yang banyak. Oleh itu, maka al – Hikmah menjadi uslub terpenting dalam berdakwah. Uslub al – Hikmah adalah uslub yang amat luas dan boleh dipecahkan kepada beberapa cabang seperti berikut:
1. Uslub al – ‘ilm wa al – ma’rifah (Pendekatan ‘ilmu dan pengetahuan)
Uslub ini lebih mengutamakan pendekatan akademik yang berteraskan ‘ilmu pengetahuan yang mendalam dengan merujuk kepada sumber utama kenyataan yang diutarakan. Apa sahaja yang dijadikan bahan dakwah dalam uslub ini sifatnya jitu dan tepat, padat dan ketat.
Dakwah dalam uslub ini sesuai dengan ahli – ahli akademik yang mementingkan fakta dan ulasan bagi menghasilkan natijah yang dikehendaki untuk sampai kepada kepuasan mental yang akhirnya tunduk kepada kebenaran.
Dalam konteks ini elok diturunkan satu contoh uslub al – ‘ilm wa al – ma’rifah yang berlaku kepada pendakwah – pendakwah awal Islam yang berhijrah ke Habsyah. Mereka terdiri daripada 83 orang sahabat r.a termasuk Uthman bin ‘Affan, isterinya Ruqayyah binti Rasulullah s.a.w, Az – Zubair bin Al – Awwam, Ja’far bin Abdul Mutholib dan lain – lain.
Apabila golongan ini berhadapan dengan An – Najasyi (Raja Habsyah), maka peluang berdakwah terbuka luas untuk menyeru beliau serta masyarakat kuffar di Habsyah, memahami dan memeluk Islam.
An – Najasyi terlebih dahulu telah dimomokkan kepadanya maklumat yang negatif tentang Islam sebelum beliau mendapat penjelasan sebenar yang diberikan oleh ‘Abdullah bin Abi Rabi’ah dan ‘Amr bin al – ‘As dengan tomahan mereka: Wahai tuanku, sesungguhnya telah tiba di negara tuanku dari negara kami segolongan manusia yang selekeh. Mereka telah memecah – belahkan agama kaum mereka dan tidak akan menganut agama tuanku. Mereka datang ke sini membawa agama mereka ciptaan mereka sendiri. Kami tidak mengetahui agama yang dibawa itu dan begitu juga tuanku...”
Pembesar – pembesar an – Najasyi pula menyampuk: “Wahai tuanku kaum mereka lebih faham tentang mereka. Lebih mengerti tentang keburukan mereka. Oleh itu, serahkan mereka semua kepada mereka berdua biar mereka uruskan agar mereka pulang ke negara dan kaum mereka”.
Keadaan sebegini memerlukan kepada uslub yang sesuai untuk berdakwah mempertahankan yang hak dan menolak yang batil. Jika pendakwah – pendakwah ini gagal menyatakan sesuatu yang hak menurut uslub yang sesuai maka akan besarlah padahnya.
An – Najasyi berpaling kepada kumpulan umat Islam itu dan bertanya dalam uslub ‘ilmu: “Bagaimana keadaan kamu sebelum datang agama ini?
Ja’far bin ‘Abdul Mutholib tampil ke hadapan memberikan penjelasan. “Tuanku, kami adalah kaum yang jahil. Cari hidup kami menyembah berhala, makan bangkai, melakukan perkara – perkara keji, menyakiti jiran, yang kuat menindas yang lemah sehinggalah datang agama kami membaiki (keadaan) kami”.
An – Najasyi bertanyakan tentang ‘Isa a.s (kerana beliau beranggapan Islam menghina ‘Isa dengan mengatakan ‘Isa adalah hamba). Jawab Ja’far r.a: “Islam memberitahu kami dengan firman Allah:
“(Nabi Isa) Al-Masih tidak sekali-kali enggan dan angkuh daripada menjadi hamba bagi Allah, demikian juga (sikap) malaikat Yang sentiasa berdamping (dengan Allah). dan sesiapa Yang enggan dan angkuh daripada beribadat (menyembah dan memperhambakan diri) kepada Allah, serta ia berlaku sombong takbur, maka Allah akan menghimpunkan mereka semua kepadaNya”. (TMQ Surah an – Nisaa’: 172)
An – Najasyi bertanya lagi pandangan Islam terhadap ‘Isa. Ja’far menjelaskan dengan membaca surah Maryam yang menerangkan di dalamnya perihal kelahiran ‘Isa tanpa bapa dan dipertikaikan oleh kaumnya. ‘Isa a.s ketika masih di dalam buaian berkata – kata kepada kaumnya dengan mengatakan bahawa dia adalah hamba Allah yang akan diturunkan al – Kitab (Injil) kepadanya dan akan menjadi nabi.
Setelah mendengar penjelasan yang begitu tepat lagi menusuk hati, an – Najasyi menangis sehingga basah janggutnya. Katanya: “Agama Islam dan agama yang dibawa oleh ‘Isa adalah datang dari sumber yang sama. Beliau mengambil sebatang kayu dan membuat garisan di atas tanah seraya berkata: “Agama aku dan agama kamu amat hampir. Pemisah kita adalah garisan yang halus ini”. Kerana itu, umat Islam diberi jaminan keselamatan tinggal di negara Habsyah dengan damai.
2. Uslub al – Latf wa al – Layn (Pendekatan lembut dan lunak)
Ada ketika dakwah memerlukan uslub yang lembut dan lunak. Berlembut pada tempat yang perlukan kelembutan adalah bukti kebijaksanaan pendakwah. Sama juga keadaan berkeras pada tempat yang memerlukan kekerasan juga adalah hikmah. Uslub al – Latf wa al – Layn ini diasaskan di atas firman Allah SWT kepada nabi Musa a.s dan nabi Harun a.s ketika mereka diperintahkan menyeru Fir’aun kepada agama Allah:
"Pergilah kamu berdua kepada Firaun, Sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadaNya, dengan kata-kata Yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut". (TMQ Surah Thoha: 43 – 44)
Rasulullah s.a.w pernah memberi contoh tentang pendekatan lemah – lembut ini di dalam kisah seorang ‘Arab Badwi masuk ke dalam masjid dan membuang air kecil. Para sahabat yang menyaksikan kejadian tersebut meluru ke arahnya dan mengasarinya bagi memberi pengajaran kepadanya. Rasulullah s.a.w segera bertindak mententeramkan keadaan dan mendekati Badwi tersebut dengan lemah – lembut serta bersabda:
“Sesungguhnya masjid tidak elok digunakan seperti yang anda lakukan, malah ianya digunakan untuk berzikir dan berdo’a” Riwayat Muslim
Badwi tersebut beredar dengan baik di samping berkata: “Ya Allah, kasihilah aku dan Muhammad, dan janganlah Engkau kasihi selain dari kami walau seorang sekalipun”.
Uslub ini juga dikenali sebagai uslub al – Maddarah
Kata Ibn Battol:
“Al – Maddarah adalah dari akhlaq mukminin iaitu bersopan dengan manusia, berlemah – lembut dalam percakapan, jauhkan dari kekerasan, yang demikian itu salah satu kekuatan untuk menambat kasih – sayang bersama manusia”.
Rasulullah s.a.w pernah dikasari oleh ‘Aarab Badwi dengan menarik baju najrani yang dipakai baginda sehingga ia menyakiti tubuh baginda. Seraya meminta diberikan kepadanya sedikit bantuan. Oleh kerana kekerasan Badwi itu keterlalauan maka sahabat – sahabat r.a bangun hendak mempertahankan Rasulullah s.a.w serta membalas kekerasan dengan kekerasan. Rasulullah s.a.w segera mencelah mententeramkan keadaan. Dengan tersenyum mengarahkan sahabat – sahabat menunaikan kehendak Badwi tersebut tanpa menengking atau mengasarinya sedikit pun.
Allah SWT berfirman menjelaskan keperibadian Rasulullah s.a.w dalam konteks lemah – lembut ini:
“Maka dengan rahmat dari Allah kamu menjadi lembut lunak dengan mereka. Kalau kamu kasar dan berkeras hati nescaya mereka akan lari dari kamu”.
Mungkin inilah uslub tarbiyyah yang dicontohi oleh para sahabat r.a terkenal seperti Abu al - Darda’:
“Suatu hari Abu al – Darda’ menemui sekumpulan manusia yang sedang memaki – hamun dan berkasar terhadap seorang lelaki yang telah melakukan satu kesalahan. Abu al – Darda’ mententeramkan keadaan dan berlembut dengan lelaki yang dikutuk itu. Orang ramai memarahi Abu al – Darda’ lalu beliau berkata: “Kalau lelaki itu terjatuh dalam satu gaung apakah kalian akan membiarkan atau menolong mengeluarkannya dari gaung itu?”. Orang ramai menjawab:”Tentulah kami akan mengelaurkannya”. Kata Abu al – Darda’: “Kawan kamu ini telah melakukan kesalahan, tolongilah dia agar membaiki kesalahannya. Syukurlah kepada Allah kerana kalian tidak sepertinya. Mereka bertanya Abu al – Darda’: “Apakah kamu tidak benci kepadanya?”. Jawabnya: “Aku memang bencikan perbuatan itu. Jika dia meninggalkan dan berhenti dari perbuatan itu, maka dialah adalah saudaraku dalam Islam” (Ma’alim fi manhaj al – Da’wah: 54)
3. Uslub al – Quwwah wa as – Shiddah (Pendekatan kekuatan dan kekerasan)
Manusia adalah makhluk yang sama pada kejadian tetapi amat berlainan pada akhlaq dan budi bicara. Ada yang lembut ada yang kasar, ada yang baik dan ada yang jahat. Oleh itu, untuk menyeru mereka kepada Islam ada ketikanya perlu berlemah – lembut seperti contoh di atas tadi dan ada kalanya perlu kepada kekuatan dan kekerasan. Semuanya adalah hikmah.
Hikmah tidak selamanya bererti lemah – lembut. Ada masanya kuat dan kasar itu juga hikmah. Contoh yang ketara dapat dilihat pada suatu tugas untuk meruntuhkan sebuah bangunan lama bagi menggantikannya dengan yang baru. Robohkanlah bangunan itu dengan hikmah. Jika diertikan dengan lemah – lembut, maka bilakah bangunan itu dapat dirobohkan. Adalah termasuk dalam hikmah juga jika dapat digunakan kekuatan bom yang dipasang khusus bagi merobohkannya dalam jangka masa yang singkat, mudah, cepat dan selamat. Itu juga hikmah jika tepat caranya.
Pendekatan kekuatan dan kekerasan ini dapat dilihat dari pengertian jihad pada zaman awal Islam. Setelah pendekatan lemah – lembut kurang memberi kesan dan umat Islam semakin ditindas dan diperangi sehingga kota Madinah dirasakan tidak lagi selamat lagi maka Allah SWT menurunkan ayat:
“Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) Yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana Sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan Sesungguhnya Allah amat berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan)” (TMQ Surah al – Hajj: 39)
“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) Dalam Kitab Allah semasa ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan Yang dihormati. ketetapan Yang demikian itu ialah ugama Yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu Dalam bulan-bulan Yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah Sesungguhnya Allah beserta orang-orang Yang bertaqwa” (TMQ Surah al – Taubah: 36)
“Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu semata-mata kerana Allah. kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim.(mencabuli) bulan yang dihormati itu ialah Dengan (sebab membalas pencabulan dalam) bulan yang dihormati; dan tiap-tiap perkara yang dihormati itu (jika dicabuli), ada balasannya yang seimbang. oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu seimbang Dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu; dan bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah: Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa” (TMQ Surah al – Baqarah: 193 – 194)
Uslub seperti yang disebutkan di atas sesuai untuk masa – masa tertentu sahaja dan ditangguhkan pada masa yang tidak diperlukan. Pada zaman permulaan Islam di Makkah, uslub ini tidak digunakan baginda s.a.w. Uslub yang keras digunakan selepas didapati uslub yang lembut dan mengalah tidak mendatangkan hasil yang diharapkan.
Pada zaman ini, uslub kekerasan digunakan tetapi bukan dengan menggunakan senjata. Malah dengan senjata yang lembut iaitu lidah. Senjata ini amat berguna untuk menyerang musuh – musuh Islam iaitu dengan kata – kata yang tegas mampu menusuk hingga ke hati dan menolak segala tohmahan dan tindakan biadap mereka terhadap Islam. Mungkin inilah yang disebut di dalam kitab “Ma’alim fi manhaj al – Da’wah”:
“Dalam keadaan berlaku kezaliman dan penganiayaan yang melampau terkadang dibenarkan uslub menyerang musuh dengan kata – kata yang menghentam habis – habisan dan mengusarkan serta membongkar segala keburukan musuh kerana mewakili kebatilan dalam perjuangan serta elok rasanya mendedahkan kebatilan mereka itu sehingga dapat dilihat sebagai orang yang menerima pukulan maut”.
Walaupun demikian, adalah lebih baik jika tidak keterlaluan. Cukup hanya sekadarnya kerana kita sebagai umat Islam adalah umat yang sederhana dan bencikan sikap ghulu (melampau).
Uslub Kedua: Al – Mau’izoh al – Hasanah
Uslub al – Mau’izoh al – Hasanah adalah uslub al – Qur’an. Method Rabbani yang perlu diberikan perhatian. “Al – Mau’izoh itu asalnya adalah merujuk kepada kata – kata yang boleh melunakkan sanubari yang mendengar sebagai persediaan untuk melakukan kebaikan bagi menghayatinya”.
(Ma’alim fi manhaj al – Da’wah: 24)
Firman Allah SWT:
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”
(TMQ Surah al – Ahzab: 21)
Uswatun hasanah dan mau’izaoh hasanah terdapat banyak persamaan. Ibn ‘Athiyyah menyebut:
“Mau’izoh hasanah itu merupakan suatu usaha untuk memberikan manusia rasa takut dan mengharap serta melunakkan manusia agar menjadikan ceria dan bersedia untuk menerima nilai – nilai murni”.
Al – Zamakhsyari menyebut:
“Sesungguhnya mau’izoh hasanah itu ialah suatu yang tidak asing kepada mereka bahawa kamu menasihati mereka dengan tekad untuk memberi sesuatu yang bermanfa’at kepada mereka”.
Perkara utama dalam uslub ini ialah pendakwah hendaklah mencontohi Rasulullah s.a.w dalam segenap aspek sama ada perkataan, perbuatan, taqrir (persetujuan), sifat dan tatacara hidup baginda s.a.w. Ini bukanlah bererti bahawa apa sahaja yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w mestilah diikuti tepat sebagaimana baginda. Akan tetapi lakukanlah mengikut kemampuan kita. Baginda s.a.w bersabda:
“Apabila aku menyuruh kamu melakukan sesuatu perkara, maka lakukanlah perkara itu sekadar yang termampu”.
Suatu contoh yang unggul pernah berlaku ke atas Rasulullah s.a.w yang mungkin sukar dicontohi oleh kita pada hari ini:
“Suatu hari harta rampasan perang (al – Ghanimah) dibawa kepada Rasulullah s.a.w. Setelah dihitung, didapati jumlahnya sebanyak sembilan puluh ribu dirham dilonggokkan semuanya di atas tikar daun tamar. Baginda membahagikan harta itu kepada yang berhak menerima sehingga habis semuanya. Tiba – tiba datang lagi sahabat yang meminta haknya kerana beliau belum mendapat apa – apa. Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya: “Pergilah ke kedai yang menjual keperluanmu dan belilah barang – barang itu secara hutang. Katakan kepada tuan kedai itu bahawa aku akan membayar kepadanya”. Mendengar kata – kata itu, Umar bin al – Khattab mencelah dan berkata: “Ya Rasulullah! Mengapa kamu membebankan dirimu sesuatu yang tidak sepatutnya kamu tanggung. Perkara yang sudah selesai, biarkanlah”. Mendengar kata – kata itu air muka Rasulullah s.a.w berubah tanda tidak senang dengan kata – kata Umar r.a lalu tampil seorang lelaki Ansar dan berkata: “Ya Rasulullah teruskan memberi kesanggupan berbelanja kerana Allah yang akan membayarnya nanti”. Mendengar kata – kata itu Rasulullah tersenyum tanda menyukai tindakannya”. (Mustalzimat al – Da’wah al – ‘Asr al – Hadir: 121)
Uswah Hasanah banyak persamaan dengan qudwah hasanah. Pendakwah perlu menunjukkan contoh yang baik untuk diikuti oleh mad’u. Contoh yang baik ini bukan sahaja pada kata – kata dan tingkah laku malah sampai air muka pun perlu diambil kira dengan sentiasa bermuka manis walaupun dalam keadaan marah.
Contohnya Rasulullah s.a.w dalam siri dakwahnya, suatu hari didatangi oleh seorang ‘Arab bengis kepada baginda seraya berkata dengan kasar: “Kamukah yang bernama Muhammad bin ‘Abdullah?”. Jawab Rasulullah dengan lemah – lembut: “Ya, sayalah Muhammad bin ‘Abdullah”. ‘Arab itu bertanya lagi: “Kamukah yang selalu dikatakan pembohong besar?”. Jawab baginda: “Ya, sayalah yang dikatakan oelh kaum saya sebagai pembohong besar tetapi sebenarnya tidak”.Dengan muka yang tenang dan dengan tutur kata yang lembut, ‘Arab itu tiba – tiba berkata: “Muka seperti ini bukan muka seorang pembohong”. Lalu dia bertanya nabi s.a.w: “Apa yang kamu bawa? Cuba terangkan kepadaku” Rasulullah s.a.w menerangkan kepadanya tentang Islam dengan cara yang menarik dan menusuk hati. Akhirnya ‘Arab tadi berkata: “Aku beriman kepadamu dan aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan aku bersaksi Muhammad itu Pesuruh Allah”.
Seperkara lagi yang amat penting dalam membicarakan uslub al – Mau’izoh al – Hasanah ialah pendakwah hendaklah menjadi model yang realiti, ikhlas dalam perkataan dan perbuatan, bukan hanya pandai bercakap tak serupa bikin. Rasulullah s.a.w menginagtkan kita dengan sabdanya:
“Dari Usamah bin Zaid r.a bahawa Nabi s.a.w telah bersabda: Didatangkan seorang lelaki (pendakwah) pada hari Qiyamah lalu dicampakkan ke dalam api neraka. Api neraka membakarnya hingga ke tali perutnya. Dia terseksa dan berpusing – pusing di dalam neraka seperti keldai berpusing – pusing di tempat kerjanya. Penghuni – penghuni neraka yang lain berkerumun kepadanya lalu mereka bertanya: Apa hal kamu ini? Bukankah kamu yang menyuruh kami melakukan kebaikan dan melarang kami kemungkaran? Jawabnya: Ya, aku menyuruh kamu membuat ma’ruf tetapi aku tidak melakukannya dan aku melarang menjauhi kemungkaran akan tetapi aku melakukannya”
(Riwayat al – Bukhari dan Muslim)
Terkadang berdakwah dengan contoh teladan yang praktikal lebih mendatangkan kesan daripada dakwah dengan pendekatan yang lain. Semuanya bergantung kepada waqi’ atau keadaan yang mengizinkan sesuatu tindakan yang bakal di ambil.
Uslub al – Murasalah / Cara menulis surat
Rasulullah s.a.w adalah seorang “ummi” iaitu tidak tahu menulis mahupun membaca. Akan tetapi, baginda s.a.w tetap menggunakan kaedah pengutusan surat – surat kepada pembesar – pembesar dunia pada zamannya bagi menyeru mereka menerima Islam. Baginda menyuruh para sahabat r.a untuk menulis surat untuknya dan surat – surat itu kemudiannya di hantar kepada an – Najasyi (raja Habsyah), Kaisar (Raja Parsi), Hiraqqel (Raja Rom), Maqauqis (pembesar Mesir) dan banyak lagi. Ada yang menerima dakwah Islam seperti an – Najasyi, ada yang mengakui kerasulan baginda s.a.w seperti Hiraqqel akan tetapi tidak menerima Islam dan ada yang menentang bahkan mencabar nabi s.a.w seperti Kisra.
Di dalam kitab Minhaj as – Solihin oleh ‘Izz al – Din Baliq ada menyebut bahawa Rasulullah s.a.w pernah meminta sahabat r.a menulis sekurang – kurangnya 33 pucuk surat yang akan dihantar ke dalam negara dan 29 pucuk surat yang akan dihantar ke luar negara. Kesemuanya mengandungi mesej dakwah yang menyeru mereka menerima Islam. Sekiranya tidak, mereka perlu mengiktiraf Islam sebagai agama dan sebuah kerajaan berdaulat di samping membayar jizyah. Sekiranya mereka enggan dan menentang Islam, maka gerakan futuhat (pembebasan) akan dihantar ke negara tersebut sehingga tunduk kepada Islam.
Uslub penulisan surat adalah salah satu cara yang praktikal dan boleh dicontohi. Namun penulisan tidaklah terhad kepada surat sahaja bahkan boleh dimanfaatkan teknologi terkini seperti media cetak, media elektronik, sistem pesanan ringkas (SMS), internet, 3G dan sebagainya. Umat Islam perlu berusaha lebih memandangkan kaum non – Muslim sudah lama mempraktikkan cara ini bagi menyebarkan dakyah batil mereka.
Uslub Ketiga: Al – Mujadalah
Terdapat 3 istilah yang dikaitkan dengan uslub ini:-
Mujadalah / Mujadilah (Bersoal – jawab)
Muhawarah (Berdialog)
Munazoroh (Berdebat / Berbahas)
Kesemua istilah ini boleh disimpulkan dengan:
“Perdebatan atau perbahasan antara dua belah pihak yang berselisih untuk menegakkan kebenaran dan menolak kebatilan dengan hujah – hujah yang bernas dan nyata” (Ma’alim fi manhaj al – Da’wah: 212 – 213)
Di dalam al – Qur’an al – Karim, Allah SWT menyebut:
“Sesungguhnya Allah telah mendengar (dan memperkenan) aduan perempuan yang bersoal jawab denganmu (Wahai Muhammad) mengenai suaminya, sambil ia berdoa merayu kepada Allah (mengenai perkara yang menyusahkannya), sedang Allah sedia mendengar perbincangan kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat” (TMQ Surah al – Mujaadilah: 1)
“Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk”
(TMQ Surah an – Nahl: 125)
“Dan janganlah kamu berbahas dengan ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan Katakanlah (kepada mereka): "Kami beriman kepada (Al-Quran) Yang diturunkan kepada Kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah satu; dan kepadaNyalah, Kami patuh dengan berserah diri". (TMQ Surah al – Ankabuut: 46)
“Dan jika mereka mengemukakan bantahan kepadaMu, maka katakanlah: "Allah Amat" mengetahui akan apa yang kamu lakukan” (TMQ Surah al – Hajj: 68)
Dan juga iktibar dari kisah dua orang sahabat di dalam surah al – Kahfi:
“Dan berikanlah kepada mereka satu contoh: dua orang lelaki, Kami adakan bagi salah seorang di antaranya, dua buah kebun anggur; dan Kami kelilingi kebun-kebun itu Dengan pohon-pohon tamar, serta Kami jadikan di antara keduanya, jenis-jenis tanaman yang lain. Kedua-dua kebun itu mengeluarkan hasilnya, dan tiada mengurangi sedikitpun dari hasil itu; dan Kami juga mengalirkan di antara keduanya sebatang sungai. Tuan kebun itu pula ada mempunyai harta (yang lain); lalu berkatalah ia kepada rakannya, semasa ia berbincang dengannya: "Aku lebih banyak harta daripadamu, dan lebih berpengaruh dengan pengikut-pengikutku yang ramai". Dan ia pun masuk ke kebunnya (bersama-sama rakannya), sedang ia berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan sebab kufurnya), sambil ia berkata: "Aku tidak fikir, kebun ini akan binasa selama-lamanya. Dan Aku tidak fikir, hari kiamat kan berlaku; dan kalaulah Aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu), tentulah Aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini. Berkatalah rakannya kepadaNya, semasa ia berbincang dengannya: "Patutkah Engkau kufur ingkar kepada Allah Yang menciptakan Engkau dari tanah, kemudian dari air benih, kemudian ia membentukmu dengan sempurna sebagai seorang lelaki? Tetapi Aku sendiri percaya dan yakin dengan sepenuhnya Bahawa Dia lah Allah, Tuhanku, dan Aku tidak sekutukan sesuatu pun dengan Tuhanku. Dan sepatutnya semasa Engkau masuk ke kebunmu, berkata: (semuanya ialah barang yang dikehendaki Allah)! (tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah)? kalau Engkau memandangku sangat kurang tentang harta dan anak, berbanding denganmu, Maka Mudah-mudahan Tuhanku akan mengurniakan daku lebih baik daripada kebunmu, dan (aku bimbang) Dia akan menimpakannya dengan bala, bencana dari langit, sehinggalah menjadilah kebunmu itu tanah yang licin tandus. Ataupun air kebun itu akan menjadi kering ditelan bumi, maka Dengan yang demikian, Engkau tidak akan dapat mencarinya lagi". Dan Segala tanaman serta hartabendanya itupun dibinasakan, lalu Jadilah ia membalik-balikkan kedua tapak tangannya (kerana menyesal) terhadap Segala perbelanjaan yang telah dibelanjakannya pada kebun-kebunnya, sedang kebun-kebun itu runtuh junjung-junjung tanamannya; sambil Dia berkata: "Alangkah baiknya kalau Aku tidak sekutukan sesuatupun dengan Tuhanku!" (TMQ Surah al – Kahfi: 32 – 42)
Jidal atau dialog di atas meskipun tidak memberi kesan segera kepada yang bongkak dan sombong tadi, tetapi menjadi pengajaran kepada pendakwah – pendakwah hari ini.
Begitu juga dakwah nabi Ibrahim a.s kepada bapanya:
“Dan bacakanlah (Wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Ibrahim; Sesungguhnya adalah ia seorang yang amat benar, lagi menjadi Nabi. Ketika ia berkata kepada bapanya:" Wahai ayahku, mengapa ayah menyembah benda Yang tidak mendengar dan tidak melihat serta tidak dapat menolongmu sedikitpun? Wahai ayahku, Sesungguhnya telah datang kepadaKu dari ilmu pengetahuan yang tidak pernah datang kepadamu oleh itu Ikutlah daku; Aku akan memimpinmu ke jalan Yang betul. Wahai ayahku, janganlah ayah menyembah Syaitan, Sesungguhnya Syaitan itu adalah menderhaka kepada Allah yang melimpah-limpah rahmatNya. Wahai ayahku, Sesungguhnya Aku bimbang Bahawa ayah akan kena azab dari (Allah) Ar-Rahman disebabkan ayah menyembah Yang lainnya; maka dengan sebab itu akan menjadilah ayah rakan bagi Syaitan di Dalam neraka". (Bapanya) menjawab: "Patutkah Engkau bencikan tuhan-tuhanku, Wahai Ibrahim? Demi Sesungguhnya jika Engkau tidak berhenti daripada menyeru dan menasihati daku sudah tentu Aku akan meluntarmu Dengan batu; dan (ingatlah lebih baik) Engkau tinggalkan daku sepanjang masa". Nabi Ibrahim berkata: " Selamat Tinggallah ayah; Aku akan memohon kepada Tuhanku mengampuni dosamu; Sesungguhnya ia sentiasa melimpahkan kemurahan ihsanNya kepadaKu”. (TMQ Surah Maryam: 41 – 47)
“Tidakkah Engkau (pelik) memikirkan (Wahai Muhammad) tentang orang Yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu Kuasa pemerintahan? ketika Nabi Ibrahim berkata: "Tuhanku ialah yang menghidupkan dan yang mematikan". ia menjawab: "Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan". Nabi Ibrahim berkata lagi: "Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah Dia dari barat?" maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim”. (TMQ Surah al – Baqarah: 258)
Contoh uslub dakwah di atas menunjukkan kepada kita bahawa hujah yang kuat boleh mematahkan lawan dan senjata dakwah ini sudah lama dipraktikkan. Sekiranya penyampaian yang disampaikan oleh pendebat / pembahas baik, maka akan jelaslah kebenaran dan akan luputlah kebatilan. Inilah metod yang digunakan oleh sebahagian pendakwah hari ini seperti Syeikh Ahmad Deedat r.h, anak muridnya Dr. ‘Abdul Karim Zakir Naik dan sebagainya. Penggunaan metod ini sangat ‘ilmiyah dan amat sesuai untuk menarik golongan elit atasan kepada kebenaran Islam.
Uslub Mujadalah dalam politik semasa
Pendekatan dialog atau perdebatan ini ternyata memberi natijah yang positif. Oleh itu, penggunaan uslub ini perlu diperluaskan dengan dimanfaatkan sebaiknya. Namun, perlu diingatkan kepada para pendakwah sekalian bahawa menyediakan diri dengan ‘ilmu pengetahuan yang tinggi dan menguasai isu – isu semasa sangat penting sebelum berdialog mahupun berdebat. Penguasaan dan pemahaman yang jitu terhadap isi kandungan al – Qur’an dan as – Sunnah menjadi keutamaan bagi pendakwah terutama berhadapan dengan lawan yang juga beragama Islam. Apatah lagi sekiranya lawan tersebut seorang tokoh dalam sesuatu bidang agama akan tetapi gemar memutarbelitkan ayat – ayat Allah SWT dan hadith – hadith Rasulullah s.a.w seperti Astora Jabat, kumpulan Sisters in Islam dan sebagainya.
Situasi yang ada hari ini sangat memerlukan pendekatan dialog dan perdebatan. Pada kebiasaannya, pihak lawan akan cuba mengelak dan mencari pelbagai alasan helah untuk menggagalkan mujadalah. Dalam kedua – dua keadaan pendakwah Muslim akan beruntung kerana dia dapat menyampaikan dakwahnya secara terang dan jelas di samping mematahkan hujah lawan sekiranya mujadalah diadakan. Akan tetapi jika mujadalah dibatalkan, pendakwah tetap mendapat kemenangan percuma.
Pendakwah Muslim khususnya yang melibatkan diri dalam Siyasah as – Syar’iyyah (politik Islam), akan berhadapan dengan pelbagai dugaan, tuduhan dan fitnah yang berniat buruk terhadap kesucian agama Islam sepertimana fitnah golongan yang berfahaman sekularisme yang mengatakan politik perkara yang asing dalam Islam. Maka, pembelaan dan penjelasan terhadap isu seperti ini sangat perlu supaya maruah Islam tidak tercemar dan masyarakat tidak terkeliru dengan dakwaan ini. Cukuplah diterangkan dengan baik tentang konsep Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur (Negara yang baik dan mendapat pengampunan Tuhan) yang di sebut oleh al – Mawardi dalam al – Ahkam al – Sultaniyyah yang mengemukakan dalil – dalil yang cukup banyak dan kuat dari al – Qur’an dan as – Sunnah yang membuktikan kewajipan mendirikan negara Islam dan menguruskan alam dengan hidayah Islam sehingga terhapusnya fitnah.
Kesimpulan dan Penutup
Islam adalah satu – satunya agama yang diredhai Allah SWT dan Dia telah menyempurnakan agama ini untuk menjadi panduan lengkap manusia dalam menempuhi urusan hidup mereka seharian.
Seorang peniaga apabila mempromosikan barang niagaannya akan menggunakan kaedah yang berbagai bagi menarik pelanggan membeli produknya. Begitu juga pendakwah, haruslah berfikiran kreatif dalam mempelbagaikan pendekatan atau uslub dakwah mereka. Mereka juga hendaklah mengetahui dan mengkaji perihal mad’u (orang yang menerima dakwah) supaya tidak tersalah uslub. Kesilapan tidak memahami kehendak mad’u akan mengakibatkan mesej Islam tidak sampai dan menjauhkan mad’u dengan hakikat Islam. Sabda Nabi s.a.w:
“Berbicaralah dengan manusia menurut kadar ‘aqal mereka”
Rasulullah s.a.w adalah contoh unggul kecemerlangan seorang da’ie. Baginda tidak mengatakan sesuatu melainkan orang yang mendengar ucapannya akan tertarik terhadap mesej baginda. Cukuplah 23 tahun perjalanan dakwah baginda menjadi bukti bahawa penggunaan uslub yang tepat, betul dan mudah berjaya menarik pelbagai kabilah dan kaum menyerah diri kepada agama Allah SWT. Mereka bukan sahaja menerima ‘aqidah Islam bahkan sanggup mempertahankan Islam walaupun harta dan nyawa terpaksa mereka korbankan. Hasilnya, Islam berjaya mendirikan tamadun yang hebat dan kuat bermula pada zaman Rasulullah s.a.w, seterusnya di sambung oleh Khulafa’ ar – Rasyidin, Khilafah Umayyah, Khilafah ‘Abbasiyyah dan Khilafah ‘Uthmaniyyah.
Walaupun hari ini lebih 80 tahun umat Islam kehilangan khilafah Islamiyyah,namun dakwah perlu diteruskan. Para pendakwah perlu menanamkan sifat sabar yang tinggi dalam dirinya. Sekiranya dakwah mereka dihina dan tidak diterima, janganlah terlintas dalam pemikiran mereka bahawa dakwah mereka telah gagal. Manusia hanya mampu berusaha. Sedangkan hidayah hanyalah dari Allah ‘Azza wa Jal. Kepada Nyalah kita serahkan segalanya.
(Terbitan Asal Oleh: Prof. Dato Dr. Harun Din)
Adakah kebijaksanaan pada pandangan tokoh ini?
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) menyertai debat isu Allah apabila meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan pendiriannya sambil menegaskan dia tidak menyokong cara Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu Persatuan Bible Malaysia (PBM) yang merampas 300 Bible berbahasa Melayu dan Iban.
"Jika Jais rasa ada tindakan yang melanggar undang-undang, mereka sepatutnya memanggil pihak berkenaan untuk memberi penjelasan.
"Tetapi anda tidak boleh berbuat tindakan drastik sedemikian kerana akan dilihat sebagai tindakan anti Kristian.
“Tidak
perlu sedemikian kerana ia akan melahirkan ketegangan," katanya selepas
memberikan ceramah di Pusat Reformasi, Demokrasi dan Inisiatif Sosial,
memecah kebisuannya selama ini.
Semasa menyerbu PBM, Jais turut menahan dua pegawainya dan meminta mereka ke Balai Polis Damansara.
Tetapi
para peguam mempertikaikan tindakan Jais menyerbu premis PBM dan
merampas Bible kerana jabatan itu tidak ada kuasa ke atas yang bukan
Islam.
Mereka
juga mempertikaikan keabsahan enakmen yang digunapakai dalam tindakan
itu kerana ia melanggar kebebasan beragama orang bukan Islam.
Anwar
percaya tindakan ini adalah untuk mengalihkan pandangan rakyat dari isu
sebenar yang melanda negara iaitu kenaikan harga barangan dan
perkhidmatan ekoran pemotongan subsidi.
"Saya
tidak menolak kemungkinan mereka cuba mengalih perhatian dari masalah
ekonomi dan lain-lain masalah yang dihadapi negara termasuk kualiti
pendidikan, ketidakadilan ekonomi dan kebejatan moral," katanya sambil
meminta Najib menyatakan sikapnya dalam isu ini.
"Kerajaan perlu menghadapi semua ini bukan dengan cara menyerang perkara lain," katanya.
Namun
Anwar tidak bersetuju dengan tindakan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri
DAP – Yeo Bee Yin (Damansara) Rajiv Rishyakaran (Bukit Gasing) dan Lau
Weng San dari Kampung Tunku yang mencadangkan agar pindaan dibuat ke
atas Agama Bukan Islam di Selangor (Kawalan penyebaran agama bukan
Iskam) Enakmen 1988.
Enakmen
yang diluluskan oleh kerajaan Barisan Nasional lalu menyekat bukan
Islam dari menggunakan 35 perkataan Arab dalam amalan beragama mereka
termasuk Allah, Injil dan Insya’Allah.
Anwar
berkata, beliau tidak setuju tindakan itu kerana ia dilihat
tergesa-gesa kerana masih ada saluran yang sesuai untuk menyampaikan
pandangan mereka.
Jais
menyerbu PBM ketika isu penggunaan kalimah Allah oleh Kristian sedang
hangat dibahaskan dimana sesetengah kumpulan Islam bertegas ia hanya
eksklusif untuk Islam sahaja.
Serbuan
ini dipercayai ekoran kenyataan Pengarang Herald, Paderi Lawrence
Andrew yang memberitahu The Malaysian Insider bahawa pihaknya akan
meneruskan penggunaan kalimah Allah dalam program ibadat berbahasa
Malaysia mereka.
Bagi
beliau, Perkara 11 (3) (A) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa
setiap kumpulan agama yang berhak mengurus hal ehwal agama
masing-masing.
Ekoran itu, kumpulan Islam membuat perhimpunan membantah Andrew dan menuntutnya memohon maaf. – 5 Januari, 2014.
ABU: Renung-renungkanlah....
No comments:
Post a Comment