Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membatalkan saman yang difailkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terhadap Ahli Parlimen PAS Temerloh Nasrudin Hassan Tantawi, dengan kos sebanyak RM500.
Nasrudin mengesahkan perkara tersebut dalam satu catatan di facebooknya pada tengah malam Isnin.
"Peguam saya maklumkan siang tadi bahawa saman Ketua Menteri Pulau Pinang ke atas saya dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang," kata beliau.
Difahamkan perintah pembatalan tersebut dibuat oleh Pendaftar Mahkamah disebabkan kegagalan Peguam Guan Eng untuk mematuhi Aturan Pliding tentang keabsahan Writ Saman, iaitu kegagalan untuk menandatangi Writ Saman tersebut yang menjadikan dokumen tersebut tidak sah untuk didaftarkan di Mahkamah.
“Peguam Guan Eng cuba memberi penjelasan dan mendesak Mahkamah menerima dokumen yang cacat tersebut, namun Mahkamah menegaskan bahawa Aturan Pliding dan Kaedah Mahkamah 2012 hendaklah dipatuhi sepenuhnya.
“Mahkamah Tinggi kemudiannya membatalkan writ saman tersebut dan memberikan kebebasan kepada Guan Eng untuk memfailkan semula,” lapor portal TKO.
Dalam kes itu, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP diwakili oleh Peguam S Shanmugan manakala Nasrudin diwakili oleh peguam Wan Rohimi Bin Wan Daud.
Pada Ogos lalu, Guan Eng berkata beliau mahu meneruskan tindakan undang-undang terhadap Nasrudin kerana gagal memohon maaf berhubung kenyataannya yang didakwa berunsur fitnah.
Guan Eng berkata notis saman itu telah kepada anggota Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu berhubung kenyataannya di laman sosial bertajuk ‘Apa beza Kidex dan Penang tunnel?”, pada 6 Ogos lepas.
Nasrudin dalam artikelnya mempersoal mengapa Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikecam berhubung projek Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex), tetapi tindakan sama tidak ditujukan kepada Guan Eng dalam pembinaan terowong dasar laut yang didakwanya diberikan secara rundingan terus.
Menurutnya, projek terowong berjumlah RM4.63 bilion itu dibiayai sepenuhnya kerajaan DAP Pulau Pinang dan dianugerahkan kepada pemaju, Construction Zenith BUCG Sdn Bhd secara rundingan terus.-sumber
No comments:
Post a Comment