Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau percaya bahawa pendakwaan yang dihadapi Rafizi Ramli hari ini bertujuan untuk menghalang pengarah strategi parti itu daripada terus mendedahkan dakwaan skandal penyelewengan BN.

 
"Saya yakin bahawa penangkapan Rafizi adalah berkaitan dengan isu skandal National Feedlot Cooporation (NFC) dan juga George Kent yang baharu sahaja diberikan kontrak jutaan ringgit.

"Motif penangkapan yang amat jelas berunsurkan politk semata-mata bertujuan untuk memastikan Rafizi untuk berdiam daripada terus mendedahkan pelbagai lagi dokumen-dokumen yang melibatkan pimpinan kerajaan Umno dan BN," kata Anwar dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar mendakwa, Rafizi mendapat ramai "seteru yang berkuasa" sejak membuat pendedahan mengenai projek NFC tahun lalu.

Golongan ini, kata Anwar, akan menggunakan apa sahaja untuk mendiamkan Rafizi.

Selangor tubuh tabung khas

"Ini menggambarkan politik dendam yang ditunjangi perdana menteri (Datuk Seri) Najib Razak dan menggunakan agensi-agensi kerajaan yang dikawal penuh," katanya yang mengecam keras tindakan ke atas Rafizi.

Kecaman sama turut disuarakan timbalan presiden parti itu, Azmin Ali yang mendakwa Umno dan BN terdesak sehingga mengheret Rafizi ke mahkamah atas dakwaan mengikut Akta Institusi Perbankan dan Kewangan itu kerana mendedahkan skandal NFC.

 
"PKR percaya Umno dan BN sedang menggunakan pelbagai cara untuk menutup segala pekung penyelewengan dan salah guna kuasa daripada menjadi pengetahuan rakyat," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, kerajaan negeri Selangor turut menyatakan sokongan kepada Rafizi dengan menyatakan dana khas bagi membiaya kos guaman bekas ketua pegawai eksekutif di pejabat penasihat ekonomi negeri Selangor itu.

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dalam kenyataannya berkata, langkah itu sebagai memenuhi janji kerajaan negeri untuk membanteras rasuah.

"Tindakan terhadap saudara Rafizi membuktikan bahawa komitmen kerajaan BN terhadap ketelusan dan pertanggungjawaban yang diuar-uarkan oleh perdana menteri ternyata hanya janji kosong," katanya.

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
TANGKAPAN AKTA BAFIA : POLITIK DENDAM KE ATAS RAFIZI?
(1 Ogos 2012)
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) memandang serius penahanan Rafizi Ramli, Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR) di bawah BAFIA (Akta Institusi Perbankan dan Kewangan) hari ini. Bagi DPPM tangkapan ke atas Rafizi membuktikan kerajaan bersikap tidak ikhlas dan telus dalam memastikan negara ini bebas dari rasuah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin negara.

DPPM menganggap tindakan ke atas Rafizi lebih dilihat sebagai tindakan politik pihak tertentu yang tersepit dan cemas dengan pelbagai pendedahan berani serta sensasi oleh beliau. Tindakan ini juga seperti suatu ancaman ke atas beliau ekoran kejayaan beliau mendedahkan skandal National Feedlot Corporation (NFC) serta ugutan kepada pemberi-pemberi maklumat lain supaya jangan memberi kerjasama kepada ‘whistle blower’ skandal pemimpin negara ini. Malah beliau juga mempunyai siri-siri pendedahan skandal pemimpin negara yang mempunyai kepentingan terhadap projek tertentu serta terlibat dalam pelbagai penyelewengan.

Kerajaan sepatutnya melihat isu yang ditimbulkan oleh Rafizi jauh lebih utama dan penting berbanding tindakan beliau membocorkan maklumat. Tindakan Rafizi wajar dipuji kerana usahanya memastikan negara ini bebas daripada penyangak-penyangak rasuah oleh pemimpin-pemimpin negara.

DPPM menegaskan, negara ini menuju kemusnahan jika jenayah rasuah dibiarkan berleluasa manakala pemberi maklumat diambil tindakan. Politik dendam dan hasad dengan menghukum seseorang hanya kerana individu tersebut bercakap benar adalah tindakan keji golongan yang menolak kebenaran. Bagi rakyat, tindakan ini bukan melunturkan semangat mereka mahukan perubahan, malah menambah lagi sentimen kebencian mereka melihat kemungkaran yang dilakukan oleh pemimpin yang korup dan mementingkan diri sendiri.

DR RAJA AHMAD AL HISS
Naib Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia