Hukuman anak biar berpadan
KAEDAH merotan sebenarnya bukanlah satu cara terbaik dalam menghukum kesalahan anak-anak.- Gambar hiasan
TIDAK semua perkara yang kita lakukan sesuai dalam apa jua keadaan.
Ia bergantung kepada budaya dan norma masyarakat di sesebuah negara.
Itu yang mungkin dapat kita gambarkan dengan apa yang dihadapi oleh
pasangan Malaysia, Shalwati Norshal dan Azizul Raheem Awalludin yang
sedang disiasat oleh pihak berkuasa Sweden kerana telah memukul anak
mereka yang tidak bersolat.
Walaupun amalan untuk menghukum anak tidak bersolat mungkin suatu
yang lazim dalam konteks masyarakat Islam secara am, bagaimanapun ia
tidak semestinya direstui dalam semua masyarakat. Ini kerana setiap
masyarakat mempunyai nilai yang tersendiri dalam melihat atau menangani
sesuatu perkara.
Kita juga tidak sewajarnya menyalahkan ibu bapa tadi yang menggunakan
pendekatan tersebut dalam mendidik anak-anak mereka kerana ia adalah
kaedah yang diajar oleh Islam kepada penganutnya.
Solat adalah perkara wajib yang menjadi tiang agama. Merotan atau
menghukum anak-anak yang tidak menjalani ibadah sembahyang perlu dilihat
dalam konteks positif.
Walaupun kelihatannya seperti menyakitkan, tetapi sangat jarang ibu
bapa mengambil pendekatan agresif terhadap anak-anak mereka. Ia hanya
sekadar memukul kerana sayang dan bukannya kerana benci.
Bagaimanapun, masyarakat Barat melihat bentuk hukuman anak-anak dalam
perspektif yang berbeza. Kebanyakan negara-negara itu telah
mengharamkan hukuman yang dilihatnya menyakitkan.
Namun, ia tidak bermakna bahawa hukuman merotan anak-anak ini dianggap sebagai sesuatu yang paling teruk.
Satu tinjauan yang dilakukan terhadap 1,600 pembaca sebuah akhbar di
Perth, Australia pada tahun 2012 mendapati, 80 peratus daripada
responden menyokong agar hukuman rotan dikembalikan di sekolah.
Begitu juga yang ditunjukkan dalam satu kaji selidik pada tahun 2011
oleh Times Education Supplement, akhbar sisipan mingguan yang popular di
United Kingdom. Daripada sejumlah 2,000 keluarga yang dikaji, 49
peratus daripadanya berpandangan bahawa hukuman yang berat seperti
merotan atau memukul patut diperkenalkan semula di sekolah.
Malah, majoriti daripada pembaca mencadangkan agar kanak-kanak
sekolah yang melakukan kesalahan ini dihukum dengan cara yang agak
tradisional seperti menghalau mereka keluar kelas (89 peratus), dihukum
selepas waktu persekolahan (86 peratus) dan menggantung persekolahan (84
peratus).
MENDIDIK anak-anak menunaikan solat perlu dilakukan sejak mereka kecil bagi membentuk keperibadian yang baik.
Mengatasi masalah displin
Merotan juga bukan sesuatu yang teruk dalam mendidik anak-anak. Dalam
satu siri eksperimen kajian yang dilakukan oleh penyelidik di Idaho
State University di Amerika Syarikat sekitar tahun 1980-an, ia cuba
membandingkan di antara kanak-kanak bermasalah disiplin yang dihukum
dengan cara dirotan dan satu lagi kumpulan yang tidak dikenakan tindakan
sama.
Kajian juga cuba melihat sama ada anak-anak ini akan patuh dengan 30 siri arahan ibu mereka.
Hasil eksperimen menunjukkan kanak-kanak yang dirotan lebih patuh dengan arahan berbanding dengan mereka yang tidak.
Bagaimanapun, ibu bapa perlu berhati-hati dengan kaedah merotan
anak-anak. Ia mungkin tidak relevan dalam semua bentuk tingkah laku
mereka. Anak-anak yang mempunyai perangai yang agak agresif misalnya,
tidak boleh mudah diubah sekiranya dirotan.
Daripada 27 kajian yang telah dilakukan, ia menunjukkan bahawa
anak-anak yang dirotan ini akan cenderung untuk menjadi lebih agresif
berbanding sebelumnya. Ini kerana apabila dihukum dengan cara yang
kasar, mereka akan berasa malu, marah dan sedih sekali gus menyebabkan
mereka cenderung menjadi lebih agresif.
Memahami psikologi
Persoalan yang timbul, apakah bentuk hukuman yang terbaik bagi
mendidik anak-anak? Walaupun semua ibu bapa mempunyai niat yang murni
bagi mendisiplinkan anak-anak mereka, pada masa yang sama keperluan
memahami psikologi anak-anak ini perlu juga diperhatikan.
Sekiranya setiap kali anak melakukan kesalahan, hukuman yang
menyakitkan tidak mengubah perilaku mereka, ada baiknya hukuman yang
sama tidak diulangi.
Lantaran itu, dalam psikologi, selain hukuman yang dianggap sebagai
bentuk 'peneguhan negatif', ibu bapa juga sewajarnya lebih memfokuskan
kepada 'peneguhan positif'.
Contohnya, jika anak-anak ini menyempurnakan solat sebanyak lima kali
sehari atau menyiapkan kerja sekolah seperti yang ditetapkan, mereka
wajar diberikan penghargaan berupa ganjaran atau pujian.
Ia boleh diberikan dengan cara memberikan mereka 'markah terkumpul' yang boleh ditukarkan dengan hadiah tertentu.
Daripada hanya memberikan mereka hukuman yang menyakitkan bagi setiap
kesalahan, adalah lebih baik memberikan mereka ganjaran sekiranya
melakukan sesuatu yang kita harapkan.
Semua ini pada akhirnya bertujuan untuk membentuk nilai mulia dalam
diri mereka. Kita, sebagai ibu bapa atau guru sentiasa mengharapkan yang
terbaik daripada anak-anak kita.
http://www.kosmo.com.my/
No comments:
Post a Comment