Mayat wanita Cina jadi rebutan antara keluarga dan JHEAINPP
Wanita tersebut, Teoh Cheng Cheng, 38, dikatakan memeluk agama Islam ketika dia berusia 20 tahun selepas berkahwin dengan seorang lelaki Melayu 18 tahun lalu tanpa pengetahuan keluarganya.
Menurut sepupunya, Teoh Choo Chew, kekecohan berlaku apabila seorang pegawai polis hadir pada majlis keagamaan bagi pengkebumian Cheng Cheng kira-kira pukul 2.30 petang tadi dengan memberitahu pengkebumian tersebut tidak boleh dijalankan mengikut agama Touism kerana wanita itu telah memeluk agama Islam tanpa menunjukkan sebarang dokumen pengesahan mengenainya.
Akibat tidak berpuas hati dengan dakwaan tersebut, dia kemudiannya telah meminta bantuan JHEAINPP (Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang) untuk membuat pemeriksaan dan telah dimaklumkan bahawa Cheng Cheng telah memeluk Islam ketika berusia 20 tahun iaitu tanpa pengetahuan keluarga selepas dia berkahwin dengan seorang lelaki Melayu.
Kini mayat Cheng Cheng yang didakwa telah menukar nama kepada Nora Teoh Abdullah ditempatkan di unit Forensik Hospital Pulau Pinang buat sementara waktu. - KOSMO.
Wanita mualaf hampir dikebumikan cara bukan Islam
Hal itu terbongkar apabila wanita mualaf itu, meninggal Sabtu lalu dan keluarganya mahu mengebumikan mayatnya mengikut ajaran Taoist.
Sepupu si mati berkata, mayat Teoh Cheng Cheng, 38, sepatutnya dihantar ke tapak pengebumian pada jam 4 petang tadi namun terbantut apabila seorang pegawai polis tampil memaklumkan bahawa mangsa beragama Islam.
"Polis memaklumkan bahawa kami tidak dibenarkan meneruskan upacara itu kerana sepupu saya sudah memeluk Islam selepas berkahwin dengan seorang lelaki Melayu.
"Kami ada meminta pegawai polis itu menunjukkan dokumen pengesahan bahawa Cheng Cheng memeluk Islam namun gagal.
Bagaimanapun, kemudian datang pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menyatakan perkara sama," katanya ketika ditemui di Flat Pelangi, Lebuh Macallum, hari ini.
Buntu dengan keadaan yang mengejutkan itu, keluarga berkenaan kemudiannya meminta bantuan Adun Pengkalan Kota, Lau Keng Ee bagi menyemak perkara itu dengan JHEAIPP.
"Hasil semakan, JHEAIPP mengesahkan sepupu saya memeluk Islam ketika berusia 20 tahun iaitu 18 tahun lalu tanpa pengetahuan keluarga.
"Dia dipercayai bercinta dengan seorang lelaki Melayu ketika berusia 19 tahun sebelum mengambil keputusan berkahwin setahun kemudian dan memeluk Islam dengan nama Nora Teoh Abdullah," katanya.
Sementara itu, Pengarah JHEAIPP, Datuk Sazali Hussein berkata, mengikut rekod JHEAIPP, wanita itu memeluk agama Islam pada 1997.
"Kita sedang dalam proses mendapatkan perintah Mahkamah Syariah untuk menguruskan jenazah wanita itu mengikut hukum Islam dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk sementara waktu.
"JHEAIPP melakukan yang terbaik dalam rundingan dan memberi penjelasan kepada ahli keluarga wanita berkenaan. Memang ada bantahan, kita sedang melakukan yang terbaik kerana ada bukti dan rekodnya seorang Islam," katanya.
No comments:
Post a Comment