9 Oktober 2012
MENTAKAB – Polis menumpaskan saki baki ‘Geng Mat Lazim’ dengan tertangkapnya seorang janda dan kekasihnya dalam satu serbuan di simpang empat lampu isyarat Songsang, di sini, Jumaat lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Superintendan Zundin Mahmood berkata, dalam serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Narkotik kira-kira jam 5.30 petang itu, kedua-dua pasangan kekasih terbabit cuba bertindak agresif dengan melanggar kenderaan polis.
Menurutnya, satu daripada dua kenderaan polis yang mengekori mangsa cuba menghalang kenderaan suspek tetapi pemandunya bertindak agresif melanggar kenderaan polis.
“Dalam usaha memberkas suspek, polis terpaksa melepaskan empat das tembakan yang mengenai keempat-empat tayar Proton Persona dinaiki pasangan kekasih terbabit.
“Dua hari sebelum diberkas, kedua-dua suspek berjaya meloloskan diri daripada halangan polis di lokasi berhampiran,” katanya pada sidang media, di sini semalam.
Zundin berkata, hasil pemeriksaan polis menjumpai lima peket kecil serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin dengan berat 5.8 gram dalam kereta terbabit.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kereta dinaiki kedua-dua suspek dilaporkan hilang di Bentong dan suspek menukar nombor pendaftaran palsu sebelum menggunakannya.
Menurutnya, dengan tertangkapnya pasangan kekasih terbabit, polis kemudian menahan tujuh lagi individu dalam rangkaian yang sama dengan ‘Geng Mat Lazim’ dan janda terbabit.
Zundin berkata, janda berusia 27 tahun itu yang beralamat di Taman Sri Kemuning dan kekasihnya berusia 26 tahun dari Felda Bukit Damar di reman sehingga 12 Oktober depan dan disiasat di bawah Seksyen 39 A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
www.sinarharian.com.my
No comments:
Post a Comment