Assalamualaikum,
Sempena sambutan Hari Guru 2012, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan dan penghargaan kepada semua guru di atas segala pengorbanan dalam mendidik anak bangsa menjadi insan berguna. Guru merupakan golongan yang paling penting dalam pembangunan sesebuah negara. Bahkan Islam mengiktiraf peranan guru sebagai murabbi.
Quran menegaskan betapa tingkatan taraf kemanusiaan diangkat oleh Allah melalui dua unsur iaitu keimanan dan keilmuan. FirmanNya: "Sesungguhnya Allah mengangkat darjat orang yang beriman di kalangan kamu dan mereka yang diberi ilmu dengan beberapa darjat."
Keimanan dan keilmuan adalah dua eleman utama manusia diangkat darjat oleh Allah. Benarlah kata kata Saidina Ali bilamana ditanya manakah yang kamu inginkan antara harta dan ilmu.
Lalu jawab Saidina Ali: "Aku akan mengambil ilmu."
Bilamana ditanya kenapa ia memilih ilmu lalu jawab Saidina Ali:
"Sesungguhnya orang yang ada ilmu boleh mencari harta , tetapi mereka yang ada harta belum tentu mampu mencari ilmu. Ilmu telah disediakan tempat menyimpannya oleh Allah, sedangkan harta perlu mencari bekas untuk menyimpannya, biasanya orang yang mempunyai ilmu akan tawadduk, manakala manusia memiliki harta akan takabur."
Seorang guru inginkan muridnya berjaya lebih tinggi darinya, dan ia gembira bilamana muridnya berjaya, dan berdukacita bilamana muridnya gagal. Ia sanggup menghabiskan masa berjam-jam mendidik muridnya, lebih dari masa ia mendidik anaknya.
Rasulullah s.a.w menjelaskan apabila mati anak Adam, maka putuslah amalannya melainkan tiga, iaitu ilmu yang bermanfaat, sedekah jariah dan doa dari anak yang soleh.
Persoalan ilmu yang bermanfaat menunjukkan kepada kita bagaimana tingginya kedudukan guru yang mengajar ilmu pengetahuan di dunia dan akhirat. Lantaran itu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan dan tahniah kepada semua guru dengan doa agar mereka sentiasa tabah, sabar dan berusaha membina generasi rabbani yang sentiasa dekat dengan Allah swt.
“SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU 2012”
Terima kasih cikgu!
Sekian Wassalam
Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim bin Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
No comments:
Post a Comment