Gambar hiasan (tiada kaitan dengan info)
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
KENYATAAN AKHBAR
PENGESANAN DNA PORCINE DALAM COKLAT SUSU DENGAN KACANG HAZEL – CADBURY DAIRY MILK
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
mengambil maklum isu pengesanan DNA khinzir (porcine) dalam produk
Coklat Susu dengan Kacang Hazel – Cadbury Dairy Milk yang
tersebar luas melalui aplikasi media sosial pada 23 Mei 2014. Di dalam
media sosial tersebut telah memaparkan keputusan analisis DNA khinzir
(porcine) dikesan di dalam produk Coklat Susu dengan Kacang Hazel – Cadbury Dairy Milk.
Akta Makanan 1983 dan
Peraturan-Peraturan Makanan 1985 adalah bertujuan untuk melindungi orang
awam daripada bahayanya dari segi kesihatan dan penipuan pada
penyediaan, penjualan dan penggunaan makanan dan perkara-perkara
berkaitan dengannya.
Hasil siasatan oleh KKM mendapati tiga
(3) sampel coklat Cadbury telah diambil untuk analisis DNA khinzir
(porcine) bagi tujuan pemantauan. Keputusan analisis mendapati dua (2)
sampel telah dikesan mengandungi DNA khinzir (porcine) iaitu:
- Coklat Susu dengan Kacang Hazel –
Cadbury Dairy Milk Hazelnut dengan nombor kelompok (batch no.)
200813M01H I2 yang bertarikh luput 13 November 2014; dan
- Coklat Susu dengan Buah Badam - Cadbury
Dairy Milk Roast Almond dengan nombor kelompok (batch no.) 221013N01R
I1 yang bertarikh luput 15 Januari 2015.
Manakala, satu (1) lagi sampel Coklat Susu - Cadbury Dairy Milk Chocolate tidak dikesan DNA khinzir (porcine).
Pihak pengeluar iaitu Cadbury
Confectionery Malaysia Sdn. Bhd. telah memberi jaminan akan memanggil
balik produk-produk yang terbabit dari pasaran dengan serta-merta.
KKM menasihatkan orang ramai supaya membaca nombor kelompok (batch no.) pada label produk sebelum membeli atau memakannya.
DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
24 Mei 2014.
DNA babi: Jakim adakan mesyuarat tergempar
NORSHAHIDA NOOR ZERI
24 Mei 2014
JAKIM
SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang mengadakan
mesyuarat tergempar susulan kenyataan akhbar Kementerian Kesihatan
berhubung DNA babi (porcine) yang dikesan dalam coklat susu kacang hazel
dan buah badam Cadbury Dairy Milk.
Penolong Pengarah (Perhubungan Awam) Divisyen Halal Hub, Jakim, Nadia
Zammil Md Nasir ketika dihubungi berkata, mesyuarat tersebut diadakan
dalam kadar segera bagi merungkai isu ini.
“Sebarang maklumat lanjut berkenaan isu ini akan diberikan selepas mesyuarat pada petang ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam satu kenyataan akhbar hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr
Noor Hisham Abdullah mengesahkan bahawa DNA babi (porcine) telah
dikesan dalam coklat susu kacang hazel dan buah badam Cadbury Dairy
Milk.-SINAR.
Dua sampel Cadbury disahkan mengandungi DNA Babi
KUALA LUMPUR 24 Mei - Dua sampel coklat Cadbury iaitu Coklat Susu
dengan Kacang Hazel (Cadbury Dairy Milk Hazelnut) dan Coklat Susu dengan
Buah Badam (Cadbury Dairy Milk Roast Almond) dikesan mengandungi DNA
babi (porcine).
DNA babi itu dikesan Kementerian Kesihatan dalam sampel Coklat Susu
dengan Kacang Hazel bernombor kelompok (batch no) NO200813M01H I2
bertarikh luput 13 Nov 2014; dan Coklat Susu dengan Buah Badam dengan
nombor kelompok 221013N01R I1 bertarikh luput 15 Jan 2015.
Ketika memaklumkan perkara itu dalam kenyataan hari ini, Ketua
Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, analisis
terhadap Cadbury Dairy Milk Chocolate bagaimanapun tidak menemui
kandungan DNA tersebut.
Isu pengesanan DNA khinzir dalam produk Cadbury tersebar luas di
media sosial sejak semalam yang memaparkan keputusan analisis terhadap
dua produk berkenaan.
Dr. Noor Hisham berkata, ketiga-tiga sampel coklat itu telah diambil
untuk analisis DNA khinzir bagi tujuan pemantauan. - BERNAMA
ABU: Mereka tidak makan babi namun makan CADBURY. JAKIM? Dok nganga dari dulu...makanan halal dan haram satu polemik yang tak pernah berkesudahan.Masih ingat tentang jenama Colgate dan Ladies Choice......sekejap haram sekejap halal dan akhirnya pihak ....... kata halal.