Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak polis yang menggunakan kekerasan terhadap mahasiswa yang berhimpun secara aman di depan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak awal pagi tadi. Pengerusi Gerakan Kebebasan Akademik (BEBAS) saudara Safwan Anang dilaporkan masih lagi terlantar di Hospital Slim River, Perak akibat patah tulang rusuk kesan dari tindakan ganas pihak polis. Rakaman video insiden tersebut yang kini telah dimuatnaik di beberapa laman sosial di internet juga jelas menunjukkan bahawa pihak polis telah bertindak keterlaluan tatkala meleraikan demonstrasi aman tersebut.
AMK menyifatkan peristiwa ini sebagai suatu tragedi hitam dalam sejarah gerakan kebebasan akademik dan merupakan satu bentuk penghinaan terhadap mahasiswa. Apakah layak bagi sekumpulan mahasiswa yang berhimpun bagi tujuan menuntut kebebasan akademik dilayan dan diperlakukan sedemikian zalim oleh pihak berkuasa? Insiden ini jelas menzahirkan bahawa pentadbiran Dato’ Sri Najib Razak tidak serius dalam usaha meminda Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) dan ianya tidak lebih sekadar gimik politik murahan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.
Apa yang berlaku semalam membuktikan bahawa pendekatan pentadbiran Dato’ Sri Najib kini semakin mirip kepada kaedah otokratik yang diamalkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ini jelas bertentangan dengan janji beliau sendiri kononnya untuk menjadi pemimpin yang mendengar suara rakyat dan mesra anak muda. Harus diingat bahawa kejatuhan rejim di Tunisia dan Mesir bermula tatkala pihak berkuasa bertindak zalim dengan menindas anak muda dan mahasiswa. Peristiwa yang berlaku awal pagi tahun baru 2012 ini secara tersirat menandakan bermulanya kejatuhan rejim UMNO-Barisan Nasional.
Justeru, AMK menuntut supaya satu siasatan menyeluruh dijalankan terhadap insiden keganasan ini dan anggota polis yang bertanggungjawab mencederakan mahasiswa dihadapkan ke muka pengadilan. Kami juga menuntut supaya Menteri Dalam Negeri yang bertanggungawab terhadap pasukan polis supaya memohon maaf kepada mahasiswa yang dizalimi serta ahli keluarga mereka. AMK juga menawarkan khidmat guaman kepada semua mahasiswa yang terlibat sekiranya mereka berhasrat untuk mengambil tindakan perundangan terhadap pihak polis.
SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN
Ketua Angkatan Muda KEADILAN
Saya meneliti secara serius perkembangan mutakhir gerakan kebebasan akademik yang dipimpin oleh kelompok mahasiswa yang kini berdepan dengan pelbagai tekanan politik UMNO. Tatkala kesedaran menuntut kebebasan di kalangan mahasiswa mulai berkembang dan matang, pimpinan UMNO semakin gusar dan resah dalam menghadapi asakan ini serta bertindak melulu dengan menzahirkan ancaman fizikal bersifat biadab dan semberono.
Komitmen pentadbiran Dato’ Sri Najib Razak, kononnya mahu meminda Seksyen 15, Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) dan memberi lebih kebebasan kepada mahasiswa dalam politik kepartian kini dilihat tidak lebih sekadar omong kosong. Perkembangan membabitkan Adam Adli, mahasiswa dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) yang kini berdepan dengan tindakan di bawah AUKU sememangnya menzahirkan ketakutan UMNO terhadap gelombang kebangkitan mahasiswa. Tindakan sama turut dilihat dalam beberapa kes terdahulu dengan tindakan keras oleh pihak universiti termasuk risiko dibuang kampus.
Insiden remeh di depan ibu pejabat UMNO di PWTC yang dikaitkan dengan tuntutan mahasiswa tempoh hari diangkat oleh media milik UMNO seolah-olah ianya jenayah besar walhal isu-isu yang berkait dengan fitnah, ugutan bunuh, jenayah dan rasuah seringkali diketepikan.
Tindakan menghukum dengan menggunakan peruntukan AUKU terhadap mahasiswa selepas insiden tersebut jelas bertujuan untuk menakut-nakut dan sebagai langkah untuk mengendurkan semangat serta iltizam mahasiswa.
Saya menggesa agar dihentikan semua bentuk tekanan terhadap mahasiswa kerana jelas ini merupakan kehendak politik pimpinan UMNO yang terdesak. Saya juga mengulangi tekad dan komitmen Pakatan Rakyat untuk memansuhkan AUKU serta memberi penumpuan kepada usaha mengangkat mutu pendidikan yang berteraskan prinsip kebebasan akademik, pencerahan dan pemerkasaan intelektual.
ANWAR IBRAHIM
No comments:
Post a Comment