KUALA LUMPUR 3 Julai - Polis sedang menjalankan gerakan memburu beberapa lagi individu yang terbabit dalam kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Shaharuddin Ibrahim pada 26 April tahun lepas.
Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar enggan mendedahkan perincian kes kerana tidak mahu menjejaskan operasi susulan.
"Saya tidak melaporkan perkara ini terlebih dahulu kerana tindakan 'follow-up' sedang berjalan.
"Saya tahu ada akhbar sudah mainkan padahal saya sudah mohon jangan siarkan kerana takut menggagalkan proses akan datang," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sijil Proctor Malaysian Integriti Test di Bukit Aman, di sini, Khamis.
Sebuah akhbar yang memetik sumber polis melaporkan suspek utama kes pembunuhan Shaharuddin telah ditahan di sebuah rumah di Ampang kira-kira pukul 5 pagi Rabu.
Menurut laporan itu, polis turut menahan tiga lagi rakan suspek dalam serbuan di Batu Caves dan keempat-empat mereka dibawa ke mahkamah di Putrajaya untuk mendapatkan perintah reman.
Dalam kejadian 8.15 pagi 26 April tahun lalu, Shaharuddin ditembak mati ketika dalam perjalanan dari rumahnya di Dengkil ke tempat kerja. - BERNAMA.
No comments:
Post a Comment