26 Disember 2012
Datuk Seri Najib Tun Razak
PETALING JAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak semalam berkata, beliau faham jika komuniti Kristian merasakan
bahawa kerajaan tidak melakukan secukupnya untuk melibatkan mereka.
"Bagaimanapun, saya perlu menyatakan, secara ikhlas, bahawa kita
sebenarnya berjaya mencapai banyak perkara bersama tanpa diketahui
umum," katanya sambil menambah antaranya, menghapuskan sekatan terhadap
penganut Kristian yang ingin ke Baitulmuqadis bagi upacara keagamaan.
"Ini adalah keterangkuman yang saya cari kerana saya percaya ada tempat
untuk kita semua di bumi Malaysia," kata beliau pada majlis minum
petang sempena sambutan Hari Krismas anjuran pihak pengurusan Gereja
Luther di sini, semalam.
"Di sini, saya sekali lagi ingin menghulurkan salam persahabatan
kerajaan, mendakap komuniti Kristian dan berkongsi perasaan muhibbah
dengan anda.
"Saya tidak mahu menjadi Perdana Menteri untuk satu seksyen masyarakat
sahaja tetapi untuk semua rakyat Malaysia," katanya disambut dengan
tepukan hadirin.
Menegaskan komitmen beliau kepada masyarakat Kristian, Najib berkata, mereka tidak perlu berasa yang mereka sudah dilupakan.
"Dengan begitu banyak interaksi peribadi bersama pemimpin gereja
menunjukkan bahawa saya tidak pernah melupakan komuniti Kristian seperti
yang didakwa sesetengah pihak. Malah, setiap komuniti sama ada etnik
atau agama, adalah penting kepada saya dan kerajaan saya kerana kami
tidak boleh meminggirkan sesiapa," katanya.
Najib menyeru pemimpin Kristian agar terus melibatkan diri dalam dialog
konstruktif bagi mempertingkat hubungan antara agama di Malaysia.
Perdana Menteri berkata tiada siapa harus takut dengan dialog
konstruktif kerana "kita hanya boleh lebih menghormati dan menghargai
satu sama lain jika kita saling lebih mengenali."
"Walaupun saya menerima hakikat bahawa memupuk dan menjalin hubungan
mengambil masa, namun kita mesti terus berbuat demikian demi kepentingan
Malaysia yang sentiasa menjadi objektif utama semua komuniti di negara
ini," katanya.
Najib berkata, untuk berjaya dalam usaha ini, kerajaan memerlukan perasaan muhibbah dan persefahaman yang tidak terhingga.
"Kita hanya boleh merealisasikan aspirasi ini dengan menyemai serta
memupuk persefahaman dan rasa hormat bersama. Sehubungan itu, kita
menggalakkan dialog dan wacana namun kita amat berhati-hati untuk
berbuat demikian dalam konteks kepelbagaian kita serta cabarannya,"
katanya.
Najib berkata Malaysia, menerusi hubungan rapat serta sejarahnya dengan
negara Islam, China dan India, ditambah pula dengan penduduk berbilang
etnik, perlu memanfaatkan kelebihan strategik dialog konstruktif ketika
negara menangani cabaran globalisasi dan perubahan ekonomi.
Tambahan pula, beliau berkata kerajaan telah menggubal polisi bagi
mencerminkan kelebihan ini dan akan terus berbuat demikian dalam
semangat 'Malaysia Truly Asia'.
Beliau berkata, pentadbirannya sudah merumuskan konsep '1Malaysia -
Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan', seperti yang termaktub dalam
Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan visi bagi melihat Malaysia
muncul sebagai sebuah negara maju menjelang 2020.
Najib menyifatkan Malaysia sebagai bernasib baik dapat menikmati
pertumbuhan ekonomi stabil yang berjaya mengeluarkan berjuta penduduk
daripada cengkaman kemiskinan dan berkata peluang untuk berjaya boleh
digapai setiap rakyat yang berusaha bersungguh-sungguh.
Beliau turut menyentuh keperluan untuk terus membantu mereka yang
kurang bernasib baik dan berkata satu daripada teras utama konsep
1Malaysia ialah keadilan sosial yang disifatkannya sebagai komponen
penting dalam memastikan setiap orang diberi peluang dan bantuan untuk
berjaya.
Sehubungan itu, Najib menggesa komuniti Kristian di negara ini agar
menyertai perjalanan untuk melakukan perubahan dan pembaharuan ke arah
Malaysia yang lebih baik.
Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri
Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim serta
isteri Datin Seri Masnah Rais; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan
Sri Dr Koh Tsu Koon dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Chor Ha.
Hadir sama Pengerusi Persekutuan Kristian Malaysia Biskop, Datuk Ng
Moon Hing; Biskop Philip Lok dari Gereja Lutheran Malaysia dan Ketua
Biskop Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam yang mewakili biskop Katolik.
ABU: Baguslah, semoga Kelantan tidak dinafikan hak royalti minyak mereka.....
No comments:
Post a Comment