MH370
KUALA LUMPUR - Berikut ialah kenyataan akhbar oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai perkembangan terkini penerbangan MH370 yang hilang.

Malam ini saya diberi taklimat oleh wakil-wakil dari Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB).

Mereka memberitahu saya bahawa Inmarsat, syarikat UK yang menyediakan data satelit meliputi koridor utara dan selatan, telah melakukan pengiraan lanjut
terhadap data itu.

Dengan mengggunakan kaedah analisis yang belum pernah digunakan dalam sesuatu penyiasatan seumpama ini, mereka telah berjaya membuat pencerahan mengenai laluan penerbangan MH370.

Berdasarkan analisis baharu mereka, Inmarsat dan AAIB telah membuat kesimpulan bahawa MH370 terbang melalui koridor selatan, dan kedudukan terakhirnya adalah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth.

Ini merupakan lokasi yang terpencil, jauh dari sebarang lokasi pendaratan.

Justeru itu dengan perasaan sedih dan kesal yang amat sangat, saya perlu memaklumkan anda bahawa menurut data baharu ini, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

Kami akan mengadakan sidang akhbar esok untuk memaklumkan butiran lanjut.

Sementara itu kami ingin memaklumkan anda mengenai perlembangan terbaharu ini dalam kadar segera.

Kami berkongsi maklumat ini atas dasar komitmen kami terhadap keterbukaan dan perasaan hormat kepada seluruh keluarga, dua prinsip yang menjadi panduan penyiasatan ini.

Malaysia Airlines sudah pun memaklumkan kepada semua keluarga penumpang dan anak kapal untuk memberitahu mereka perkembangan ini.

Bagi mereka dua minggu yang berlalu cukup memeritkan; saya sedar bahawa berita ini akan lebih sukar lagi. Saya menggesa pihak media supaya menghormati privasi mereka dan memberi mereka ruang menghadapi situasi getir ini.


Berdasarkan rumusan itu hanya kotak hitam pesawat Boeing 777-200ER berkenaan yang dapat menjawab misteri kehilangannya sejak awal pagi 8 Mac lepas. 

Perdana Menteri pada Isnin malam berkata berdasarkan taklimat Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) dan analisis lanjut data oleh Inmarsat, kesimpulan dibuat bahawa MH370 terbang di koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di tengah-tengah Lautan Hindi, barat Perth.

"Kawasan ini merupakan lokasi terpencil, jauh dari sebarang tempat pendaratan. Oleh itu dengan perasaan amat sedih dan terharu saya ingin memaklumkan bahawa menurut data terkini, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi," kata Najib

Pesawat itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam penerbangan ke Beijing apabila dilapor hilang daripada radar kira-kira 1.30 pagi 8 Mac, setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Sejak hari pertama kehilangannya, lebih 12 negara membantu Malaysia dalam misi mencari dan menyelamat pesawat tersebut.

Pada Isnin, pesawat Australia dan China masing-masing mengesan beberapa objek yang terapung di selatan Lautan Hindi, namun belum diambil.

Pihak berkuasa Malaysia akan mengadakan sidang media esok untuk menjelaskan butiran lanjut mengenai perkembangan terbaharu itu. - Bernama.