Hazayani Zakaria, | 14 Mei 2012 |
Nizar berkata demikian apabila ditanya faktor yang mendorong beliau hadir ke ceramah anjuran Umno Kampar bertajuk 'Nizar Pembohong Bersiri' di Tualang Sekah, malam tadi.
"Bila saya dapat tahu ceramah itu memang untuk dedahkan pembohongan saya, eloklah saya pergi dengar sendiri supaya mereka berterus terang.
"Kebetulan giliran saya berceramah tidak jauh dari situ jam 11 malam. Jadi saya minta kawan hantarkan dengan motor ke ceramah mereka," kata beliau kepada Harakahdaily, hari ini.
Cerita Nizar, ketika beliau sampai dan duduk di meja utama, bekas Ketua Penerangan Parti Keadilan Nasional Hanafiah Man sedang 'mengumpat' beliau.
Namun apabila menyedari kehadiran Nizar, Hanafiah terdiam seketika dan terus menukar topik.
"Saya pun tak tahu kenapa mereka terkejut dan tak teruskan ucapan, tak tahu mereka rasa bersalah atau apa," katanya yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.
Tambah Nizar lagi, kebanyakan orang luar yang hadir ke ceramah itu sebaliknya orang kampung tersebut hadir ke ceramah PAS yang hanya kira-kira 150 meter dari tapak ceramah Umno itu.
"Orang kampung situ memang kenal saya dan keluarga saya mungkin sebab itu mereka lebih berminat untuk hadir ke ceramah PAS," katanya yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.
Katanya juga, kehadirannya menyebabkan matlamat Umno untuk memfitnahnya gagal dan menimbulkan rasa tidak senang penganjur.
"Saya duduk sebelah (Ketua Umno Bahagian Kampar ) Datuk Radzi (Manan). Beliau bisik kepada saya suruh beredar untuk mengelakkan pergaduhan.
"Katanya kalau orang Umno hadir ceramah saya, mesti saya pun tak suka. Saya kata, saya lagi suka kalau orang Umno hadir ceramah saya. Senang saya nak sampaikan maklumat," katanya lagi.
Ekoran tindakan beraninya itu, ramai pengikutnya di blog mikro Twitter memuji dan mengucapkan tahniah kepadanya.
No comments:
Post a Comment