Muhammad Faizal, | 09 Ogs 2012 |
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, keputusan bagi negeri-negeri Pakatan Rakyat telah dibuat dan akan mengguna pakai tema dan logo yang telah dicadangkan oleh Pakatan Rakyat Pusat.
"Keputusan telah kita buat hari ini mengenai tema dan logo bagi sambutan Hari Kemerdekaan nanti.
"Dalam pada itu empat negeri Pakatan iaitu Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor telah bersetuju menggunakan tema dan logo yang sama seperti mana yang telah dicadangkan oleh Pakatan Rakyat Pusat," jelasnya pada sidang media di Ibu Perjabat PKR selepas mesyuarat pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat, hari ini.
Sebelum itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan logo dan tema sambutan Hari Kemerdekaan bagi Pakatan Rakyat.
"Perkara tersebut tidak timbul kerana negeri Kelantan dan Kedah serta Pulau Pinang telah membuat pengumuman awal bahawa mereka tidak mahu menggunakan tema yang dicadangkan oleh kerajaan pusat.
"Sebab itulah negeri-negeri tersebut membuat pengumuman bagi tema-tema yang akan digunakan," jelasnya ketika ditanya tentang perbezaan tema yang digunakan oleh negeri-negeri Pakatan Rakyat sebelum ini.
Tambahnya lagi, apa yang diputuskan mengenai tema dan logo telah dipersetujui bahawa ia akan digunakan di negeri-negeri Pakatan Rakyat.
Dalam pada itu, Mustafa turut mengatakan sambutan ulang tahun Kemerdekaan dan Hari Malaysia akan dibuat di Semenanjung dan juga di Sabah serta Sarawak.
Pada 30 Ogos sambutan Kemerdekaan akan diadakan di Selangor manakala untuk sambutan Hari Malaysia iaitu 15 September disambut di Sabah dan 16 September pula di Sarawak.
Tema Merdeka: Selangor setuju, Pulau Pinang akur
Salmiyah Harun, | 09 Ogs 2012 |
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berpandangan walaupun tema ini ringkas tetapi ianya mempunyai makna yang mendalam dan mampu menyeru seluruh rakyat Selangor - tanpa mengira bangsa, agama dan pendirian politik - untuk menghayati erti sebenar kemerdekaan.
"Apa yang penting, Kerajaan Negeri Selangor berharap rakyatnya mempunyai jiwa yang merdeka serta bertanggungjawab untuk membawa Malaysia ke arah yang lebih baik.
"Kami berharap tema ini akan memeriahkan lagi perayaan kemerdekaan peringkat Negeri Selangor yang akan diadakan pada ambang Merdeka pada malam 30 Ogos 2012 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam," demikian menurut Khalid dalam kenyataan yang dimuatkan dalam laman facebooknya.
Sementara itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga akur dengan keputusan kepimpinan pusat Pakatan Rakyat untuk menggunakan satu tema pada hari Kemerdekaan yang ke-55 nanti.
Menurut Timbalan Ketua Menteri 1 Datuk Mansor Othman, pendirian ini membuktikan kata sepakat dalam Pakatan Rakyat dan bukannya ketidaksefahaman sepertimana tohmahan pihak-pihak tertentu.
Katanya, Pulau Pinang, seperti juga negeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain sentiasa mendokong semangat kesetiakawan dan menghormati persetujuan bersama kepimpinan Pakatan Rakyat.
"Keputusan awal untuk menggunakan tema merdeka yang berlainan adalah kerana Pulau Pinang telah pun memilih tema terlebih awal, sepertimana juga negeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain," katanya dalam kenyataan yang dimuatkan dalam laman facebooknya.
Justeru itu, katanya, pendirian ini membuktikan sekali lagi sikap keterbukaan Pakatan Rakyat walaupun berbeza pendapat tetapi setelah kata sepakat dicapai, mereka kembali bersatu memperkasakan Pakatan Rakyat demi kepentingan rakyat.
Sebelum ini, tiga negeri Pakatan Rakyat memutuskan untuk menggunakan tema sendiri, iaitu Kelantan dengan temanya 'Menerajui Perubahan', Kedah pula 'Terus Berbakti' dan Pulau Pinang ‘Budaya Bersih, Merdekakan Rakyat’ sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos.
Menurut Pengerusi Panel Tema Merdeka Pakatan Rakyat, Datuk A Samad Said yang juga pengerusi bersama Bersih, ‘Sebangsa, Senegara, Sejiwa’ merupakan tema yang paling sesuai dan merupakan denyut nadi rakyat.
Pakatan Rakyat memilih temanya sendiri bagi menggantikan tema rasmi Kerajaan Persekutuan ‘Janji Ditepati’.-HD.
Merdeka: Kedah guna logo dan tema bersama
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, keputusan itu dibuat oleh kerajaan negeri Kedah dan dimaklumkan kepada beliau hari ini.
"Saya telah menerima panggilan telefon dari Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah memaklumkan keputusan itu hari ini," kata Mustafa.
Menurut Mustafa yang meruapakan Pengerusi JK Pemilihan Logo Hari Kemerdekaan ke 55 Pakatan Rakyat, beliau telah berbinacang dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak mengenai perkara ini semalam.
"Alhamdulillah hari ini Kedah sudah membuat keputusan menggunakan logo bersama yang diputuskan Pakatan," kata beliau.
Bagi Mustafa (gambar), keputusan Kedah ini menunjukkan betapa hebatnya demokrasi dalam Pakatan Rakyat.
"Kami jawatankuasa peringkat pusat telah bersetuju menerima Kedah dan Kelantan menggunakan tema dan logo mereka sendiri untuk sambutan Kemerdekaan ini walaupun kita ada logo kita sendiri.
"Ini kerana, mereka telah membuat keputusan awal dari keputusan Pakatan tentang pemilihan logo itu.
"Sekarang, mereka (Kedah dan Kelantan) yang membuat keputusan sendiri untuk menggunakan logo dan tema yang sama," kata Mustafa kepada Harakahdaily.
Semalam Kelantan membuat keputusan untuk menggunakan logo dan tema merdeka yang diputuskan oleh Pakatan Rakyat 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa' walaupun memutuskan tema mereka sendiri sebelum ini iaitu 'Kelantan Menerajui Perubahan'.
Kedah telah membuat keputusan untuk menggunakan tema 'Terus Berbakti' sebelum ini kerana ia diputuskan sebelum Pakatan Rakyat memutuskan untuk mempunyai tema tersendiri.
Pakatan memutuskan untuk mempunyai tema sambutan Merdeka ke 55 sendiri selepas tidak bersetuju dengan tema yang diputuskan oleh kerajaan pusat 'Janji Ditepati'.
Ini kerana, tema itu selari dengan tema kempen BN sedangkan sambutan kemerdekaan adalah untuk semua rakyat negara ini.
Tema Pakatan 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa' dihasilkan oleh satu penal yang diketuai oleh Datuk A Samad Said.
Logo sambutan Merdeka ke 55 dan Hari Malaysia 2012 akan diperkenalkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat esok.
No comments:
Post a Comment