Ilmu inilah yang disebut sebagai Ad-din oleh Rasulullah s.a.w dengan sabdanya: yang bermaksud :
“Sesiapa yang Allah ingin berikan kebaikan kepadanya, nescaya Allah berikan kefahaman yang baik kepadanya tentang agama”.
Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 269:
"Allah memberi Al-Hikmah kepada siapa yang dikehendaki-Nya; sesiapa yang telah dianugerahkan dengan hikmah itu bermakna dia telah diberikan kebaikan yang banyak”.
Peranan Ulama':
Pertama :Sebagai pewaris para Nabi atau penyebar ajaran yang dibawanya. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Sesungguhnya para ulama’ itu adalah pewaris para Nabi. Dan
sesungguhnya para Nabi tidaklah mewariskan dinar mahupun dirham, tetapi mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambilnya (ilmu tersebut) bererti dia telah mengambil bahagian ilmu yang banyak”. (Riwayat Abu Daud dan At-Tarmizi)Menghina dan mengepikan ulama’ serta menghalang mereka daripada menyampaikan ilmu malah membunuh mereka adalah satu kejahatan dan perbuatan yang berdosa
Kedua :Ulama’ mengajar dan memperkukuh akidah, syariah dan akhlak Islam. Ulama’ yang tidak menyebarkan dakwah dan perjuangan Islam sepertimana yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w maka mereka bukan ulama’ yang sebenar.
Ketiga :Ulama’ adalah contoh budaya takut kepada Allah dan menjadi model akhlak Islam. Sikap dan perilaku ulama’ adalah mempamerkan kelakuan dan akhlak Islam yang lengkap dalam memerintah, mentadbir, memimpin, menjadi pemimpin keluarga dan sebagainya.Ulama’ bukan dari kalangan mereka yang melakukan perkara-perkara buruk seperti rasuah dan lain-lain lagi.
Keempat :Ulama’ adalah golongan yang prihatin dan mementingkan kerja membela penderitaan umat dan berusaha mereformasikan kehidupan sosiopolitik, budaya, ekonomi dan sebagainya. Mereka adalah golongan yang terlibat berjihad untuk menobatkan pemerintahan menurut lunas-lunas ajaran Islam. Mereka berusaha memartabatkan kedudukan umat dalam setiap lapangan agar menjadi khaira ummah demi menunaikan amanah dan tanggungjawab ilmu mereka.
Kelima :Ulama’ mestilah dijadikan sebagai tempat rujukan dan pembimbing umat daripada setiap kekalutan pemikiran dan kesesatan fahaman oleh simpang-siur ajaran dan ideologi ciptaan manusia. Sebab itu usaha menghalang ulama’ daripada menyampaikan ajaran agama adalah suatu kesalahan. Sebagai contoh, menyusahkan ulama’ menyampaikan ajaran Allah dengan memenjarakan atau mengenepikan mereka daripada khalayak ramai adalah satu usaha memadamkan sinar agama Allah di mana jua pun. Usaha para ulama’ yang berani menyatakan kebenaran seperti yang diajarkan oleh Islam adalah lambang perjuangan dan jihad mereka menyampaikan Islam walaupun dimusuhi oleh mereka yang anti ulama’.
Keenam :Ulama’ sentiasa berperanan mencegah kemungkaran, kezaliman dan amalan yang menderhaka kepada ajaran Allah.
Kesimpulannya, amat jelas kepada kita betapa pentingnya kedudukan para ulama’ dan peranan mereka dalam menyelamatkan umat daripada kejahilan dan kesesatan akidah.Sebab itu ulama’ dipandang serong oleh musuh Islam dan orang-orang yang sangat anti kepada perjuangan hidup Islam. Oleh kerana peranan dan kedudukan ulama’ penting dalam masyarakat, marilah kita menghormati dan menghargai ulama’ kita yang soleh dan bertaqwa.Marilah mendekati dan mempelajari ilmu pengetahuan daripada ulama’. Yang demikian itu adalah sebahagian daripada tanda kita mengagungkan dan membesarkan Allah.Lantaran itu juga, martabat dan peranan ulama’ hendaklah dihormati dan dihargai.
Pertubuhan dan gerakan mereka wajib disokong sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa. Kegiatan mereka hendaklah dibantu dan diperkasa untuk kebaikan umat Islam dan manusia seluruhnya. Maruah dan nama baik mereka hendaklah dipertahankan kerana hal yang demikian itu menjadi tanggungjawab setiap umat yang cintakan Islam.
Wallahhuaqlam.
No comments:
Post a Comment