Mohd Sayuti Omar, | 13 Okt 2012 |
Dia menjeling kepada tetamu lain yang duduk sebaris dengan kami. Saya sengaja dia panggil duduk berdepanan dengannya bagi mudah untuk berbicara. "Ini masih belum diketahui sesiapa lagi, tetapi saya mendapat maklumat dari seseorang yang boleh dipercayai," katanya.
Pada masa itu juga tokoh politik itu menceritakan mengenai perihal Datuk Paduka Raja Terengganu yang akan mengumumkan menyertai Pas. Perkara itu sudah pun berlaku beberapa hari lepas. Kalau merujuk kepada maklumat mengenai Datuk Paduka Raja itu, maklumat mengenai bekas Ketua Polis itu juga ada kebenarannya.
Tokoh itu lantas membisikkan kepada saya. "*********"... katanya perlahan. Tetamu lain tidak mendengarnya dan ada yang menjeling anak mata cemburu kepada perbualan saya dengan tokoh berkenaan yang agak eksklusif.
Saya mengangguk-angguk kecil sambil memamah nasi dalam mulut. Ketika itu juga terbayang dalam mata akan wajah bekas ketua polis berkenaan. Entah kenapa segera itu juga saya digodam bimbang sekiranya benar bekas ketua polis yang satu ini benar akan menyertai Pas.
Entah kenapa juga saya rasa ini perkembangan cukup membimbangkan. Tidak seperti biasa kalau ada mana-mana tokoh baik dari Umno maupun pegawai kerajaan ingin menyertai Pas, saya merasa lega dan ia dianggap memberi suntikan semangat kepada Pas. Tetapi yang ini agak berlainan sedikit, hati saya rasa kurang selesa.
Selepas mendapat berita itu saya terus cuba merisik apakah pihak Pas sudah mendapat tahu akan hal ini. Apakah ianya sudah sampai ke peringkat dibincangkan dalam mesyuarat Dewan Harian Pas, ataupun ia hanya diketahui orang-orang tertentu sahaja.
Adalah malang sekali kalau penerimaan atau pun rancangan hendak membawa masuk bekas ketua polis ini tidak dibincang selumatnya dalam Dewan Harian Pas. Perkara besar begini elok dibincang secara menghalusi di dalam Pas dan tengok baik dan buruknya serta kaji apakah tujuan dan maksudnya. Saya bimbang kalau rancangan itu tadi diterima secara mudah ia akan menyusahkan Pas.
Seseorang yang menganggotai pasukan polis sudah dilatih dengan berbagai ilmu dan juga taktik. Mereka diajar ilmu bagaimana hendak memecahkan sesuatu kumpulan atau pun melagakan di antara dua pihak agak bergaduh sesama sendiri. Natijahnya mahu melihat puak atau oragnisasi itu runtuh dan punah.
Dalam hal ini saya bukan prejudis atau busuk hati kalau niat kemasukan itu baik. Tetapi kalau ia adalah agenda dan nawaitu buruk, biarlah rancangan ini gagal. Kalaupun Pas ingin mendapatkan bekas ketua polis itu biarlah selepas selesai pilihan raya. Dan kalau beliau ikhlas dia benar-benar ikhlas untuk sertai Pas biarlah selepas pilihan raya. - http://msomelayu.blogspot.com
No comments:
Post a Comment