SERI ISKANDAR 21 Okt. - Pilihan Raya Umum Ke-13 sesuai diadakan bila-bila masa sahaja termasuk pada tahun ini namun terpulang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memilih tempoh yang sesuai, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Bekas Perdana Menteri berkata, sama ada diadakan hujung tahun ini atau awal tahun depan iaitu sebelum mandat lima tahun Barisan Nasional (BN) tamat, bila-bila masa dari sekarang juga merupakan masa yang baik untuk mengadakan pilihan raya.
"Bergantung kepada Datuk Seri Najib apa keputusannya. Pandangan saya adalah pandangan saya. Saya fikir kita sudah sampai penghujung, ia tidak menjadi masalah sama ada akhir tahun ini atau awal tahun depan," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis konvokesyen Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini hari ini.
Beliau berkata BN boleh menunggu waktu yang sesuai untuk memuktamadkan tarikh pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum namun ini juga memberi peluang kepada parti pembangkang untuk membuat persediaan.
Dr. Mahathir berkata beliau tidak menolak kemungkinan pilihan raya diadakan pada tahun ini juga. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment