Sinar Harian (Perak) 18 Februari 2013
PERAK - Rehat seorang petani bersama rakan sambil menikmati buah limau tidak panjang apabila maut dihempap jentera pemotong padi dalam kejadian di Kampung Parit Haji Dollah, di sini, kelmarin.
Pemandu jentera, Nasriq Yunos, 32, yang ketika itu sedang membaiki sistem hidraulik di bahagian belakang jentera menyedari kejadian tersebut selepas salah seorang mangsa menjerit meminta tolong.
“Selepas mereka ditimpa ‘chump’, mangsa tidak bergerak manakala rakannya menjerit kesakitan sambil meminta tolong.
“Saya segera memanggil orang kampung berdekatan untuk membantu mengangkat ‘chump’ itu dan apabila ia dialihkan, kami mendapati salah seorang mangsa telah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Nasriq berkata, mangsa maut dipercayai akibat patah leher selepas 'chump' jentera padi itu jatuh tepat di bahagian kepalanya.
“Manakala seorang lagi mangsa agak bernasib baik apabila ‘chump’ itu hanya jatuh di bahagian dada dan menyebabkan kecederaan parah.
“Saya tidak sangka ‘chump’ boleh jatuh mengejut memandangkan bahagian mesin jentera yang rosak sebenarnya merupakan sistem hidraulik dan menganggap kejadian itu kemalangan tidak disengajakan,” katanya.
Nasriq berkata, jenazah mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat, manakala seorang lagi mangsa yang cedera dirawat di Unit Rawatan Rapi(ICU) Hospital Taiping
Sementara itu, isteri mangsa, Zaiton Hassan,51, ketika ditemui tidak menyangka kepulangan arwah suaminya ke rumah sebentar untuk mengambil buah limau sebelum kembali keluar bekerja merupakan saat terakhir mereka bertemu.
“Tiga hari lalu, arwah ada menyatakan hasrat untuk membaiki rumah kami secara tiba-tiba walaupun sebelum ini dia hanya berdiamkan diri apabila ditanya perkara sama.
“Keseluruhannya arwah merupakan seorang pendiam, bagaimanapun dia amat disenangi orang ramai, lebih-lebih lagi dia merupakan tukang masak utama untuk sebarang kenduri-kendara di kampung sini.
“Kami amat sedih dengan pemergiannya, tapi reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.
Kejadian ini turut mendapat perhatian Yang Dipertua (YDP) Kelab Sukan Bermotor Selinsing (Krisbes), Mohammad Noor Dawoo yang turut hadir untuk menziarahi dan memberi sumbangan kepada keluarga mangsa.
Mohammad Noor berkata, kejadian seumpama ini merupakan kali pertama berlaku di Dun Selinsing dan pihak menggesa semua petani agar menggunakan peralatan pertanian dengan berhati-hati bagi mengelak ditimpa sebarang kemalangan tidak diingini,”katanya.- Arkib Sinar Harian.
No comments:
Post a Comment