Madrasah Salihiah: Kerajaan Negeri Kedah Perlu Dengar Suara Rakyat
KUALA LUMPUR, 29 Dis – Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda UMNO (Ilmu) Fathul Bari Mat Jahaya berkata, kerajaan Negeri Kedah harus membuka ruang dan bersikap terbuka dengan mendengar luahan hati penduduk setempat dan juga Jawatankuasa Badan Bertindak Selamatkan Madrasah Salihiah Kanchut di Jalan Tambang Badak mengapa mereka membantah tindakan kerajaan negeri mahu merobohkan madrasah berkenaan.Tindakan Kerajaan Negeri mahu merobohkan madrasah tersebut bagi membangunkan pusat membeli belah telah mendapat bantahan keras kariah di kawasan terbabit.
Menurut Fathul, isu ini harus dilihat lebih mendalam kerana inya adalah satu isu sensitif memandangkan agama rasmi Negara ini adalah agama Islam. Kerajaan Negeri yang diterajui oleh kempimpinan PAS yang kononnya memperjuangkan agama Islam harus menyelami apakah yang menjadi titik persoalan bantahan tersebut dibuat.
“Perkara ini tidak sepatutnya menjadi isu politik. Bagi saya, walaupun kita yang beragama Islam ini berlainan fahaman politik, namun kita tidak boleh menunjukkan bahawa kita berpecah belah. Sebab itu, pintu perbincangan harus dibuka atas nama melayu Islam. Sekiranya kerajaan negeri tetap dengan pendirian mahu merobohkan madrasah ini, berilah penjelasan yang logik kepada masyarakat di situ. Kesefahaman antara dua belah pihak harus ada sebelum ada yang cuba menangguk di air keruh terhadap isu ini.
“Bagi saya, sebagai pemerintah, suara rakyat harus didengar kerana tegaknya sesuatu kerajaan itu adalah atas sokongan rakyat. Oleh itu, perkara ini tidak boleh dipandang remeh,” jelasnya kepada UMNO-Online.
Sebelum ini, pelbagai pihak mengecam tindakan kerajaan negeri yang diketuai oleh Menteri Besarnya, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang mahu merobohkan madrasah berstatus tanah wakaf dan berusia lebih 100 tahun itu.
Azizan berkata, madrasah tersebut dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan kompleks membeli-belah dan keputusan tersebut adalah muktamad mengikut ketetapan Majlis Fatwa Negeri. -MediaUMNO
27/12/11
Rakyat terkejut apabila Umno marah kepada kerajaan Kedah kerana hendak merobohkan Surau Salihiah Kanchot di Alor Setar. Walaupun berkali-kali telah dijelaskan bahawa Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Kedah telah membenarkan, dan pihak pemaju bersetuju untuk membayar pampasan dan memberi tapak baru kepada Majlis Agama Islam Kedah (MAIK). Namun pimpinan Umno Kedah yang bankrap idea unuk menawan hati rakyat Kedah cuba mengambil isu surau untuk menjadi modal kempen. Rakyat tertanya-tanya sejak bila Umno menjadi juara agama dan hendak membela surau?. Kenapa pemimpin Umno seperti Datok Ahmad Bashah, Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Azeez Abdul Rahim pekak dan bisu ketika kerajaan pimpinan Umno meruntuhkan masjid Bujal di Kemaman, menutup surau Jubli Perak di Bandar Baru Bangi, menutup Surau al Rahmah di Seksen 8 Shah Alam, menutup surau d Puchong Perdana dan meruntuhkan surau kampung Berembang Ampang.
Oleh kerana Umno Kedah sedang lemas melihat kerajaan Kedah di bawah kepimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak berjaya memimpin Kedah dengan cemerlang walaupun terpaksa menanggung hutang lapok sebanyak RM2.3 bilion. Contohnya kebijaksanaan kerajaan Kedah mengurus negeri sehingga pendapatan balak daripada RM8 juta setahun meningkat RM53 juta. Umno takut rakyat Kedah membandingkan kejayaan Pakatan Rakyat dengan pemerintahan Umno selama 51 yang menindas rakyat, maka Umno cuba menjadi juara membela agama, sehingga udang di Kolam Kerpan pun terkejut kerana Umno sudah bertukar nada.
http://idrisahmad.wordpress.com/2011/12/29/kes-surau-salihiah-sejak-bila-umno-juara-agama/
Umno Kedah diminta akur dengan keputusan Majlis Fatwa Negeri Kedah yang membenarkan tapak Madrasah Salihiah, Jalan Tambang Badak dibangunkan untuk projek pembangunan kompleks beli-belah, Aman Central.
Ketua Pemuda Pas Kawasan Alor Setar, Mohd Azam Awang berkata, Kerajaan Negeri memperoleh surat persetujuan bertulis daripada Majlis Fatwa, bukannya diputuskan oleh Kerajaan Negeri sewenang-wenangnya.
“Kenapa mahu menidakkan keputusan yang diputuskan oleh Majlis Fatwa, sedangkan Kerajaan Negeri sendiri merujuk kepada Majlis Fatwa dan Majlis Agama Islam Kedah (Maik) sebelum membangunkan semula projek terbengkalai itu,” katanya.
Menurutnya, walaupun status tapak madrasah itu adalah tanah wakaf, namun jika dibangunkan untuk perkara yang lebih baik, ianya dibenarkan.
“Kerajaan Negeri bukan ambil tanah itu percuma, sebaliknya dibayar pampasan RM1.48 juta kepada Maik dan RM36.9 juta kepada waris terlibat,” katanya.
Mohd Azam mengulas kenyataan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah kelmarin, yang membantah tindakan Kerajaan Pas Kedah membenarkan pengambilan tapak dan bangunan Madrasah Salihiah bagi dibangunkan kompleks beli-belah.
Ahmad Bashah mendakwa tindakan itu seolah membelakangkan masyarakat Islam, selain menjatuhkan kredibiliti Pas, yang sebelum ini lantang memperjuang syiar Islam.
Mohd Azam berkata, sekiranya Umno Kedah tidak berpuas hati dengan penjelasan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak sebelum ini, mereka boleh merujuk kepada Majlis Fatwa Negeri Kedah.
“Jika bantah, kenapa ketika Sidang Dun minggu lalu, tidak bangkitkan isu ini. Saya pasti Menteri Besar sudah bersedia dengan hujahnya untuk menangkis dakwaan tidak berasas membabitkan isu pengambilan tanah madrasah,” katanya.
Menurutnya, sepatutnya masyarakat Islam di negeri ini, khususnya bandar raya Alor Setar bersyukur dengan kemudahan surau baru yang disediakan sebagai ganti dalam kompleks, kerana mampu menampung 400 jemaah, berbanding jumlah jemaah sedia ada di madrasah itu.
“Pemaju juga bagi jaminan surau baru itu boleh diakses dari luar bangunan, tanpa perlu masuk ke dalam kompleks. Ini memudahkan orang ramai yang mahu tunaikan solat,” katanya.
Mohd Azam turut menyangkal dakwaan bangunan madrasah itu berusia lebih 100 tahun, kerana bangunan asal madrasah itu sudah dirobohkan pada 2007.
“Sebahagian bangunan madrasah itu disewa kepada syarikat lain untuk perniagaan, bukan diguna sepenuhnya untuk aktiviti agama. Malah penduduk berdekatan juga semakin berkurangan. Lebih elok jika Maik gunakan duit pampasan untuk bina surau di lokasi lain yang lebih memerlukan,” katanya.
Sumber - Kedahlanie
No comments:
Post a Comment