Oleh kerana itu, Dewan Ulama Pas selayaknya meletakkan diri mereka antara anggota dengan kepimpinannya pada tahap seperti itu, iaitu memimpin, mengawal, menerajui dan kemudiannya memantau pergerakan parti secara keseluruhannya merangkumi dasar, objektif, aktiviti, pendekatan kontemporari dan sebagainya.
Dalam masa sama kita juga mahu dilihat kontemporari, mampu untuk menerima perkembangan semasa dan perubahan terkini supaya Pas sentiasa dilihat segar dan penmapilan ulama sendiri menepati keperluan dan memenuhi tuntutan semasa yang sedang dihadapi oleh masyarakat.
SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana persepsi masyarakat terhadap ulama Pas yang dilihat agak terkebelakang dari segi pendekatan kontemporari dan anak muda?
NASRUDIN: Pas bergerak secara kolektif, kita mempunyai sayap-sayap dalam parti, untuk menangani segmen wanita, kita ada Dewan Muslimat, untuk menangani anak-anak muda, kita ada Dewan Pemuda dan untuk menangani golongan intelektual atau golongan cendikiawan agama termasuk untuk memastikan dasar-dasar parti itu menepati dasar Pas iaitu al-Quran dan as-Sunnah.
Ketiga-tiga sayap ini bergandingan, kini kita tambah satu lain untuk menjadi jambatan kepada golongan bukan Islam, kita ada Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP).
Oleh kerana itu, kita bergerak secara kolektif dan menangani semua segmen.
Kalau persepsi itu datang daripada masyarakat melihat kepada satu segmen, maka itu adalah pandangan yang tidak tepat.
Kita tidak boleh menafsir seekor gajah itu dengan memegang kakinya, macam tiang dan kita pegang ekornya macam tali. Kita jangan jadi orang buta menafsir seekor gajah itu.
Jadi kalau hendak disebut bahawa ulama terkebelakang dan tidak menangani anak-anak muda, maka saya kira itu adalah satu tanggapan yang tidak wajar.
Ada dua perkara, bukanlah kita tidak menemui anak-anak muda, kalau kita lihat di peringkat akar umbi, ulama-ulama inilah yang paling banyak turun padang sama ada di surau dan masjid ataupun aktiviti-aktiviti pendidikan serta kegiatan sosial seperti dakwah jalanan yang kita perkenalkan dan pengedaran risalah.
NASRUDIN: Insya-ALLAH, saya sendiri pun nampak semangat atau proses ini, terutamanya apabila Dewan Ulama mula menerima dan membuka ruang kepada generasi pelapis ulaman khususnya di kalangan ulama muda menyertai organisasi Dewan Ulama sekaligus dapat digandingkan dengan ulama senior atau veteran dalam parti.
Dengan itu mereka dapat mempelajari bagaimana kemahiran ulama dalam memimpin parti ini.
Dalam masa sama, kita gabungkan dua perkara iaitu 'hikmatul syuyuk' atau hikmah ulama senior ini dengan semangat ulama muda yang menyertai dewan ini.
Apabila gandingan itu terjadi, saya fikir Dewan Ulama akan lebih jadi matang. Jumlah ulama muda yang menyertai organisasi ini semakin ramai. Saya sendiri pun memang tidak pernah terfikir dan merancang sebelum ini apabila saya bersara dari Dewan Pemuda, saya dijemput untuk menyertai Dewan Ulama.
SINAR HARIAN ONLINE: Sejak akhir-akhir ini, Pas lihat giat melakukan kerja-kerja 'pembersihan' ke atas ahlinya daripada unsur-unsur yang boleh memecahbelahkan perpaduan Pas sendiri. Bagaimana Dewan Ulama Pas boleh memainkan peranan ini?
NASRUDIN: Sudah tentu Dewan Ulama Pas akan memberi perhatian serius kepada perkara ini untuk meletakkan badan itu sesuai dengan peranannya untuk mengawal, menjaga dan menyemak supaya parti ini menepati dengan dasar Islam yang telah digariskan dalam Perlembagaan Pas.
Sebenarnya, dengan mengambil langkah itu juga kita dapat menjaga perpaduan parti, dapat menjaga keutuhan, kita dapat menjaga eratnya hubungan kepimpinan dengan anggota parti.
Ini adalah kerana punca perpecahan hari ini disebabkan masing-masing hendak membuat persepsi dan kenyataan masing-masing, malah antara mereka juga mempertikai antara satu sama lain.
Mereka yang terlibat ini tidak dikenakan sebarang tindakan tatatertib, sekiranya perkara ini dipertegaskan, kita mengharapkan anggota parti menginsafi dan menyedarinya.
Kalau hendak menegur atau mengkritik pemimpin, ada caranya...ada laluannya, ada ruangnya dan bukanlah menjadikan ianya sebagai satu peluang untuk 'membelasah', menjatuhkan pemimpin secara terbuka, sekaligus merosakkan mereka.
SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana Dewan Ulama Pas Pusat boleh berperanan dalam memperbaiki dan menyemak semula tahaluf siyasi jika berlaku pelanggaran syarat dan rukunnya antara Pas, PKR dan DAP?
NASRUDIN: Salah satu paling penting dalam tahaluf itu ialah Islam mestilah terpelihara, dipertahan dan diperjuangkan. Sekiranya berlaku pelanggaran syarat, seperti Islam terancam atau tergugat dalam apa jua keadaan, maka sudah tentulah batal syarat tahaluf itu.
Apabila perkara itu berlaku, maka tiada lagi tahaluf siyasi. Sebab itu menjadi tanggungjawab ulama untuk sentiasa memerhati dan memantau tahaluf itu, sama ada masih terpelihara syaratnya atau telah berlaku pelanggaran itu.
Kalau berlaku pelanggaran, adakah ia masih boleh diperbaiki, ditegur atau boleh dianggap sebagai batal.
Sebab itulah Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din meminta ulama memberikan perhatian kepada perkara itu dengan semak balik perjalanan dan saya fikir gesaan itu bukan luar biasa.
Hal itu umpama urusan sewa rumah, satu peringkat tuan rumah akan jumpa kita untuk membuat semakan semula kadar sewa kemungkinan kadar itu perlu dinaikkan sekarang mengikut kadar semasa dan itu hak tuan rumah kerana dia memegang kontrak sewa itu dan berhak menyemak balik kadar sewaan.
Tindakan menyemak semula perjanjian itu adalah perkara biasa, begitu juga dalam konsep tahaluf siyasi supaya Pas 'selamat' dan begitu juga PR.
Hari ini yang menjadikan PR itu terancam adalah disebabkan berlaku pelanggaran syarat, bukan kerana mereka menolak tahaluf siyasi atau mereka mahukan kerjasama politik itu. Tidak timbul persoalan itu.
Masalahnya apabila berlaku pelanggaran syarat, individu yang melanggar syarat tahaluf siyasi itu telah merosakkan kontrak itu, jadi ulama mesti berani untuk kaji selidik dan semak imbang, ini kena buat, jangan bersikap acuh tidak acuh, jangan sambil lewa, saya keadaan nanti melarat dan parah, masa itu tiada apa yang boleh dilakukan.
Sebelum ia nasi menjadi bubur, kita ada ruang untuk mengkaji semula dan semak semula kerjasama politik itu yang disarankan oleh Timbalan Mursyidul Am Pas memang tepat pada masanya.
SINAR HARIAN ONLINE: Apakah wajar bagi Pas terus dengan PKR dan DAP dalam PR?
NASRUDIN: Ia bergantung kepada sejauhmana syarat yang telah dimuktamadkan oleh Majlis Syura Ulama sewaktu melancarkan tahaluf siyasi ke medan politik dapat dipelihara dan dijaga dengan baik.
Sekiranya berlaku perlanggaran syarat itu, maka ulama dan pemimpin mesti baiki sementara boleh diperbaiki.
Saya kira masih ada ruang untuk diperbaiki, jika hendak baiki pun tidak boleh, perlanggaran terus berlaku, maka saya fikir tahaluf siyasi itu batal.
Apabila batal tiada maknanya untuk kita meneruskan tahaluf siyasi, sebelum sampai ke peringkat itu, perlu kepada semak semula tahaluf siyasi.
Harapan saya secara peribadi, saya memang mengharapkan supaya tahaluf siyasi itu kekal sebab kaedah Islam ialah mengurangkan musuh, kaedah Islam juga meramaikan kawan, jadi dengan tahaluf siyasi semuanya itu boleh dicapai.
Kalau tahaluf siyasi itu dirempuh syaratnya, maka tiada makna lagi kawan, tiada maknanya lagi kerjasama dan sokongan, sebab dia sudah langgar kontrak, macam kita berumah tangga.
Asas kerukunan rumahtangga itu adalah kesefahaman, saling percaya mempercayai dan kasih sayang. Jika berlaku saling tuduh-menuduh, fitnah-memfitnah, kianat-mengkhianati antara satu sama lain, maka dia sudah langgar syarat perkahwinan itu.
Ulama sentiasa bangkit dan sifatnya jaga kemaslahatan pejuang parti supaya tidak dipersenda oleh pelbagai pihak sama ada dalam ataupun luar.
Ulama bertanggungjawab.
SINAR HARIAN ONLINE: Tentang ancaman dalaman Pas selepas wujudnya kelompok tertentu termasuk NGO Pasma dan sebagainya yang memperlihatkan perpecahan semakin membarah, apakah nasihat kepada mereka yang terlibat dalam hal ini?
NASRUDIN: Saya melihat perkara itu sebagai cabaran, sebab sudah nama pun perjuangan, maka kita akan berdepan dengan ancaman bukan sahaja luaran bahkan dalaman juga.
Kita bukan sahaja bersiap untuk berdepan dengan ancaman luaran bahkan kita juga bersedia menghadapi ancaman dalaman.
Cabaran itu juga menjadi perjalanan Nabi-Nabi terdahulu sampai ke zaman kita pada hari ini.
Maka saya berharap supaya dalam kalangan parti sama ada pemimpin atau ahli biasa supaya mereka tidak panik dengan ancaman ini dan jangan jadi gelabah sehingga kita bertindak tidak rasional yang berteraskan emosi.
Segalanya itu menjadi ujian yang telah dijanjikan kepada perjuangan ini, maka kita mesti menanganinya dengan berhemah, bijaksana dan matang, sesuai dengan usia parti yang kini mencecah 63 tahun.
Kita sudah masak dan matang, ia bukan perkara baharu termasuk lahirnya NGO-NGO ini, seperti sebelum ini wujudnya Hamim, dan Berjasa.
Kita juga pernah berdepan dengan konflik yang berlaku di Kelantan di mana wujudnya Majlis Gerakan Negara (Mageran), begitu juga konflik di Perak, Kedah dan terkini di Selangor.
Saya fikir semua ancaman ini terus berlarutan sampai bila-bila kerana ia adalah satu tabiat kepada perjuangan, tinggal lagi kita mengurus dan menangani konflik serta ancaman itu supaya kita tidak lebur dan hancur dengan kehadiran ancaman itu.
Sepatutnya ancaman itu datang untuk menguatkan kita di samping mengukuhkan hubungan dalam kalangan pemimpin, bersatu apabila berdepan dengan ancaman.
Malang sekali apabila ancaman itu datang, kita pula berpecah dan berantakan, saya nasihatkan kepada rakan-rakan pimpinan supaya bersatu, berpegang semula kepada prinsip perjuangan, berlapang dada serta akhirnya kita menjadi barisan yang kukuh, apabila kuat kita dapat menghindari segala ancaman yang datang.
SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana Pas mengimbangkan kuasa antara Presiden Pas dengan Majlis Syura Ulama dalam membuat sesuatu keputusan dan pendirian seperti isu Menteri Besar Selangor?
NASRUDIN: Dalam kita berorganisasi, apabila sampai ke peringkat proses membuat keputusan, di sana kita ada dua keadaan, pertamanya bermesyuarat, ia banyak peringkat, dalam kes di Selangor, kita ada mesyauarat Jawatankuasa Politik, kita ada mesyuarat dalam kalangan AJK Pas Pusat, kita ada mesyuarat dalam kalangan Adun-Adun Pas Selangor, Badan Perhubungan Pas Negeri dan sebagainya.
Masing-masing bermesyuarat dan mengambil beberapa keputusan serta pendekatan, sesuai dengan peringkat masing-masing.
Tidak terkecuali Majlis Syura Ulama bermesyuarat, namun ia tidak bererti kita mengetepikan proses membuat keputusan melalui mesyuarat, malah ia menjadi amalan dalam parti.
Perkara itu juga diajar dalam Islam, namun dalam Pas ada satu lagi proses membuat keputusan iaitu peruntukan yang ada kepada seorang ketua.
Apabila kita memberi mandat dan kepercayaan kepada seseorang yang bergelar ketua, kalau Pas dipanggil Presiden, maka dia mempunyai sedikit ruang yang diperuntukan Perlembagaan parti iaitu kuasa untuk membuat keputusan.
Ini sebenarnya selari dengan syariat bahkan Nabi Muhammad SAW sendiri sewaktu hendak turun ke medan Badar, baginda mengajak kaum Muhajirin dan Ansar untuk bermesyuarat, kemudian hasil mesyuarat itu Nabi kata sampai masa ke medan perang kerana baginda nampak menangan berpihak kepada Islam. Nabi ambil keputusan mesyuarat itu menyebabkan kaum Muhajirin dan Ansar sedia untuk berperang.
Bagaimanapun dalam peristiwa Hudaibiyah, Nabi membatalkan hasrat untuk mengadakan Umrah pada tahun itu dalam keadaan para sabahat Nabi tidak setuju dibatalkan hasrat itu.
Itulah kuasa ketua, sehingga Nabi pernah kata,"dengar dan taatlah ketua yang dilantik di kalangan kamu, sekali pun ketua itu seorang hamba".
Kenapa datangnya nas taat ini? Kerana sesekali waktu proses membuat keputusan, ada masanya ketua akan membuat keputusan secara individu tanpa korum mesyuarat, sebab mungkin keputusan itu perlu kerana perkara kecemasan yang tidak dapat dielakkan atau faktor lain yang tidak boleh menunggu mesyuarat dengan semua orang dan makan masa, mungkin boleh jadi.
Oleh kerana ada peruntukan, maka kita pertahankan peruntukan itu dan memang menjadi amalan Presiden sebelum ini pun, saya masih ingat lagi Allahyarham Ustaz Fadhzil Noor melantik Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan tanpa perlu panggil mesyuarat pun.
SINAR HARIAN ONLINE: Adakah Pas bersedia kedepankan golongan profesional memimpin perjuangan parti sementara ulama menjaga soal peraturan dan menyokong dari dalam?
NASRUDIN: Kepimpinan parti kalau melihat kepada dasar dan undang-undang tubuh Pas, ia tidak menyatakan seseorang ahli Pas itu dihadkan kepimpinannya.
Ia terbuka, seketikanya Presiden Pas itu seperti Tuan Guru Ustaz Abdul Hadi, seketika yang menjadi Timbalan Presiden itu Ustaz Nasarudin Mat Isa, tetapi yang berlaku pada hari ini pula Mohamad Sabu menjadi timbalannya.
Kepimpinan itu melalui proses pengundian dalam Muktamar, itulah yang diterima pakai sejak sekian lama, tinggal lagi saya ingin menegaskan, siapa pun yang menjadi pemimpin, dia mesti memiliki kriteria yang penting.
Pertamanya ialah ilmu sebab kita tidak boleh memimpin gerakan Islam dalam keadaan jahil.
Kita bukan pimpin badan kebajikan, NGO yang spesifik tugasnya, kita sedang pimpin sebuah gerakan Islam dan politik, kita perlu ilmu. Ilmu itu pula bukan terhad kepada politik sahaja, ia mesti ilmu mampu untuk berijtihad, mampu mencari hukum dalam al-Quran dan as-Sunnah, sebab ia menjadi dasar parti.
Macam mana kita hendak jadi pemimpin tiba-tiba hendak capai dasar parti, sudah tentu tidak boleh, kerana dasar Pas itu sendiri bertunjangkan dua sumber itu.
Kriteria hendak menjadi pemimpin itu wajib mempunyai ilmu. Sudah tentulah jika akar umbi berilmu atau alim mana mungkin pemimpinnya tidak munasabah, sudah tentu pemimpin itu lebih baik daripada mereka yang dipimpin.
SINAR HARIAN ONLINE: Dalam Pas, antara golongan ulama dan profesional, mana satu yang ke hadapan dalam memimpin parti?
NASRUDIN: Saya melihat ia bergerak secara serangkai, tiada yang kita panggil satu pihak ke depan, satu pihak lagi terkebelakang.
Pada dasarnya, parti ini bergerak dalam satu jenis anggota, iaitu ahli Pas. Dalam Perlembagaan Pas, tiada kategori keahlian kita, ini ahli Pas ulama, ini pula ahli Pas profesional dan aktivis.
Cuma kita hanya ada beberapa dewan untuk dianggotai seperti Dewan Ulama Pas, Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda, tetapi itu bukan dikategorikan sebagai keahlian, ia cuma platform dewan untuk mereka fokus gerak kerja.
Statu keahlian Pas itu tetap saya, kita bergerak atas kapasiti ahli Pas, kebetulan dia itu ulama, maka mereka dalam Dewan Ulama, kalau mereka pula ahli profesional, maka profesional mereka itu.
Maka kedepan atau kebelakang itu bergantung kepada prestasi masing-masing, kalau kebetulan yang menunjukkan prestasi itu ulama, maka golongan itu akan dilihat kehadapan begitu juga profesional.
Umumnya kita melihat semacam berlaku pertembungan antara ulama dan profesional, sebenarnya individu tersebut kebetulannya ulama atau profesional sedang dilihat sedang bertelagah, maka dilihat seolah-olah mewakili dua golongan itu sedangkan ia tidak berlaku
Rasa Kecewa Tetap Ada - TGNA