بسم الله الرحمن الرحيم
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَأٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
Wahai orang-orang yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
(Surah al-Hujurat [49]: 6)
ASBABUNNUZUL AYAT(Sebab-sebab turunnya ayat)
Menurut Ibnu Abbas, turunnya ayat ini disebabkan kisah al-Walid bin Uqbah bin Abi Muith, yang menjadi utusan Rasul saw. untuk memungut zakat dari Bani Mustaliq. Ketika Bani Mustaliq mendengar kedatangan utusan Rasul ini, mereka menyambutnya dengan gembira dan keluar berduyun-duyun untuk bertemu utusan Rasullullah.Melihat akan keadaan itu, al-Walid, menduga bahwa kaum atau Bani Mustaliq akan menyerangnya kerana mengingatkan pada zaman Jahiliah mereka saling bermusuhan. Al-Walid kemudian kembali dan melapor kepada Nabi, bahwa Bani Mustaliq tidak bersedia membayar zakat, murtad malah akan menyerangnya. Rasul SAW sangat marah, dan bersiap mengirim pasukan untuk menyerang Bani Mustaliq.Baginda melantik Khalid al Walid sebagai pemimpin bala tentera. Khalid Al Walid bertindak menghantar perisik ke kampung tersebut untuk menyiasat apa yang berlaku. Sesampainya di sana, mereka terdengar suara azan dan melihat orang kampung menunaikan solat. Ternyata mereka tidak murtad atau engkar sebagaimana didakwa oleh Walid bin Uqbah. Lalu Khalid al Walid dan bala tentera Islam kembali ke Madinah bertemu Rasulullah. Kemudian Allah menurunkan ayat 6 surah al hujurat sebagai teguran dan panduan buat orang beriman ketika menerima khabar berita dari orang fasik.
PENGERTIAN FASIK@FASIQ
Menurut as-Syawkani, fasik@fasiq membawa pengertian al-khuruj min at-taah (keluar dari ketaatan). Ada juga pendapat yang mengatakan, fasik dalam konteks ayat ini adalah dusta atau bohong. Menurut istilah ahli fikah(fuqahak), fasik adalah orang yang melakukan dosa-dosa besar dengan sengaja atau berterusan melakukan dosa-dosa kecil .
PENGAJARAN YANG BOLEH DIAMBIL DARIPADA AYAT.
Terlalu banyak sumber dan maklumat boleh diperolehi atau dapat diakses melalui media massa seperti surat khabar, TV dan media cetak lain.Tidak ketinggalan juga peralatan dan ruangan cyber yang membolehkan sesiapa sahaja mendapatkan apa sahaja maklumat dengan pantas.Perkara-perkara yang bersangkutan pentadbiran dan urusan politik semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat Malaysia pada hari ini.Dalam situasi tersebut, berlumba-lumbalah para penulis,wartawan dan blogger menyajikan maklumat atau bahan berita untuk menyokong pemimpin dan parti dokongan mereka.Tidak kurang juga yang menjadikan ruang sebaran ini sebagai mata pencarian untuk melariskan surat khabar atau meningkatkan "trafik blog".Sebahagian maklumat yang dipaparkan mungkin ada benarnya, manakala sebahagian yang lain berkemungkinan juga sebagai propaganda atau berita yang diada-adakan dan ditokok tambah untuk menarik minat masyarakat agar menyokong pemimpin atau parti yang didewa-dewakan oleh pemberita atau para blogger tersebut.Blog dan laman web sebagai media baru sangat berkesan dalam menyampaikan maklumat terkini kepada masyarakat. Keburukannya ialah masyarakat mungkin tidak dapat membezakan yang mana benar dan yang mana salah akan berita atau perkhabaran yang disampaikan. Adakalanya berniat jahat dan berunsur fitnah.Dalam ayat yang dipaparkan di atas, Allah s.w.t. mengingatkan kita agar menyelidik berita yang disampaikan, lebih-lebih lagi di zaman kefasikan yang melampau-lampau kini. Menjadi keperluan juga kepada masyarakat untuk menapis segala berita atau maklumat yang diperolehi dari kedai kopi atau tempat-tempat ceramah yang kerap membincangkan isu-isu semasa, sama ada perkara-perkara berkaitan politik, ekonomi, sosial, agama dan lainnya.Sebagai masyarakat yang cintakan kebenaran dan keamanan perlu juga mengambil ingatan daripada Sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud, ”Berhati-hati itu dari Allah dan terburu-buru itu dari syaitan.”
TATACARA MENERIMA SESUATU PERKHABARAN ATAU BERITA
Islam telah menggariskan tatacara untuk menerima atau mengesahkan sesuatu berita iaitu mestilah dilihat daripada sumber atau orang yang menyampaikannya. Melalui surah al-Hujurat (49) ayat 6 ini, sumber berita dapat diklasifikasikan kepada dua kategori: (1) Adil (Muslim dan tidak fasik); (2) Fasiq (tidak adil iaitu orang yang melakukan dosa besar,dan mengekalkan dosa-dosa kecil atau maksiat) Jika sumber berita tersebut datangnya daripada orang yang adil, iaitu orang Islam yang tidak melakukan dosa kecil atau dosa besar dengan sengaja, maka beritanya dapat diterima tetapi jika sesuatu berita itu datangnya dari orang-orang yang fasik maka berita itu harus diteliti dan dikaji kesahihannya. Walaubagaimanapun imam al-Qurtubi tetap mensyaratkan agar pihak yang mengambil keputusan (al-hakim), kerajaan ataupun orang kebanyakan tetap harus melakukan penyelidikan terhadap berita yang diterimanya, sekalipun datangnya dari orang Islam.Kadangkala sesuatu berita itu disebarkan mungkin disebabkan salah faham atau ada maksud tertentu untuk mendapatkan keuntungan sesebelah pihak.Wallahhuaqlam.
No comments:
Post a Comment