Bekas Presiden Bursa Malaysia dan pakar ekonomi tersohor Datuk Salleh Majid (gambar), 62 telah kembali ke Rahmatullah pada jam 10.20 pagi tadi di Hospital Kuala Lumpur akibat penyakit kanser usus dan kegagalan buah pinggang.
Jenazah allahyarham telah dibawa ke rumah bondanya di 1055 Jalan Hj Mokhtar, Kg Pasir, Ulu Kelang dan disolatkan di Masjid Kg.Pasir, Ulu Kelang.
Jenazah beliau kemudiannya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ar-Ridhuan, Hulu Kelang di sini petang ini sejurus selesai solat jenazah yang menyusuli solat Asar di masjid tersebut.
Antara yang menziarah jenazah Allahyarham yang dibawa ke rumah ibunya di Kampung Pasir, Hulu Kelang ialah Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang, Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaafar dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Abdul Rahman Sulaiman. — BERNAMA.
Direktori blog politik Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.Moga-moga rohnya ditempatkan bersama-sama para solihin.Al Fatihah.
KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Allahyarham Datuk Mohd Salleh Abdul Majid disifatkan sebagai tokoh yang mencatat pencapaian luar biasa dalam menerajui Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia) selain sentiasa memperjuangkan ekonomi orang Melayu.
Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Datuk Moehamad Izat Emir berkata Allahyarham adalah seorang tokoh yang konsisten dan tidak pernah teragak-agak dalam membuat keputusan.
"Diharap ada pihak yang mengumpulkan buah fikiran Allahyarham untuk dikompilasikan dalam bentuk buku," katanya sebagai mengulas pemergian Mohd Salleh, 62, di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat barah usus dan kegagalan buah pinggang.
Bercakap kepada Bernama ketika menziarah jenazah bekas presiden BSKL itu di Hulu Klang di sini, Moehamad Izat yang lama mengenali Mohd Salleh, berkata: "Sebagai anak Melayu, Allahyarham dikagumi kerana mampu membuat perubahan amat ketara dalam ekonomi bumiputera Melayu.
"Dan arwah juga sentiasa memberi pandangan daripada segi ekonomi dengan matlamat menguatkan penguasaan ekonomi negara."
Jenazah Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ar-Ridhuan, Hulu Klang.
Berkongsi pandangan dengan Moehamad Izat, bekas Pengurus Besar Bernama Datuk Seri Azman Ujang yang semasa menjadi wartawan sering membuat liputan berita ekonomi ketika Mohd Salleh menerajui BSKL.
Azman berkata, harga saham di BSKL ketika Mohd Salleh melambung berbanding sekarang.
"Masa itu harga saham melambung naik sehingga ada yang mencecah paras RM140 untuk kaunter-kaunter tidak terkenal berbanding harga saham sekarang yang lebih murah daripada harga roti canai, tidak meningkat lagi. Itulah zaman kegemilangannya," kata Azman.
Beliau turut menyentuh idea Allahyarham untuk mewujudkan Bursa Saham Islam melibatkan beberapa negara Arab dan Malaysia.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali kagum dengan perjuangan gigih Allahyarham dalam memperjuangkan ekonomi bangsa Melayu.
"Saya bersama-sama beliau belajar di Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara) tetapi beliau tidak memilih bidang politik dan sebaliknya memilih bidang profesional.
Ibrahim Abdul Majid, 60, adik kepada kepada Mohd Salleh berkata Allahyarham menghidap sakit buah pinggang sejak tahun 90-an.
"Allahyarham menghidap kanser usus sejak setahun lepas dan telah beberapa kali dimasukkan ke wad," katanya.
Allahyarham dimasukkan ke HKL Selasa lepas.
Seorang anak perempuan Allahyarham yang enggan namanya disiarkan, berkata ayahnya seorang yang prihatin dan penyayang walaupun sibuk dengan tugas hariannya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment