| Salmiyah Harun, | 11 Mei 2012 |
(Keputusan kajian yang dibuat UMCEDEL di Negeri Sembilan)
KUALA LUMPUR: PAS Negeri Sembilan berpendapat, Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Uiversiti Malaya (UMCEDEL) perlu mengkaji semula perolehannya tentang sokongan kepada Pakatan Rakyat di Negeri Sembilan.
Walaupun menghormati kajian yang dibuat UMCEDEL, PAS merasakan kajian itu terlalu jauh dari realiti sebenar yang ada di Negeri Sembilan khasnya sokongan Cina kepada Pakatan Rakyat.
"Kalau boleh buat semula kajian itu. Lebih-lebih lagi lepas Bersih 3.0. Kita tengok macam mana. 17 peratus orang Cina sokong Pakatan Rakyat di negeri Sembilan, mengarut!" kata Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri Sembilan, Kamarul Ridzuan Mohd Zain.
Bagi mereka, setiap kajian yang dibuat tidak semuanya sempurna dan ada kelemahannya tersendiri, namun bagi PAS Negeri Sembilan hasil kajian UMCEDEL itu akan dijadikan cabaran untuk memperbaiki kelemahan.

Menurut Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Taufek Abdul Ghani (
gambar), semua pihak boleh membuat kajian begitu juga PAS negeri turut membuat kajian dalam beberapa Dewan Undangan Negeri yang dipilih.
"Mungkin hasil kajian kita dengan UMCEDEL jauh berbeza, tetapi kita ambil kajian mereka sebagai cabaran," katanya.
UMCEDEL telah membuat kajian terhadap sokongan rakyat terhadap Pakan Rakyat dan BN menjelang PRU-13, di beberapa buah negeri termasuklah Negeri Sembilan.
Hasil daripada kajian itu menunjukkan, sokongan kepada Pakatan Rakyat Negeri Sembilan jauh ketinggalan berbanding BN iaitu Pakatan hanya mendapat sokongan Melayu 14 peratus sahaja, Cina (17 peratus) dan India (75 peratus).
Manakala sokongan kepada BN pula Melayu (69 peratus), Cina (48 peratus) dan India (62 peratus).
Mengulas lanjut perkara itu, Taufek berkata, kajian itu jauh ketara berbanding gerak kerja yang dilakukan jentera PAS negeri itu yang menunjukkan sokongan kepada Pakatan Rakyat jauh lebih kuat.
"Kalau ikutkan 'trend' dari gerak kerja kawasan bandar dan pinggir bandar yang melibatkan orang muda, sokongan Pakatan Rakyat masih kuat malah lebih baik dari tahun 2008," katanya kepada Harakahdaily.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan sokongan di luar bandar terutama di Felda yang membabitkan orang Melayu agak kurang.
"Tambahan pula ada durian runtuh yang bakal mereka dapat dari kerajaan, mungkin sokongan orang Melayu terjejas," katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan PAS Negeri Sembilan mempunyai strategi yang khusus untuk menyakinkan rakyat diluar bandar menyokong PAS dan Pakatan Rakyat.
Sehubungan itu, Pengarah Jabatan Pilihan Raya negeri, Kamarul Ridzuan Mohd Zain mempersoalkan latar belakang kajian yang dijalankan.
"Saya hendak tanya berapa responden yang diambil? Siapa mereka itu? Diperingkat mana? Lokaliti mereka? Semua ini perlu dipersoalkan kerana ia akan mempengaruhi hasil kajian," katanya.
Bahkan beliau menyifatkan kajian yang dibuat itu sebagai kajian politik untuk propaganda bagi mempercepatkan pilihan raya diadakan.
Ini kerana, katanya, banyak kajian yang dibuat di peringkat Umno BN untuk meningkatkan populariti pimpinan mereka.
Bagaimanapun bagi peringkat PAS, katanya akan dilihat sebagai positif di mana akan memperkemaskan semua jentera, dalam masa yang sama bekerja keras dari semasa ke semasa.
No comments:
Post a Comment