Nik Abdul Aziz Nik Mat, | 24 Ogs 2012 |
Atas kerana itu, apa sahaja undang-undang di Malaysia, ia dibuat dan dilaksanakan tanpa menunggu semua pihak faham atau setuju. Termasuklah pihak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sendiri pun yang menguatkuasakan pembentukan negara Israel di bumi Palestine yang ditentang hebat oleh orang Palestine sendiri. Hatta Presiden Amerika, Barrack Obama sendiri turut bersetuju dengan perundangan ‘kahwin sejenis’ meskipun majoriti masyarakat dunia menolaknya.
Secara faktanya, persoalan sesuatu hukum boleh dilaksana setelah ada kefahaman dan persetujuan semua pihak, ia sesuatu yang tidak tepat dalam kaedah perundangan yang ingin mengawal dan mendidik masyarakat ke arah kebaikan. Tambahan lagi, soal hukum Islam (hudud) bukannya pilihan untuk menusia menolak atau menerima. Tugas pihak berkuasa atas nama Islam adalah kewajipan dan tanggungjawab. Jadi keperluan kepada suasana kondusif bukanlah penghalang ke arah pelaksanaan hukum Allah.
Atas dasar ini, pada masa Nabi Muhammad SAW sendiri umat Islam tidak mempersoalkan kewajaran perintah (hukum) Allah SWT. Apa yang utama membuktikan ketaatan dan keimanan yang tidak berbelah bahagi. Bukan sepertimana sesetengah pihak sekarang ini, ada yang sanggup rosak akidahnya atas dasar menolak mentah-mentah hudud atau mana-mana perintah Allah SWT. Tidak kurang pula berdolak dalih dan beralasan kononnya suasana belum kondusif untuk memakai hukum Allah SWT. Tidak terkecuali juga, masih ada pihak yang bersimpati kepada si-jahil, maka isu hukum hudud ini perlu dibincangkan terlebih dulu. Sampai bila? Lepas bincang, bincang dan bincang, namun si-jahil tetap beralasan.
Pengalaman Negeri Kelantan dalam usaha melaksana hukum hudud ini, sebenarnya telah melalui proses memperkenal, membincang dan meluluskannya secara masak. Usia enakmen kanun jenayah syariah (termasuk hudud) kini akan genap 19 tahun pada November ini. Sejarah penggubalannya cukup matang kerana ia merupakan sumbangan cendikiawan perundangan Islam Almarhum Prof Ahmad Ibrahim, Almarhum Prof Mahmod Saedon dan Ketua Hakim Syarie Kelantan sekarang, Dato’ Daud Muhammad.
Selain ia turut dikongsi dengan pakar-pakar perundangan bidang syarie dan jenayah sivil. Malah tidak terkecuali poses menerima maklum balas dan perbincangan dengan pelbagai pihak, termasuk badan NGO turut dibuat di Kota Bharu dan di Kuala Lumpur. Turut serta adalah Tengku Razaleigh Hamzah selaku presiden parti Semangat 46 ketika itu telah juga menganjurkan perbincangan terbuka sebagai melebar kefahaman dan tanda sokongan serta persetujuan atas usaha Negeri Kelantan. Justeru pada persidangan dewan negeri, semua ahli dewan termasuk daripada Umno turut menyokong. Namun selepas itu, permohonan ke arah pelaksanaannya telah ditolak oleh Kerajaan Pusat.
Kini berbangkit isunya, pelaksanaannya masih tertangguh meskipun telah diluluskan sejak November 1993 lagi. Bagi Kelantan, ia tertangguh bukan kerana usaha dan keperluannya masih tidak memenuhi suasana yang kondusif. Sebaliknya ia tertangguh disebabkan halangan Kerajaan Pusat, termasuk ‘amaran’ menerusi satu surat rasmi perdana menteri ketika itu yang masih tidak ditarik balik.
Justeru persoalan yang ada di depan umat Islam hari ini, adakah ingin terus meraikan suara bangkangan seumpama suara daripada sesetengah pemimpin bukan Islam? Ataukah kita ingin terus meraikan pihak si-jahil yang sentiasa beralasan atas kefahamannya yang tidak bersandarkan nilai-nilai keimanan?
Sampai bilakah segala alasan tanpa keimanan dan hujah akal sentiasa dijadikan alasan untuk menidakkan penerimaaan dan pelaksanaan hukum Allah SWT ini? Apa yang pasti, hukum Allah SWT tetap serasi dengan hukum alam dan makhluk ciptaan-Nya. Kalaulah menunggu alunan ombak reda, sampai bila nelayan akan dapat ke laut? Ketika laut berombak itulah, nelayan boleh meluncur perahunya ke laut bagi menangkap ikan.-HD
No comments:
Post a Comment