Perkara tersebut diketahui melalui sekeping surat yang ditandatangani Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dan diedarkan kepada media di Pejabat PKR di sini petang ini. - UTUSAN.
Kalau betul Azmin yang mengangkat sumpah, itu satu penyelesaian - Pak Aspan.
Apabila di sebut sistem Raja Berpelembagaan, maka Raja itu merupakan proponen besar dalam sistem negeri dan negara termasuk memilih dan melantik seorang Menteri Besar. PAS dalam isu ini kekal menyokong Menteri Besar itu ialah untuk PKR, hanya PAS tidak bersetuju dengan perlantikan Wan Azizah.
Oleh kerana Azmin telah terjebak dengan tindakan parti untuk menonjolkan hanya Wan Azizah, Azmin terpaksa akur dengan keputusan parti yang beliau adalah orang kedua tertinggi dalam parti itu. Justeru itu PAS telah menamakan seorang dari ADUN nya untuk dicalonkan di samping dua orang dari PKR tanpa Wan Azizah.
Walaupun belum di isytiharkan siapa yang mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar besok hari tetapi banyak indikasi yang Azmin akan menjadi orang pilihan Istana kali ini untuk memegang tanggungjawab itu.
Pemilihan Azmin akan menyelesaikan masalah yang dijangka akan berlaku jika calon dari PAS menjadi Menteri Besar pengganti Khalid ini, iaitu usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar jika ia datang dari PAS. Tetapi jika Azmin dipilih maka usul itu sudah hendak berlaku walaupun begitu ramai dikalangan pemimpin PKR sendiri tidak mahu melihat Azmin berada ditempat yang lebih tinggi dari yang beliau sedang sandang sekarang ini.
Perlantikan Azmin mungkin tidak disenangi oleh DAP tetapi ia merupakan jalan yang terbaik bagi penyelesaian dalam isu Menteri Besar Selangor ini yang DAP terpaksa mengikut dan bersetuju walaupun dalam keadaan ‘reluctance’ yang tinggi. Azmin adalah seorang yang mampu memimpin dan beliau jika dilihat sekarang ini seorang yang bukan mudah untuk di cucuk hidungnya berbanding dengan Wan Azizah berada di tempat itu.
Hanya yang kita sangat berharap agar Azmin menjaga khazanah negeri dengan baik dan tidak melakukan apa yang dilakukan oleh banyak Menteri Besar dan Ketua-Ketua Kerajaan negeri yang lain. Orang ramai berharap agar Azmin menyambung kerja baik dan rezab besar negeri yang ditinggalkan oleh Khalid Ibrahim kerana itu adalah legasi Khalid yang besar yang belum pernah dicapai oleh mana-mana Menteri Besar yang sebelumnya.
Diharap Azmin akan mengikut kepercayaan Khalid dan kepercayaan ramai yang wang kerajaan itu adalah wang rakyat dan bukannya wang parti PKR. Azmin wajar memahami hakikat ini.
Justeru, Azmin akan berhadapan dengan tugasan besar itu, untuk mengekalkan prestasi yang dicapai oleh Khalid Ibrahim sekarang ini. Untuk mengekalkan prestasi itu lebih susah dari untuk memperkecilkan prestasi beliau. Azmin yang begitu ‘seasoned’ dengan permainan dalam PKR ini diharap akan dapat mendidik PKR yang wang dan harta negeri Selangor itu adalah harta rakyat dan bukannya untuk digunakan bagi kegiatan politik PKR. Selangor akan menjadi fokus pemerhatian rakyat jika Azmin menjadi pengganti kepada Khalid Ibrahim.
Dengan perlantikan Azmin sebagai Menteri Besar sedikit sebanyak akan memperbaiki ‘conduct’ parti itu dan tidak lagi terbeban dengan masalah peribadi individu dalam parti itu. Azmin dipertanggungjawabkan untuk menjaga rakyat yang ramai, bukannya menumpukan kepada politik parti yang keterlaluan kerana beliau akan diperhatikan oleh banyak pihak kerana beliau jika dijadikan Menteri Besar, beliau adalah ‘white knight’ kepada masalah-masalah yang begitu besar yang dihadapi oleh PKR sekarang ini.
Perlantikan Azmin sudah pasti melegakan PAS dan ia akan memudahkan PAS untuk menyambung kerjasama dengan rakan-rakan yang bekerjasama dalam Pakatan Rakyat itu. Tidak akan timbul masalah tindakan undi dan usul tidak percaya terhadap Azmin dan tidak akan ada kewajaran untuk mengadakan pilihanraya negeri, yang amat ditakuti oleh Pakatan Rakyat selama ini.
Tidak akan ada lagi usaha-usaha yang membengkok dengan mengadakan Akuan Bersumpah untuk menyokong sesiapa dalam tindakan mana-mana pihak menyungkurkan pemimpin yang tidak mahir berpolitik.
Jika Azmin dilantik diharap tidak akan ada lagi nada-nada sumbang yang memberikan interpretasi Raja Berpelembagaan yang sesat-barat oleh peguam-peguam upahan dan seterusnya tidak akan ada lagi usaha untuk memecahkan institusi Raja-Raja Melayu lagi.
Azmin wajar menjadi seorang pemimpin dan Ketua Kerajaan negeri Selangor dengan ‘magnanimity’ yang tinggi. Azmin wajar ‘mentautkan kembali mana yang pecah, menyambung semula mana yang putus dan menampal mana yang koyak’.
Yang terpenting, diharap Azmin akan berkemampuan menjadi Menteri Besar setaraf Khalid Ibrahim yang tidak masuk campur dengan keputusan pihak pelaksana yang melaksanakan dasar yang telah ditetapkan sebagaimana pujian yang diberikan kepadanya oleh Setiausaha Kerajaan Selangor Datuk Khusrin Munawi dalam majlis ucapan perpisahan Tan Sri Khalid tengah hari ini. Jangan pula Azmin melaksanakan pentadbiran dengan mencampur adukan tindakan politik dengan tugasan pelaksana yang melaksanakan dasar yang telah ditetapkan.
Sebagai Menteri Besar, Azmin bukannya Menteri Besar untuk ahli-ahli dan penyokong PKR dan PR, anda adalah Menteri Besar kepada semua rakyat Selangor yang disaat ini masih dalam pencarian dan ‘soul-searching’. Rakyat sedang memerhatikan perbezaan diantara anda dengan kecekapan TS Khalid yang dikorbankan oleh nafsu nafsi pucuk pimpinan PKR itu.
Tetapi pandangan ini adalah pandangan diatas andaian yang Azmin Ali yang akhirnya dipilih menjadi pengganti kepada Khalid Ibrahim itu. Jika ini terjadi, benarlah kata orang tua-tua, yang ‘menjolok tidak semesti dapat menyambut buah yang jatuh itu’.
Walau bagaimana jolokan ‘Kajang Move’ itu untuk orang lain tetapi jika Azmin yang menyambutnya, yang menyambut itu adalah dari partinya sendiri. Sepatutnya tidak memberikan apa-apa masalah bagi yang menjolok tadi.
Selalunya kita tidak akan dapat menundukan orang yang sabar. Tetapi dalam situasi sekarang kita serahkan kepada kebijaksanaan Ke bawah Duli Tuanku untuk memutuskan siapa yang akhirnya Baginda pilih untuk mentadbir Selangor dan seluruh jajahan takluk Baginda.
Setelah keputusan dibuat, kita terima dengan hati yang terbuka, walaupun ia tidak memihak kepada orang yang saya sebutkan ini, asalkan Selangor mempunyai seorang Menteri Besar yang sebenarnya, bukan setakat menjadi 'rubber stamp' sahaja. - Pak Aspan.
Apa pula kata "katak"
DAULAT TUANKU! AZMIN TIDAK LAYAK JADI MB SELANGOR!
Setelah hampir pasti nama Wan Azizah Wan Ismail ditolak sebagai calon MB Selangor, media cetak, media elektronik, media siber termasuk media arus perdana riuh membuat lapuran kononnya ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali sebagai orang yang disenarai-pendekkan untuk menjadi Datuk Seri Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim yang dipecat daripada PKR dengan penuh aib dan hina.
Malah ada yang sudah membuat spekulasi Azmin yang akan bertanjak memegang tombak mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor seperti yang dijadualkan pada hari Selasa 23 Sep 2014.
Teringat saya kata-kata menyengat mantan Perdan Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed bahawa 'bangsa Melayu mudah lupa'. Dan ura-ura perlantikkan Azmin Ali sebagai MB Selangor adalah bukti kata-kata menyengat Tun Mahathir itu ada kebenarannya!
Adakah kita lupa siapa Azmin Ali? Rakyat Selangor khususnya tentu tidak lupa perkara-perkara berikut yang membuktikan Azmin Ali tidak layak langsung untuk menjadi MB Selangor.
Saya tidak menjadikan fakta dan hakikat Azmin sebagai anak kelahiran Singapura dengan kad-pengenalan siri 71 sebagai alasan menolak dia sebagai MB.
Walaupun dia punya siri nombor kad-pengenalan yang biasanya digunakan kepada pendatang asing, lalu membuktikan dia bukan anak jati Selangor, tetapi fakta itu sahaja tidak cukup untuk menghilangkan kelayakan Azmin untuk menjadi MB.
Perlu diingatkan bahawa saya tiada masalah peribadi dengan Azmin. Malahan sejak menjadi peguam Anwar mulai 02.09.1998, saya mengenali Azmin dan isterinya Shamsidar secara peribadi; malah saya pernah diminta oleh Anwar untuk memberi khidmat nasihat guaman kepada Azmin dan Shamsidar di peringkat awal. Ini bukan soal peribadi, tetapi ini soal prinsip, integriti, kewibawaan dan maruah.
Fakta-fakta berikut membuktikan tanpa sebarang keraguan bahawa Azmin sememangnya tidak layak dipertimbangkan mengetuai Kerajaan Negeri Selangor:
1. MENGHINA BATANG TUBUH TUANKU SULTAN SELANGOR
Adakah kita lupa lapuran pakar perubatan Dr. Abdul Rahman Kadir bagaimana Azmin dan rakan-rakan pembangkangnya menghina Tuanku Sultan Selangor dan Raja-Raja Melayu serta pemimpin negara semasa istiadat pertabalan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah pada 11 April 2012 di Balairong Seri Istana Negara.
Dr. Abdul Rahman antara lain dipetik mendedahkan bagaimana apabila nama Baginda Tuanku Sultan Selangor diumumkan dan Baginda berjalan masuk ke Balairong Seri, 'Azmin yang paling kuat ketawa dan berperangai seperti kebudak-budakan memanggil Tian Chua dan berkata, "Tangan jangan masuk poket...nanti dia marah". Semua mereka ketawa termasuk Dr. Siti Mariah sambil Tian Chua terus memasukkan tangannya ke dalam poket seluarnya seolah-olah memberi isyarat, "I don't care".' (sila rujuk http://brojinggo.blogspot.com/2012/04/pembangkang-hina-raja-melayu.html).
Sehingga ke hari ini, baik Azmin mahupun penama-penama lain yang disebut oleh Dr. Abdul Rahman Kadir dalam lapurannya tidak ada mengambil tindakan samada membuat lapuran polis atau menyaman Dr. Abdul Rahman Kadir sebagai penafian jelas terhadap lapuran tersebut.
Persoalannya, bagaimana seorang yang dilapurkan telah menghina batang tubuh Baginda Tuanku Sultan Selangor hendak dilantik menjadi Menteri Besar dan bertindak sebagai Datuk Bendahara untuk menasihati Tuanku Sultan Selangor?
2. KALIMAH ALLAH & PERSOALAN AQIDAH - AZMIN SETUJU KRISTIAN GUNA KALIMAH ALLAH?
Azmin Ali dalam sidang media pada 17 Januari 2013 telah menyanggah ketetapan yang dibuat oleh Majlis Syura' Ulama' PAS mengenai isu kalimah Allah.*
Pada 13 Januari 2013, Majlis Syura' Ulama' PAS telah membuat ketetapan melarang sebarang penggunaan kalimah Allah oleh kristian kerana ianya membabitkan persoalan aqidah dan bukannya isu politik.
Azmin dalam kenyataannya menyanggah ketetapan Majlis Syura' Ulama' PAS dengan menyatakan bahawa ketetapan Majlis Syura' Ulama' PAS hanya mengikat ahli PAS.
Azmin bertegas menyatakan bahawa beliau bersetuju dengan pendirian Majlis Presiden Pakatan Pembangkang DAP-PKR-PAS yang dibuat pada 08 Januari 2013 yang memperakui kristian boleh menggunakan kalimah Allah walaupun tidak menepati kehendak Al-Quran; sebagaimana yang dituntut oleh Lim Guan Eng didalam ucapan hari krismas pada 25 Disember 2012.
Pendirian Azmin ini jelas bercanggah dengan titah Tuanku Sultan Selangor sendiri. Ianya juga jelas bercanggah dengan pendirian Majlis Agama Islam Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor; malahan bercanggah dengan Enakmen Pelarangan Pendakyahan Agama Bukan Islam 1988 Selangor yang jelas melarang penggunaan kalimah Allah oleh mana-mana orang bukan Islam dalam bentuk yang dilarang Islam.
Persoalannya ialah, apakah kelak nanti akan berlaku pertembungan dan konfrontasi diantara Kerajaan Negeri Selangor dibawah pimpinan Azmin Ali dengan Tuanku Sultan Selangor, institusi Islam Negeri Selangor dan juga Undang-Undang sah Negeri Selangor?
Sekurang-kurangnya Tan Sri Khalid jelas pendiriannya dalam isu ini - iaitu patuh kepada titah Tuanku Sultan Selangor sendiri. Sebab itu sehingga hari ini Kerajaan Selangor pimpinan Tan Sri Khalid enggan mengembalikan bibel versi bahasa Melayu yang dirampas MAIS kepada Bible Society of Malaysia.
Adakah Azmin akan melanggar titah Tuanku dan Enakmen Anti-Dakyah Negeri Selangor dengan mengembalikan bibel-bibel tersebut, dan membenarkan kristian mengguna-pakai kalimah Allah di bumi Selangor ini?
Apa yang jelas pendirian Azmin yang dinyatakan melalui sidang media pada 17 Januari 2013 itu tidak pernah ditarik balik secara terbuka? Dan Azmin sendiri tidak menyatakan dengan jelas dan sarih bahawa dia sudah menukar pendirian dan bersetuju dengan titah Tuanku dan undang-undang negeri Selangor melarang kristian menyalahguna kalimah Allah di bumi Selangor ini?
Kita perlu ingat isu kalimah Allah ini belum pun tamat. Bible Society of Malaysia masih menuntut dikembalikan bibel-bibel versi bahasa Melayu yang mengandungi kalimah-kalimah yang dilarang. Penerbitan The Herald membuat kenyataan semalam bahawa mereka telah memfailkan permohonan menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan. Dan rayuan pihak SIB - Sidang Injil Borneo untuk penggunaan kalimah Allah oleh kristian dan hak mendakyahkannya akan didengar oleh Mahkamah Rayuan pada 01 Oktober 2014.
Bermakna isu kalimah Allah dan penggunaan bibel versi bahasa Melayu masih lagi panas berapi dan akan berpanjangan, mungkin sehingga ke PRU-14 yang dijadualkan pada tahun 2018. Apakah pendirian kerajaan Azmin Ali nanti bila isu ini berbangkit kelak?
Kalau kita dah tahu pendirian Azmin menyokong kristian menggunakan kalimah Allah yang bercanggah dengan titah Tuanku Sultan dan Enakmen Negeri Selangor, dan kita masih melantik dia menjadi Menteri Besar Selangor; tidakkah itu namanya mengundang bala, mencari masalah?
Isu kalimah Allah ini isu besar; membabitkan soal aqidah, agama dan keimanan. Sebagaimana yang ditegaskan oleh Sahibul Fadhilah Dato' Dr. Harun Din, Timbalan Mursyidul Am PAS, adalah kufur dan syirik bagi sesiapa membenarkan atau bersetuju kristian mengguna-pakai kalimah Allah.
3. HUBUNGAN BURUK DENGAN PM DAN KERAJAAN PERSEKUTUAN - NAJIB HAIWAN TERNAKAN MAHATHIR?
Kita semua tahu bahawa untuk rakyat sesebuah negeri di Malaysia ini terus menikmati keamanan, pembangunan dan kemakmuran berterusan, maka Kerajaan Negeri wajib mempunyai hubungan yang baik dengan Kerajaan Pusat dibawah pimpinan YAB Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak.
Apatah lagi Negeri Selangor yang mempunyai kedudukan geo-grafi dan geo-politik yang sangat rapat dengan Kerajaan Persekutuan. Mutakhir isu bekalan air bersih dan terawat bagi rakyat Selangor yang menghadapi masalah kritikal akibat kegiatan politiking yang melampau oleh pembangkang DAP-PKR-PAS di Negeri Selangor.
Kerajaan Pusat cuba membantu melalui projek Langat-2 untuk menyalurkan air daripada Negeri Pahang ke Selangor. Kerajaan Tan Sri Khalid yang menyedari isu air ini perlu diselesaikan dengan kerjasama dan bantuan Kerajaan Pusat telah mengambil langkah positif dengan menandatangani perjanjian kerjasama dengan Kerajaan Pusat. Tindakan Khalid dikritik hebat oleh pimpinan pembangkang dan dikatakan antara punca Langkah Kajang dilaksanakan untuk menggulingkan Khalid.
Persoalannya, adakah Azmin Ali mempunyai hubungan baik dengan Kerajaan Pusat. Saya tidak nafikan Azmin mempunyai hubungan individu dan peribadi yang agak baik dengan beberapa orang pimpinan UMNO. Malah sehingga kini saya difahamkan hubungan itu masih terjalin.
Malah pada awal Ogos lepas Azmin dilihat bersama dengan seorang pegawai kanan seorang pemimpin kanan UMNO di bangunan kondominium mewah Troika, KLCC Kuala Lumpur. Apa yang dibincangkan saya pun tidak tahu; tetapi keakraban mereka memang terserlah. Malah Azmin antara satu-satunya pemimpin PKR yang masih dijemput menghadiri majlis perkahwinan dan lain-lain majlis peribadi yang dianjurkan oleh pimpinan kanan UMNO.
Saya diberitahu ada beberapa orang kenamaan yang didakwa kononnya rapat dengan Istana Selangor begitu giat melobi untuk Azmin diangkat menjadi MB Selangor. Malah dua orang yang bergelar Tan Sri dikatakan ke Putrajaya baru-baru ini berjumpa dengan pimpinan kanan UMNO, khabarnya untuk mendapat lampu-hijau Putrajaya untuk Azmin dilantik menjadi MB Selangor, wallahua'lam.
Bagi saya itu semua adalah hubungan peringkat individu dan peribadi, dan saya tiada masalah dengannya. Tetapi bagaimana pula dengan hubungan politik dengan Kerajaan Pusat sendiri?
Bagaimana hubungan Azmin dengan Perdana Menteri Malaysia YAB Dato' Sri Najib Tun Razak? Sudah pasti sebagai MB beliau wajib mempunyai hubungan yang baik dan positif dengan YAB PM Malaysia.
Pada 07.03.2014, semasa kempen PRK Kajang, Azmin telah membuat satu ucapan yang jelas membuktikan betapa buruknya hubungan beliau dengan YAB PM bila beliau berkata bahawa 'Najib adalah haiwan ternakan Mahathir'.
Dakwaan menghina ini dibuat Azmin konon atas dakwaan bahawa Najib 'mengarahkan Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun terhadap Anwar kerana kesalahan meliwat' pembantunya Saiful Bukhari Azlan. Keputusan itu menyebabkan angan-angan Anwar dalam Langkah Kajang untuk bertanding dalam PRK Kajang dan menjadi MB Selangor terbantut.
Malah dalam ucapan penuh penghinaan itu, Azmin memberi gambaran seolah-olah Najib terlibat dalam pembunuhan Altantuya (sila rujuk http://youtu.be/be/ezK3rhbHysU). Tuduhan dan maki hamun Azmin terhadap Najib itu dijawab oleh Mursyidul Am TIBAI Sheikh Zahid Md Arip di http://youtu.be/KR46_kGQ2jE.
Jangan lupa Azmin juga pernah membuat kenyataan mendoakan supaya 'Dr. Mahathir jatuh tersungkur' semasa Tun Mahathir jatuh sakit di Australia.
Juga jangan lupa kerjasama erat Anwar-Azmin dalam perhimpunan haram yang dilabel sebagai Bersih-2 yang menyaksikan rusuhan dan pelanggaran perintah polis yang belum pernah disaksikan dalam sejarah negara ini.
Kita melihat polis dipukul, motosikal polis ditendang jatuh dan anggota trafik disepak dimuka dan dipukul, kenderaan polis diterbalikkan dan dipecahkan dan macam-macam lagi perbuatan terkutuk dan kerosakan dilakukan terhadap pasukan keselamatan dan harta-benda awam.
Azmin adalah antara pimpinan pembangkang yang dikenal pasti oleh pihak keselamatan antara yang terlibat dalam perhimpunan haram itu!
Jadi dalam konteks ini semua, bagaimana rakyat Selangor boleh mengharapkan sebuah Kerajaan Negeri yang akan mempunyai hubungan baik dengan Kerajaan Pusat?
Malahan, bagaimana Azmin mahu menjalin hubungan baik dengan ahli dan penyokong UMNO dan Barisan Nasional yang juga merupakan sebahagian besar rakyat Selangor apabila dia melabel Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional sebagai 'haiwan ternakan Mahathir'.
Pada saya, hanya ahli, penyokong dan pemimpin UMNO-BN yang bodoh dan bangang sahaja yang boleh menerima Azmin sebagai Menteri Besar Selangor.
Bagaimana pembangunan, kemajuan dan kemakmuran hendak dibawa ke negeri Selangor jika Menteri Besarnya menuduh Perdana Menteri sebagai 'haiwan ternakan Dr. Mahathir'!
RUMUSAN
Tiga faktor diatas sudah cukup membuktikan bahawa Azmin tidak layak dipertimbangkan pun untuk menjadi Menteri Besar Selangor.
Saya tidak berminat untuk mengupas dakwaan masalah moral dan sosial Azmin - yang pernah didakwa dengan skandal 'aiskrim dalam jamban', juga sebagai 'Si-Tanggang moden' yang didakwa derhaka terhadap ibunya Mak Tom sehingga Mak Tom terpaksa membuat kenyataan di televisyen sambil menangis merintih, ataui dakwaan konon dia mempergunakan isterinya Shamsidar 'untuk kepentingan politik dan peribadinya'. Juga dakwaan Datuk Murad, bekas Timbalan Gabenor Bank Negara kononnya mengenai penyelewengan wang berjumlah RM3 billion ringgit membabitkan Anwar dan isteri Azmin Shamsidar, dan lain-lain dakwaan.
Pada saya, samada dakwaan-dakwaan ini benar atau sebaliknya tidak timbul dalam isu perlantikan MB kerana ianya terlalu peribadi membabitkan rumahtangga dan peribadi Azmin, dan tidak wajar untuk dijadikan bahan bahasan umum.
Saya serahkan kepada Azmin untuk tampil kedepan menjawab dakwaan-dakwaan ini, termasuk membuat lapuran polis, atau menyahut cabaran Mursyidul Am TIBAI untuk membuat sumpah laknat menafikannya. Itu terserahlah kepada Azmin sendiri untuk menimbangkannya.
Memang benar bahawa sebelum daripada ini, ada Menteri Besar Selangor daripada UMNO didakwa mempunyai pelbagai skandal. Tetapi bezanya isu skandal mereka ini timbul dan terjadi hanya setelah mereka sudahpun menjawat jawatan MB Selangor.
Sebaliknya Azmin belum pun dilantik sebagai MB sudah pun didakwa terpalit dengan pelbagai skandal yang jika tidak diurus dan dikawal dengan baik atau disalahgunakan oleh mana-mana pihak yang berkepentingan boleh menjahanamkan Kerajaan Negeri Selangor.
Bagaimanapun, apa yang ingin saya fokuskan daripada perbincangan tiga faktor diatas ialah soal integriti, kewibawaan dan akhlak kepimpinan yang jelas membuktikan Azmin tidak layak dipertimbangkan sebagai calon Menteri Besar Selangor.
Seperti yang telah saya sebut dalam mukaddimah, saya tiada masalah peribadi dengan Azmin. Malah hubungan saya dengan Azmin adalah baik. Sepanjang saya dipecat sebagai Ahli Parlimen mewakili PKR berkaitan isu kalimah Allah, saya tidak pernah mengkritik Azmin secara terbuka; sehingga ramai rakan kehairanan mengapa saya bersikap sedemikian.
Seperti yang saya sebut, saya tiada masalah peribadi dengan Azmin. Malah saya juga punya hubungan baik dengan Shamsidar dan pernah ke kampungnya di Taiping. Saya juga punya hubungan baik dengan beberapa ahli keluarga Mak Tom.
Persoalannya ialah penentuan pemilihan seorang Menteri Besar, iaitu Ketua Kerajaan bagi Negeri Selangor Darul Ehsan. Ini persoalan besar yang akan menentukan arah tuju sebuah kerajaan negeri. Ini soal masa depan genarasi akan datang termasuk anak cucu saya nanti.
Sebab itu saya tidak boleh mengambil sikap membisu dan berdiam diri. Saya perlu bersuara, apatah lagi pesan Nabi Muhammad saw hendaklah kamu cegah sebarang kemungkaran, 'jika tidak dengan tangan (kuasa) kamu, cegahlah ia dengan mulut (lisan, tulisan) kamu. Jika itu pun kamu tidak mampu, janganlah kamu redhai kemungkaran itu dengan bersekongkol dengannya'.
Sebab itu saya menulis ini. Bukan untuk menghina Azmin, bukan untuk mengaibkan Azmin. Malah saya cukup berhati-hati dengan hanya memberi fokus kepada soal prinsip, integriti dan kewibawaan dengan mengenepikan persoalan peribadi dan personal Azmin.
Akhir kata, saya pohon sembah takzim kebawah Duli Tuanku Sultan Selangor untuk mengambil kira pandangan saya ini sebagai suatu sumbangan saya kearah memperkasa dan memartabatkan institusi DiRaja Selangor, kerajaan Selangor dan untuk kebaikan seluruh rakyat Selangor.
Pandangan saya ini bukan bermaksud mencampuri urusan dan kuasa Tuanku. Malah saya sedia maklum kuasa melantik seseorang Menteri Besar Selangor adalah hak mutlak Tuanku Sultan Selangor dibawah Perkara 53 Undang-Undang Tubuh Perlembagaan Negeri Selangor.
Saya berharap Tuanku menganggap pandangan saya ini sebagai satu sumbangan kecil saya dalam proses Tuanku untuk menimbang dan melaksanakan kuasa mutlak Tuanku tersebut.
Apa pun akhirul kalam, ketentuan adalah ditangan Paduka Tuanku Sultan Selangor sendiri.
Saya akhiri dengan peringatan Allah sendiri didalam Surah Al-Asr, 'Demi masa, sesunggunhnya manusia itu sentiasa berada didalam kerugian; kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh; dan mereka pula berpesan-pesan (ingat-mengingatkan) dengan kebenaran, serta berpesan-pesan (ingat-mengingatkan) dengan kesabaran'.
Tugas dan tanggungjawab saya hanya sekadar berpesan-pesan dan ingat-mengingatkan, dengan fakta kebenaran, dan dengan kesabaran. Janganlah kita menjadi manusia yang disebut Tun Mahathir sebagai bangsa yang cepat pelupa, dan yang lebih penting, janganlah kita berada dalam kerugian dan penyesalan berpanjangan akibat kelupaan dan kealpaan kita hanya kerana kita tidak mahu mendengar sebarang pesanan dan peringatan.
Wallahua'lam dan Wassalam.
Adios amigos, grasias senor.
Zulkifli Bin Noordin
Sabtu
25 Zul-Qaedah 1435
20 Sept 2014
*Sila rujuk
http://www2.bharian.com.my/bharian/articles/IsukalimahAllah_KenyataanAzminAlibercanggahmajlissyura/Article/index_html,
Apa Kata Tian Chua dan Pimpinan PKR
PETALING JAYA: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali, yang dikatakan calon pilihan untuk dilantik sebagai Menteri Besar Selangor, tidak mendapat sokongan daripada partinya.
Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata tiada cubaan untuk berunding dengan parti untuk mengubah pendirian parti sekiranya Azmin atau mana-mana calon mendapat sokongan majoriti, yang merupakan kriteria utama dalam pelantikan menteri besar yang baharu.
“Kriteria tunggal untuk calon menteri besar, perlu mendapat sokongan majoriti daripada ahli Dewan Undangan Negeri. Tidak kisah sama ada calon tersebut tidak mempunyai parti sekali pun,” kata Chua.
Terdahulu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata parti tidak berganjak daripada keputusannya sebelum ini yang menamakan presiden parti Wan Azizah sebagai calon tunggal menteri besar Selangor yang baharu.
Beliau petik sebagai berkata keputusan dan pendirian parti itu adalah atas kepercayaan mempertahankan Undang-Undang Tubuh Selangor dan sistem raja berpelembagaan.
Saifuddin turut menafikan laporan berita kononnya Ketua Umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berkompromi dan memberi persetujuan secara lisan kepada calon lain sebagai menteri besar yang baharu.
Sementara itu, Bendahari Agung PKR, William Leong berkata parti itu juga tidak akan memberikan sokongan kepada mana-mana calon selain daripada Wan Azizah, yang juga isteri kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“PKR dan DAP tidak pernah memberikan nama calon lain,” katanya.
Akhbar The Star pada Jumaat melaporkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah berkenan menerima menghadap Azmin Ali, Iskandar Samad yang juga Adun Chempaka dan anggota Exco kerajaan Selangor daripada PAS Dr Ahmad Yunus Hairi yang juga Adun Sijangkang secara berasingan pada awal minggu ini.
Akhbar itu melaporkan pertemuan tersebut adalah bagi membolehkan baginda menilai kesesuaian masing-masing untuk memegang jawatan tertinggi dalam pentadbiran Selangor itu dan merupakan sebahagian daripada langkah-langkah akhir untuk memutuskan siapakah calon terbaik yang mampu menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Majlis Angkat Sumpah Menteri Besar Selangor yang baharu akan diadakan pada Selasa ini di Istana Alam Shah, Klang pada pukul 10.30 pagi.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani pada Jumaat dilaporkan berkata nama menteri besar yang baharu akan diumumkan selewat-lewatnya pada Isnin bergantung kepada perkenan Sultan Sharafuddin – Mstar
Dan akhirnya.....
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN
Saya menerima dengan hati yang terbuka keputusan yang telah dibuat oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor yang memperkenankan YB Tuan Mohamed Azmin Ali, Timbalan Presiden KEADILAN sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.
Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada 29 ahli Dewan Negeri Selangor dari KEADILAN, DAP dan PAS yang telah memberikan sokongan kepada saya sejak 14 Ogos 2014 dan membolehkan Pakatan Rakyat kekal sebagai kerajaan di Selangor. Saya menghargai kesepakatan 29 ahli Dewan Negeri Selangor ini yang meletakkan kepentingan menjaga mandat rakyat mengatasi kepentingan peribadi mereka.
Atas semangat itu, saya telah membuat keputusan untuk menarik diri dari pencalonan sebagai Menteri Besar Selangor. Saya telah mencadangkan kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) agar YB Tuan Mohamed Azmin Ali, Ahli Dewan Negeri Kawasan Bukit Antarabangsa diangkat sebagai calon Menteri Besar Selangor. Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang bermesyuarat pada hari ini telah juga sebulat suara bersetuju dengan cadangan itu.
Saya mengambil keputusan ini demi kepentingan rakyat atas kesedaran bahawa krisis ini perlu diselesaikan secepat mungkin. Saya yakin bahawa KEADILAN telah kekal mempertahankan prinsip demokrasi raja berpelembagaan. Walaupun proses perlantikan ini pada hemat saya tidak menepati peruntukan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor, saya percaya tumpuan perlu dikembalikan kepada usaha membela rakyat di Selangor.
Oleh itu, saya telah menyatakan pandangan saya kepada pimpinan parti mengenai beberapa program khusus yang perlu dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri untuk mengangkat martabat dan kebajikan rakyat Selangor.
Presiden KEADILAN
22 September 2014
No comments:
Post a Comment