Wartawan Sinar Harian
8 Disember 2012
KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa membentuk Suruhanjaya
Kebenaran dan Rekonsiliasi bagi membantu menangani isu tadbir urus yang
baik menerusi penemuan kebenaran berkaitan keadaan semasa rasuah, takat
amalan dan cara menghapuskannya sebagai satu cara hidup.
Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata, badan itu
mesti mempunyai status sebuah mahkamah undang-undang dengan kuasa
kehakiman yang diperlukan bagi meninggalkan kesan.
"Selepas melihat keberkesanan Suruhanjaya Kebenaran dan Rekonsiliasi di
Afrika Selatan dalam menyatupadukan negara itu tanpa wujud sebarang
perbuatan salah, banyak pihak di Malaysia berpendapat penubuhan badan
itu sememangnya mempunyai merit," katanya dalam ucaptama pada
Persidangan ke-78 Rotary International District 3300 di Petaling Jaya
hari ini.
Teks ucaptama beliau diberi kepada Bernama di sini.
Tengku Razaleigh juga berkata, suruhanjaya itu mesti berupaya memberi
pengampunan kepada mereka yang mengamalkan rasuah serta menyalah guna
kedudukan ketika berkuasa bagi mengumpul kekayaan.
"Apabila berkuat kuasa kelak, suruhanjaya itu boleh, misalnya,
mengisytihar tempoh tangguh selama enam atau 12 bulan, atau apa-apa
tempoh lain yang munasabah bagi membolehkan mereka ini menebus kesalahan
masing-masing.
"Semasa moratorium ini, tidak ada sebarang tindakan terhadap mereka.
Bagaimanapun, jika didapati kemudian bahawa seorang pembuatakuan tidak
berkata benar, maka dia akan berdepan tindakan undang-undang
sepenuhnya," katanya.
Tengku Razaleigh berkata, di bawah langkah pengampunan ini, orang yang
terlibat dengan rasuah dikehendaki mengikuti satu program rehabilitasi.
"Beliau, dan ini termasuk penerima dan pemberi rasuah, dikehendaki
mengisytihar tidak akan mengamalkan rasuah lagi serta menyesal kerana
pernah terlibat.
"Rehabilitasi dan sumpah ini mungkin kedengaran agak drastik, namun ia
tidaklah begitu teruk dalam konteks kesan menghakis rasuah terhadap
ekonomi dan keutuhan moral negara.
"Memandangkan rasuah bersifat endemik kebelakangan ini, preskripsi untuk menghapuskannya secara kekal adalah wajar," katanya.
Tengku Razaleigh berkata kerajaan juga harus berfikir secara serius untuk memansuh atau mengkaji semula Akta Rahsia Rasmi.
Beliau berkata, orang awam perlu dilindungi oleh suatu akta
undang-undang terhadap pendakwaan dalam usaha mendapatkan akses kepada
sesuatu maklumat, meskipun ia memalukan kerajaan yang memerintah.
"Kita perlu menghentikan amalan menggunakan sesuatu akta, yang
bertujuan melindungi rahsia negara daripada didedah, terhadap sesiapa
yang menarik perhatian umum kepada satu skandal salah laku," katanya. -
Bernama
No comments:
Post a Comment