Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, suspek berusia 57 tahun itu menghampiri mangsa dan berpura-pura bertanya sama ada dia mahu membeli buku sebelum mengajaknya menaiki kereta.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Othman Nanyan berkata, semasa berada di dalam kenderaan tersebut, suspek mengugut mangsa supaya tidak melarikan diri dan membawanya ke sebuah pondok di kawasan tanah perkuburan Cina di Jalan Slim Lama.
"Semasa berada di dalam pondok, suspek mengarahkan mangsa membuka kasut dan seluar sebelum mencabul kehormatannya. Bagaimanapun, selepas beberapa minit suspek beredar dan peluang itu digunakan oleh mangsa untuk melarikan diri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Othman, mangsa yang ketakutan telah dijumpai oleh seorang wanita yang memandu kereta di kawasan perkuburan itu pada pukul 1.50 petang dan telah dibawa ke Balai Polis Slim River.
Ujarnya, dua anggota kenderaan peronda polis (MPV) yang dimaklumkan mengenai kes itu berjaya mengesan kereta Proton Wira Aeroback milik suspek pada pukul 2.40 petang dan cuba menahannya namun lelaki itu enggan memberhentikan kenderaannya.
Katanya, lelaki tersebut kemudiannya memecut kenderaannya melalui Plaza Tol Slim River menghala ke Ipoh.
"Semasa di Lebuh Raya Utara-Selatan, polis terus mengejar suspek. Suspek yang memandu ke Plaza Tol Sungkai telah merempuh palang plaza tol berkenaan dan terus menghala ke pekan Sungkai.
"Semasa di pekan Sungkai, kenderaan suspek telah melanggar Proton Exora milik orang awam dan masih memandu sehingga ke Taman Desa Idaman.
"Bagaimanapun, MPV polis berjaya mengesan dan menghalang laluannya sebelum suspek bertindak melanggar kenderaan MPV polis di bahagian hadapan sisi kiri," ujarnya.
Mengulas lanjut, Othman berkata, dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah Tanjung Malim dan Unit Rondaan Bermotosikal Slim River, suspek berjaya ditahan bersama isteri yang berusia 36 tahun serta anak lelakinya (dua tahun) dan mereka dibawa ke Balai Polis Sungkai untuk siasatan lanjut.
Tambahnya, siasatan awal percaya semasa menculik mangsa, suspek yang tiada pekerjaan telah meninggalkan isteri serta anaknya di pekan Slim River dan mengambil mereka semula selepas itu.
"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 363 dan 354 Kanun Keseksaan. Mangsa yang masih trauma dihantar ke Hospital Slim River dan pemeriksaan mendapati tiada kesan diperkosa atau suntikan pelali padanya. Suspek pula ditahan reman selama empat hari sehingga 29 Jun ini," katanya.- Utusan.
No comments:
Post a Comment